Kenyataan Media Bersih 2.0 (16 November 2020): SPR, Bilakah Undi Tidak Hadir Akan Sedia Untuk Orang Ramai?

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) ingin mengulangi gesaan kami bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu sanggup dan bersiap sedia untuk meluaskan pengundian secara pos kepada kategori yang lain selain daripada tujuh kategori yang ditetapkan oleh SPR sekarang. Tujuh kategori tersebut adalah tentera, polis, petugas media, petugas pilihan raya, warganegara Malaysia di luar negara serta pelajar dan penjawat awam yang berada di luar negara(1).

BERSIH 2.0 berpandangan SPR sudah pun mempunyai masa yang cukup untuk melaksanakan perkara ini memandangkan cadangan dan kajian untuk meluaskan kategori pengundian secara pos ini telah dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Maximus Ongkili sejak tahun 2012 lagi. Sekiranya SPR tidak dapat menyediakan kemudahan pengundian secara pos kepada semua rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya SPR perlu membuka kategori pengundi pos kepada rakyat Malaysia yang berada di luar kawasan seperti pengundi Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang bekerja atau belajar di luar daripada negeri mereka untuk mengundi dalam pilihan raya. Adalah tidak bertanggungjawab sekiranya SPR terus memberikan alasan tidak cukup masa sedangkan pendaftaran pengundi secara automatik pun SPR boleh jayakan dalam tempoh masa dua tahun.

Gesaan ini telah dibuat oleh BERSIH 2.0(2) dan Bersih Sabah(3) beberapa kali sebelum ini dan terbaru, Bersih Sarawak(4) juga telah menggesa perkara yang serupa di dalam petisyen(5) mereka bagi membolehkan pengundi Sarawak yang berada di Semenanjung dan Sabah untuk mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan datang. Selain itu, BERSIH 2.0 juga menggesa supaya kategori undi pos dan undi awal turut dibuka kepada pengundi yang berada di negara jiran seperti di Singapura, Selatan Thailand, Brunei dan Kalimantan.

Jika perkara ini tidak dilakukan sekarang, maka bilakah lagi waktu yang sesuai untuk meluaskan kategori pengundian pos ini kepada rakyat Malaysia bagi memudahkan mereka untuk mengundi sekiranya pilihan raya diadakan kelak? Di dalam suasana wabak Covid-19 yang masih belum reda, sewajarnya SPR memikirkan langkah yang lebih proaktif demi memastikan hak rakyat Malaysia untuk mengundi terjamin tanpa merisikokan keselamatan serta kesihatan mereka. Umpamanya SPR boleh memanjangkan tempoh pembuangan undi lebih daripada sehari sebagaimana yang dilakukan di beberapa negara seperti New Zealand di mana tempoh pembuangan undi adalah 12 hari.

BERSIH 2.0 maklum kegusaran dan kebimbangan yang disuarakan oleh pihak SPR terutamanya berkenaan isu keyakinan orang awam terhadap ketelusan undi pos. Di sini BERSIH 2.0 ingin mencadangkan agar SPR segera menjalankan sesi libat urus bersama pemegang taruh termasuklah agensi seperti Pos Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), parti politik, pertubuhan masyarakat madani (CSO) dan badan pemikir yang lain. Sesi libat urus boleh menjadi platform kepada SPR untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi melaksanakan undi pos yang lebih telus dan inklusif. BERSIH 2.0 siap untuk berbincang dan memberikan cadangan kepada SPR untuk memastikan pengundian pos ini dapat dijalankan dengan lebih baik.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

(1)https://www.spr.gov.my/ms/kategori-pengundi-pos-dalam-negara-dan-luar-negara

(2)https://www.bersih.org/kenyataan-media-bersih-2-0-bila-pengundi-luar-kawasan-boleh-undi-pos/

(3)bit.ly/UndiPos4Sabah 

(4)https://dayakdaily.com/extend-absentee-voting-facilities-to-guarantee-sarawakians-voting-rights-in-state-election/

(5)http://chng.it/pCwMLczqPL