Untuk merespon kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau mempunyai majoriti ahli parlimen untuk membentuk kerajaan, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) menegaskan bahawa siapa pun yang menjadi Perdana Menteri(PM) dan parti apa pun yang menjadi kerajaan, Malaysia sangat perlukan pakej kestabilan untuk membaiki politik kepartian.
Sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang muncul juara atau Tan Sri Muhyiddin yang kekal bertahan dengan rampasan semula kuasa, Perdana Menteri bertanggungjawab untuk menghentikan pertukaran kerajaan disebabkan lompat parti oleh wakil rakyat yang dipilih. Malah pilihan raya mengejut sekalipun tidak akan mengembalikan kestabilan sekiranya parlimen tergantung menjadi kelaziman baharu dalam politik Malaysia.
Bagi mengembalikan kestabilan politik, kerajaan mesti diberikan peluang untuk mentadbir dan pembangkang mesti diberi ruang untuk meneliti serta bersaing dengan kerajaan.
Perkara ini perlukan pakej kestabilan yang harus mengandungi sekurang-kurangnya empat langkah segera untuk dilaksanakan dalam enam bulan berikutnya:
- Pengenalan Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat di peringkat persekutuan dan negeri bagi membenarkan pengundi di sesuatu kawasan pilihan raya peluang untuk memecat atau mengekalkan wakil rakyat mereka yang melompat parti. Sekiranya mereka memecat wakil rakyat tersebut maka pilihan raya pecat akan berjalan.
- Reformasi parlimen untuk memberi laluan kepada pembangkang dan ahli bangku belakang kerajaan memainkan peranan yang lebih bermakna dalam memeriksa kerajaan serta mencadangkan alternatif, agar mereka tidak terngiur menjadi menteri atau timbalan dengan apa cara sekalipun.
- Reformasi pendanaan politik yang:
a) Memastikan semua penggubal undang-undang mendapat peruntukan kawasan yang saksama tanpa mengenal kecenderungan politik atau gabungan politik;
b) Menyediakan dana awam kepada parti politik berdasarkan jumlah undi dalam pilihan raya;
c) Melarang penyalahgunaan badan berkanun dan jawatan GLC untuk mempengaruhi pengkhianatan ahli parlimen atau memberi hadiah kepada penyokong kerajaan.
4) Menubuhkan Pejabat Pendakwaraya yang berasingan daripada Pejabat Peguam Negara untuk menamatkan pendakwaan terpilih dan imuniti daripada didakwa.
Pakej kestabilan ini juga perlu mengandungi dua langkah jangka-sederhana untuk disempurnakan sebelum berakhirnya Parlimen ke-14:
5) Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengkaji bagaimana pengukuhan, pendemokrasian, dan pemprofesionalan parti politik, dengan skop yang perlu dicakupi adalah sistem pilihan raya, mekanisme pemilihan calon untuk parti-parti, dan aspek lain bagi demokrasi intra-parti.
6) Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengkaji penjajaran semula sistem persekutuan kita bagi memastikan janji dalam Perjanjian Malaysia ditepati serta pengagihan kuasa di antara tiga peringkat kerajaan: persekutuan, negeri/wilayah persekutuan, daerah, di Malaysia Barat dan Malaysia Timur.
Pakej reformasi yang pragmatik ini pada awalnya dimulakan oleh Bersih 2.0, ABIM dan GBM pada 10 Jun 2020(1).
Sebagaimana yang dinyatakan di atas, pilihan raya mengejut tidak akan menjamin kestabilan. Bersih 2.0 sekali lagi ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa ancaman peningkatan Covid-19 adalah sangat nyata dan mengadakan pilihan raya umum akan meningkatkan ancaman ini. Kami juga mempertimbangkan bahawa pilihan raya sebelum Julai tahun hadapan akan menafikan hampir 8 juta pengundi baru termasuklah 4 juta pengundi muda antara 18-21 tahun. Mereka hanya dapat berada dalam senarai daftar pemilih sekiranya pendaftaran automatik dilaksanakan kelak.
Disebabkan manfaat yang sangat kabur berbanding kos yang bakal ditanggung sekiranya pilihan raya umum mengejut dibuat, Bersih 2.0 menggesa Perdana Menteri untuk mendapatkan persetujuan antara parti-parti bagi melaksanakan pakej kestabilan yang kami nyatakan di atas.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0
(1) https://www.bersih.org/press-statement-from-bersih-2-0-gbm-and-abim-10-june-2020-a-6-point-multi-party-deal-to-reconfigure-politics-and-end-endless-machinations/