Kenyataan Media Bersih 2.0(28 September 2020): Rakyat Sabah Perlu Kerajaan Dan Pembangkang Yang Berfungsi

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) menggesa semua parti politik, ADUN dan rakyat secara umumnya untuk menerima keputusan pilihan raya negeri Sabah. Penerimaan keputusan pilihan raya ini adalah berasaskan kepada demokrasi berbilang parti yang sihat dan matang, dimana kerajaan dan pembangkang boleh memainkan peranan yang bermakna untuk menjayakan aspirasi pengundi.

 

Pembentukan pakatan dan perikatan pra-pilihan raya perlu dihormati disebabkan ramai pengundi memilih berdasarkan penjajaran ini. Oleh sebab itu, Gabungan Rakyat Sabah(GRS) walaupun pakatan yang masih longgar serta belum berdaftar, yang di dalamnya Perikatan Nasional(PN-17 kerusi), Barisan Nasional(BN-14 kerusi) dan Parti Bersatu Sabah(PBS-7 kerusi), bersama tiga wakil rakyat bebas perlu dibenarkan untuk cuba membentuk kerajaan dan mentadbir bagi tempoh 5 tahun lagi.

Kami merujuk kepada laporan bahawa Pengerusi PN Sabah Hajiji Haji Noor telah dipilih oleh GRS sebagai calon Ketua Menteri(https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2020/09/28/grs-picks-hajiji-as-cm-candidate/), maka majlis angkat sumpah Ketua Menteri baharu seperti yang diumumkan pada pukul 10.30 pagi esok dan pembentukan kerajaan negeri perlu dilakukan tanpa tangguh lagi.

Sekiranya  persetujuan untuk ketua menteri gabungan ini runtuh secara tiba-tiba, maka parti yang mendapat bilangan kerusi tertinggi, iaitu dalam kes ini Warisan dengan 29 kerusi(termasuk DAP yang bertanding bawah bendera Warisan), perlu diberikan peluang untuk cuba membentuk kerajaan melalui perundingan dengan parti-parti lain. Sekiranya kerajaan majoriti tidak dapat dicapai, maka kerajaan minoriti dengan sokongan parti-parti lain di pembangkang dengan persetujuan keyakinan dan pembekalan(confidence and supply agreement) perlu dipertimbangkan.

Untuk demokrasi berparlimen berfungsi dengan semak dan imbang yang betul, dan supaya pengundi mempunyai alternatif, sebarang cadangan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di mana semua parti berada di dalam kerajaan wajib ditolak. Sekiranya Warisan dan sekutunya perlu memainkan peranan sebagai pembangkang, mereka perlu menjadi pembangkang yang berkesan kepada GRS dengan membayangi kerajaan dengan menawarkan pandangan dan pendirian polisi alternatif, membongkar salah laku dan salah guna kuasa, dan bersiap sedia menjadi kerajaan yang seterusnya. Postur begini akan menawarkan khidmat yang lebih baik kepada rakyat Sabah daripada tipu daya berterusan untuk menjatuhkan kerajaan di tengah penggal.

Bersih 2.0 mengulangi seruan kami untuk sesiapapun yang berjaya membentuk kerajaan, ianya wajib untuk mereka mengembalikan kestabilan politik dengan melaksanakan “pakej kestabilan”, yang memberikan ruang kepada pembangkang, tanggungjawab dan insentif untuk bersaing secara profesional dengan kerajaan daripada berterusan membuat tipu daya untuk menjatuhkan kerajaan dengan pengkhianatan daripada wakil-wakil rakyat. Reformasi seperti penubuhan Pejabat Pendakwa Raya yang bebas daripada Peguam Negara atau menukar sistem pilihan raya hanya boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan. Selainnya adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. (1)(2)

Sesiapapun yang menjadi KM Sabah atau parti manapun yang akan membentuk kerajaan, kami menggesa mereka untuk segera memperkenalkan empat reformasi berikut:

  1. Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat, supaya pengundi dapat mencetuskan pilihan raya khas untuk membuang wakil rakyat yang menukar parti atau gabungan berlawanan dengan kehendak rakyat, atau mengkhianati mandat yang diberikan dengan kaedah lain.
  2. Reformasi legislatif, agar ADUN pembangkang dan kerajaan dapat memainkan peranan yang lebih bermaknan untuk menyemak imbang kerajaan serta membentuk polisi dan undang-undang.
  3. Dana ADUN yang saksama, yang akan diuruskan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat(PPM) yang dinamakan oleh mereka, tanpa mengenal kecenderungan parti dan darjat dalam kerajaan. Wakil rakyat pembangkang tidak wajar dilemahkan secara institusi dalam memberi khidmat kepada rakyat di kawasan mereka.
  4. Dana untuk semua parti berdasarkan jumlah undi yang diperoleh di dalam pilihan raya terakhir, supaya semua parti mempunyai kewangan yang stabil tanpa menyalahgunakan sumber awam atau menjadi pak turut kepada pendana persendirian/swasta.

 

Walaupun memaklumi keabsahan pilihan raya negeri, Bersih 2.0 juga menyedari ketempangan struktur sistem pilihan raya dan persempadanan kawasan pilihan raya, kurang penguatkuasaan undang-undang pilihan raya serta kelemahan penjalanan pilihan raya. Semua faktor ini memainkan peranan yang penting dalam keputusan pilihan raya.

Walaupun faktanya gabungan Warisan Plus telah mendapat undi popular dengan 317,991 undi berbanding GRS iaitu 316,112, namun keputusan di kerusi pilihan raya menunjukkan bahawa Warisan di belakang (32 kerusi) GRS(38). Ini menunjukkan kesalahan pembahagian tidak sekata(malapportionment) kawasan pilihan raya dengan kecenderungan kepada parti yang bersama GRS dan kelemahan ketara sistem pilihan raya First-Past-The-Post (FPTP) yang membantutkan perwakilan secara hakiki. Persempadanan semula tahun 2016/17, 13 kawasan pilihan raya yang kurang penduduk telah dilukis dan GRS memenangi lapan (8) daripadanya. Dalam sistem pilihan raya berkadaran, Warisan Plus sudah tentu akan memenangi kerusi majoriti dan membentuk kerajaan. 

Sekiranya FPTP telah menguntungkan Malaya/Malaysia pada masa lalu, keputusan yang tidak berkadaran dalam PRN Sabah, tipu daya lompat parti yang tidak berkesudahan dan kemunculan gabungan baharu pasca pilihan raya sebagai kelaziman baharu semuanya menunjukkan arah yang bertentangan. Parti-parti dan ahli politik wajib secara serius mengkaji manfaat dan kesan untuk mengekalkan FPTP dan tidak hanya mengomel apabila mereka menjadi mangsa kepada sistem ini.

Kekurangan penguatkuasaan terhadap pelanggaran undang-undang pilihan raya juga memperlihatkan berleluasanya politik wang dan dan taktik berat sebelah kepada pembangkang. Bersih 2.0 adalah sebahagian daripada pasukan pemerhati pilihan raya yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) semasa PRN Sabah dan kami juga bekerjasama dengan NGO lain yang turut dilantik bagi memantau 27 kerusi panas. Kami akan membentangkan laporan gabungan ini dalam masa dua minggu. Daripada pemerhatian awal kami, SPR menjalankan PRN Sabah dengan baik, terutamanya pilihan raya ini diadakan secara mengejut dan di bawah ancaman COVID-19. Laporan kami akan memberi maklumat yang lebih terperinci berkaitan kejayaan dan kelemahan proses pilihan raya.

Sekali lagi Bersih 2.0, menggesa semua parti dan individu untuk menghormati pilihan rakyat Sabah dan memberi laluan kepada gabungan GRS sebagai pilihan pertama untuk membentuk kerajaan negeri penggal ini.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

(1) https://www.bersih.org/party-hoppings-wont-end-with-sabah-snap-election/

(2) https://www.bersih.org/press-release-from-bersih-2-0-25th-september-2020-whoever-the-pm-is/