Kenyataan Media BERSIH 2.0 (25 Oktober 2020): Pilihan Muhyiddin: Persetujuan Keyakinan dan Pembekalan atau Letak Jawatan Jika Tewas Dalam Belanjawan, Tolak Darurat

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berjumpa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen dan Pakatan Harapan selaku pembangkang rasmi bagi mencapai satu persetujuan keyakinan dan pembekalan (confidence and supply agreement). Pilihan seterusnya bagi beliau adalah peletakan jawatan sekiranya kalah dalam pembentangan belanjawan dan bukannya mengumumkan darurat, yang mana ia sebenarnya adalah satu bentuk rampasan kuasa sendiri.

Pendirian Bersih 2.0 yang sepenuhnya adalah seperti berikut:

  • Cadangan untuk proklamasi darurat adalah pengakuan terbuka bahawa Perdana Menteri tidak yakin bahawa belanjawan beliau akan disokong oleh kesemua 113 ahli parlimen kerajaan walaupun UMNO berjanji untuk menyokong kerajaan. Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa secara terbuka menyoal apakah undang-undang selain darurat yang dapat mencegah daripada adanya pilihan raya mengesahkan mengesahkan sentimen kegagalan ini tersebar luas dalam Jemaah Menteri yang telah menyetujui cadangan proklamasi darurat.1

  • Proklamasi darurat adalah satu bentuk rampasan kuasa sendiri untuk mengelak perjalanan demokrasi berparlimen.
    – Ianya tidak berperlembagaan disebabkan Perkara 150 hanya membenarkan dalam keadaan ancaman yang pasti yang “mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam”. Kelangsungan kerajaan bukanlah satu asas yang dibenarkan.
    – Adalah tidak bertanggungjawab, tidak produktif bahkan kehidupan ekonomi akan lebih terancam akibat panik dan kejatuhan pasaran, pelabur lari, mengundang sekatan antarabangsa, serta akhirnya menyebabkan pengangguran serta menambah lagi pergelutan rakyat biasa untuk memastikan ada makanan di meja dan membayar bil-bil berkaitan.
    – Ianya akan menajamkan lagi krisis politik dengan mengheret Istana ke dalam konflik politik partisan kerana proklamasi ini akan dikeluarkan oleh Yang diPertuan Agong, dan merisikokan ketidakstabilan politik sebagaimana di Indonesia dan Thailand.

  • Kerajaan minoriti di negara-negara seperti UK, Denmark dan Kanada- terkini pada 21 Oktober2 – telah meluluskan belanjawan mereka dengan disokong oleh pembangkang atas asas persetujuan keyakinan dan pembekalan. Melihat kepada model gabungan politik yang tetap di Malaysia sedang terhakis, persetujuan keyakinan dan perbekalan adalah kelaziman baharu yang perlu diangkat oleh kita.
  • Sekiranya TS Muhyiddin Yassin yakin bahawa beliau akan kehilangan beberapa sokongan ahli parlimen kerajaan dalam belanjawan, beliau perlu menunjukkan kematangan dan kemahuan untuk berjumpa dengan pembangkang rasmi untuk mencapai satu persetujuan keyakinan dan pembekalan sebelum pembentangan belanjawan. Persetujuan ini perlu memasukkan beberapa reformasi termasuk reformasi parlimen, reformasi pilihan raya, reformasi institusi yang lain dan peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen, termasuk juga cadangan pembangkang untuk memastikan belanjawan ini lebih inklusif dan teguh serta mencegah kebuntuan politik daripada terjadi sekali lagi pada masa hadapan. Persetujuan Muhyiddin-PH akan menghasilkan 204 undi maksimum dan boleh bertahan sekiranya ada yang berpaling.

  • Sekiranya Muhyiddin masih lagi tidak mahu menggembleng bil persetujuan dengan pembangkang rasmi, maka beliau perlu meletakkan jawatan sekiranya belanjawan beliau tewas. Malaysia tidak semestinya perlu untuk mengadakan pilihan raya mengejut atau menghadapi risiko tidak mempunyai belanjawan kerana Dewan Rakyat boleh meluluskan undi percaya kepada ahli parlimen lain untuk membentuk kerajaan dan meneruskan belanjawan. Walaupun Perdana Menteri hanya memimpin kerajaan minoriti, beliau dengan rendah hati boleh mengadakan persetujuan dengan parti-parti pembangkang.


Kenyataan kami bersama-sama Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), pada 10 Jun 2020 sejak dari awal telah menggesa kerajaan dan pembangkang tanpa mengira parti untuk bersama membina persekitaran yang sihat bagi pertandingan pelbagai parti, termasuklah menamatkan pendakwaan terpilih dan imuniti dari didakwa, reformasi parlimen, reformasi pendanaan politik, pilihan raya pecat wakil rakyat, reformasi sistem pilihan raya dan penyahpusatan kuasa (decentralisation).3

Seruan kami dalam kenyataan bertarikh 23 Oktober 2020 yang bertajuk “Adakah Muhyiddin Sedang Membuat Rampasan Kuasa Sendiri Untuk Kekal Berkuasa?” mencerminkan prinsip dan pendirian kami sebagai kumpulan yang tidak partisan dalam mempertahankan dan memperdalamkan demokrasi. Kami amat kesal dengan laporan beberapa media yang telah menyalahtafsirkan pendirian kami dengan tajuk berita seperti “Seruan Untuk Tidak Menentang Bajet, Jangan Singkirkan Muhyiddin kata Bersih” dan “Bersih 2.0 menyeru ahli politik tidak menentang perkara berkaitan bajet di Parlimen”. 

Sama ada salah tafsir tersebut disebabkan oleh kefahaman yang tidak masak, atau untuk umpan klik (clickbait), kami menggesa pengamal media untuk menunjukkan tahap keprofesionalan dan integriti pada setiap masa. Kepada orang ramai, sekiranya anda mendapati laporan berita yang meragukan berkaitan Bersih 2.0, sila layari laman web kami (www.bersih.org) atau menyemak media yang lebih berkredibiliti untuk pengesahan.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

(1) https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/cabinet-minister-annuar-musa-defends-need-for-emergency-in-malaysia-asks-what-laws-can

(2) https://www.bbc.com/news/world-us-canada-54635712

(3) https://www.bersih.org/kenyataan-media-bersih-2-0-gbm-dan-abim-10-jun-2020-persetujuan-6-perkara-pelbagai-parti-bagi-penjajaran-semula-politik-dan-penamatan-komplot-politik-yang-tidak-berkesudahan/