Kenyataan Media Bersih 2.0(23 September 2020): Undi Adalah Hak Dalam Perlembagaan Yang Tidak Boleh Dinafikan Walaupun Dalam Pandemik

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) terkejut dengan kenyataan Menteri Pertahanan Ismail Sabri yang menyatakan mereka yang positif Covid-19 tidak dibenarkan untuk mengundi di dalam PRN Sabah pada hari Sabtu ini. Mereka yang mempunyai gejala seperti demam dan batuk serta yang dikuarantin pula akan dibenarkan untuk mengundi.

Hak warganegara untuk mengundi adalah termaktub di dalam perlembagaan persekutuan dan tidak ada mana-mana orang boleh sewenang-wenangnya menafikan, termasuklah menteri atau kabinet khas.

Perkara 119(1) menyatakan tiap-tiap warganegara berhak mengundi di dalam bahagian pilihan raya itu dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan melainkan hilang kelayakan di bawah Fasal (3) atau di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan kesalahan yang dilakukan berkaitan pilihan raya. Fasal (3) menyatakan seseorang kehilangan kelayakan sekiranya ditahan kerana tidak sempurna akal atau dalam hukuman pemenjaraan selama melebihi 12 bulan.

Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) bertanggungjawab untuk melaksanakan proses pembuangan undi termasuk kepada mereka yang positif Covid-19 semasa PRN Sabah. SPR perlu membuat pengurusan khas Covid-19 untuk mengundi dari wad hospital dengan bantuan daripada pegawai perubatan yang terlatih. Ini juga seiiring dengan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 Dalam Pelaksanaan Pilihan Raya yang dikeluarkan oleh SPR, di mana dinyatakan bahawa pesakit yang positif Covid-19 TIDAK DIBENARKAN untuk keluar hospital bagi tujuan mengundi.

Kita bernasib baik mempunyai Ketua Pengarah Kesihatan dan petugas kesihatan yang profesional yang tidak mengenal lelah berada di barisan hadapan untuk memastikan rakyat dalam keadaan selamat. Kami yakin dengan sokongan daripada mereka, ratusan kes pesakit Covid-19 di Sabah dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dengan selamat.

Bersih 2.0 berpandangan sekiranya SPR gagal untuk membantu pesakit Covid-19 mengundi di PRN Sabah pada hari Sabtu ini, SPR boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak memenuhi tanggungjawab kepada pengundi.

Selain itu, pegawai pilihan raya yang dengan sengaja menghalang mana-mana pengundi daripada mengundi akan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(d) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Bersih 2.0 bersedia untuk memberi bantuan guaman kepada mana-mana pesakit Covid-19 yang dinafikan hak untuk mengundi pada hari Sabtu ini. Mereka yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi kami di emel [email protected] selepas 26 September 2020.

Kami menyeru SPR untuk memenuhi tanggungjawab mereka dan terus melaksanakan pilihan raya walaupun dalam krisis kesihatan serta menunjukkan kepada rakyat Malaysia kepentingan dan nilai setiap satu undi.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

(1) https://www.spr.gov.my/sites/default/files/GP%20PENCEGAHAN%20COVID-19%20PELAKSANAAN%20PILIHAN%20RAYA_kemaskini%20pada%2011%20September%202020.pdf