Kenyataan Media Biro Antarabangsa Bersih 2.0 (17 Oktober 2020): Bersih 2.0 Bersolidariti Bersama Gerakan Pro Demokrasi Di Thailand

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) memandang dengan serius isu penghakisan ruang demokratik dan pelanggaran hak rakyat Thailand dengan keganasan pihak polis terhadap demonstrasi aman serta pengisytiharan darurat pada 15 Oktober 2020. Perintah darurat tersebut memberikan kerajaan tentera Thailand kuasa yang tidak terbatas untuk menghalang   perhimpunan lima atau lebih orang dan mereka boleh secara sembarangan membuat penahanan tanpa sebarang pendakwaan. Proses sewajarnya telah dilangggari. Tambahan pula, perintah tersebut melaksanakan tapisan yang luas dan menghalang sebarang penerbitan yang dikatakan “boleh menimbulkan ketakutan dan secara sengaja memutarbelitkan maklumat” yang boleh ditafsirkan secara meluas untuk menghalang kebebasan berekspresi dan kebebasan media.

Perkara ini datang selepas beberapa bulan demonstrasi aman, yang dipimpin oleh aktivis anak muda dan mahasiswa yang menggesa untuk reformasi politik, dengan tuntutan secara khususnya iaitu: peletakan jawatan Perdana Menteri Prayuth Chanocha – bekas ketua tentera yang merampas kuasa pada 2014 secara kudeta dan dilantik selepas pilihan raya yang tidak bebas dan adil pada 2019, penggubalan perlembagaan baharu dan menamatkan segala gangguan serta penahanan rakyat yang mengamalkan kebebasan bersuara dan demonstrasi aman. Simbolik protes tersebut dilakukan dengan pemprotes mengangkat tiga jari ke atas.

Bersih 2.0 berdiri bersolidariti dengan gerakan pro-demokrasi di Thailand. Sejak kudeta 2014, kerajaan Thailand telah menghukum ratusan aktivis dan penunjuk perasaan yang kritikal kepada kerajaan serta mereka yang menyatakan pandangan  mereka secara aman. Perbincangan berkenaan hak asasi manusia, reformasi politik, peranan monarki dalam masyarakat telah dihalang secara paksa dan berterusan serta aktivis-aktivis diugut dengan  penangkapan dan pendakwaan yang akan membawa tempoh pemenjaraan yang  panjang. Apa yang lebih membimbangkan adalah sistem pemerintahan tentera dan penumpuan kuasa yang akan merosakkan demokrasi di Thailand.

Bersih 2.0 menegaskan pendirian kami bahawa kebebasan bersuara dan perhimpunan aman adalah hak rakyat terutamanya untuk menyatakan ketidaksetujuan. Hak-hak ini dilindungi di bawah ICCPR yang telahpun diratifikasi oleh Thailand pada 1996. Bersih 2.0 juga berpandangan bahawa demokrasi serta pilihan raya yang bebas adalah hak asasi manusia yang perlu dihormati serta diangkat.

Biro Antarabangsa Bersih 2.0 (B2IB) telah menimbangtara situasi serta perkembangan di Thailan dan berpandangan bahawa masanya untuk kami menunjukkan solidariti dan sokongan kepada individu serta gerakan di Thailand yang ingin memajukan demokrasi serta melindungi hak asasi manusia.

Kami mengajak seluruh masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah yang sewajar untuk memberi sokongan kepada rakyat Thailand bagi melindungi hak asasi dan demokrasi mereka

Untuk kefahaman lanjut kriteria B2IB, sila klik:
https://www.bersih.org/bersih-2-0-7-june-2020-establishment-of-bersih-2-0-international-bureau/

Dikeluarkan oleh:
Biro Antarabangsa Bersih 2.0