Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) terkejut dengan tiupan khabar angin bahawa darurat akan diisytiharkan oleh beberapa portal berita dan media arus perdana yang memetik kenyataan daripada sumber tidak bernama bahawa hal ini telah diputuskan dalam mesyuarat khas kabinet pada hari ini. Akhbar The Star melaporkan bahawa langkah ini adalah untuk melawan pandemik Covid-19 yang sedang meningkat dengan ketara dalam satu minggu ini dan untuk menghentikan pergelutan politik.1
Sekiranya sasaran langkah ini adalah untuk menangangi situasi Covid-19, ianya adalah satu langkah yang berlebihan dan tidak diperlukan serta menjadi duluan yang bahaya kepada demokrasi negara kita.
Adalah fakta bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hanya mempunyai majoriti dua atau tiga ahli parlimen sahaja, dan dengan langkah terbaharu oleh ketua pembangkang Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan, adalah munasabah untuk beranggapan bahawa tujuan utama untuk menasihati Agong mengisytiharkan darurat di seluruh negara adalah disebabkan oleh faktor politik.
Sekiranya perintah darurat melibatkan penggantungan parlimen dan kebebasan awam, maka ianya adalah sama seperti rampasan kuasa sendiri oleh kerajaan Muhyiddin untuk kekal berkuasa. Perintah darurat membenarkan kerajaan lantikan Agong untuk membuat ordinan yang akan mempunyai kuasa dan kesan yang sama seperti Akta oleh Parlimen, dan ianya akan berkuatkuasa sepenuhnya sehinggalah ianya ditarik balik atau dibatalkan serta ordinan tersebut tidak boleh dicabar di mahkamah. Darurat juga akan memberikan Kerajaan Persekutuan kuasa untuk melanggar bidang kuasa kerajaan negeri.
Kali terakhir perintah darurat seluruh negara diisytiharkan pada tahun 1969 disebabkan oleh peristiwa 13 Mei ketika itu. Selain kerumitan yang akan timbul terhadap semak dan imbang yang demokratik dalam negara kita, ekonomi negara juga akan turut terjejas dengan teruk.
Sekiranya tujuan darurat adalah untuk melawan Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersasar seperti yang sedang dilaksanakan sekarang adalah mencukupi. Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi menyediakan langkah-langkah pencegahan penyebaran Covid-19 termasuklah kuasa untuk membuat peraturan, kawalan pergerakan orang ramai dan menggerakkan pasukan bersenjata sebagaimana yang telah kita lihat sebelum ini.
BERSIH 2.0 ingin memohon kepada semua ahli politik untuk mengenepikan sebarang perbezaan dan bekerjasama dengan persetujuan ‘keyakinan dan perbekalan’. Ini bermaksud pembangkang akan bersetuju untuk tidak menentang kerajaan PN dalam undi percaya atau berkenaan isu perbekalan namun masih mengekalkan hak untuk membangkang rang undang-undang yang lain. Ini bagi memastikan bahawa bantuan belanjawan Covid-19 yang akan dibentangkan pada bulan hadapan akan diluluskan dan mengekalkan kestabilan dalam parlimen.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0
(1) https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/10/23/economic-or-health-emergency-to-be-declared