Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menjunjung titah Raja-Raja Melayu bahawa darurat tidak diperlukan untuk melawan Covid-19, sebagaimana kebanyakan rakyat Malaysia juga bernada yang sama dengan Tuanku.
Rampasan kuasa sendiri oleh kerajaan Muhyiddin adalah didorong oleh ketakutan kekalahan semasa pembentangan belanjawan, namun proklamasi darurat yang diperuntukkan oleh Perkara 150(1) hanyalah untuk keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam, dan hal ini tidak termasuk kelangsungan jawatan Perdana Menteri.
BERSIH 2.0 memberi peringatan kepada orang ramai bahawa krisis politik ini masih belum berakhir disebabkan:
(a) Cadangan proklamasi darurat untuk mengelakkan kekalahan semasa pembentangan belanjawan nanti sebagaimana yang didedahkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa(1) dan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Ali Biju(2), secara tidak langsung telah mengakui bahawa Perdana Menteri telah kehilangan majoriti.
(b) Ahli-ahli parlimen perlu mempunyai kebebasan untuk tidak mengundi belanjawan dan sekiranya mereka mengamalkan kuasa mereka untuk menolak belanjawan kerajaan, ianya adalah satu perkara yang sah di bawah Perlembagaan Persekutuan. Oleh sebab meluluskan belanjawan kerajaan adalah salah satu fungsi utama parlimen ala Westminster, ahli-ahli parlimen tidak seharusnya membuta tuli meluluskan belanjawan kerajaan.
(c) Sekiranya belanjawan kerajaan tewas, PM perlu segera membentangkan dan memastikan usul percaya diluluskan untuk kerajaan beliau. Alternatif lain adalah Parlimen boleh meluluskan usul percaya kepada ahli parlimen yang lain untuk menjadi Perdana Menteri. Sekiranya tiada usul percaya yang diluluskan untuk PM atau ahli parlimen yang lain, perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) melibatkan semua parti politik yang mewakii majoriti ahli parlimen diperlukan untuk mengelakkan pilihan raya mengejut.
Bagi memastikan kestabilan politik tanpa melemahkan kuasa parlimen menyemak dan meluluskan belanjawan, kami menggesa pihak kerajaan dan pembangkang untuk mencapai persetujuan CSA. Pendirian penuh kami berkenaan CSA berikutan perkembangan terkini adalah seperti berikut:
(a) CSA akan memberi ruang kepada belanjawan kerajaan untuk ditambahbaik oleh ahli parlimen pembangkang dan supaya ianya menjadi lebih berhemah, berkesan dan inklusif agar tidak ada sektor dan komuniti yang tertinggal dalam perang melawan Covid-19.
(b) CSA akan menjadi asas untuk menamatkan perseteruan dan komplot politik melalui reformasi yang perlu dilaksanakan seperti reformasi parlimen, pilihan raya pecat wakil rakyat, peruntukan saksama kepada semua ahli parliman dan pemisahan Pejabat Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara.
(c) Oleh kerana perancangan darurat telah menghadapi rintangan oleh UMNO dan GPS selain penolakan daripada pembangkang dan pertubuhan masyarakat madani, kedudukan TS Muhyiddin Yassin adalah lebih lemah daripada sebelum hari Jumaat lepas apabila beliau menggerakkan rampasan kuasa sendiri. Beliau mesti mengambil tanggungjawab dan cuba mencapai CSA bersama-sama pembangkang rasmi.
(d) Melainkan beliau boleh mencari nama-nama mencukupkan majoriti dan membuktikan perkara ini di parlimen, Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti memainkan peranan sebagai pembangkang yang membina dan cuba mencapai CSA yang akan menjamin belanjawan 2021 yang berkesan, berhemah dan inklusif untuk melawan Covid-19 serta kemelesetan ekonomi dan memastikan halatuju untuk reformasi parlimen, pilihan raya, pendanaan politik, institusi dan pendakwaan.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0
(1) https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/cabinet-minister-annuar-musa-defends-need-for-emergency-in-malaysia-asks-what-laws-can
(2) https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/10/25/deputy-minister-claims-emergency-is-strictly-to-suspend-parliament/1916099