Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merujuk nasihat yang telah diberikan oleh Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memproklamasikan darurat agar penangguhan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dapat dibuat. Namun demikian, kami percaya bahawa proklamasi darurat yang telah dicadangkan oleh Perdana Menteri mungkin bukan jalan terbaik kepada demokrasi kerana masih banyak kaedah pilihan raya yang lebih proaktif boleh diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan badan-badan penguatkuasa yang terlibat dalam pilihan raya.
BERSIH 2.0 berpandangan bahawa pilihan raya masih dapat dijalankan dengan selamat dan cekap walaupun kita masih bertarung untuk keluar daripada penularan Covid-19. Perkara ini telah dibuktikan di beberapa buah negara dalam dunia seperti Singapura, Korea Selatan, New Zealand, Perancis, Australia dan Jerman yang melaksanakan pilihan raya umum serta pilihan raya kerajaan tempat di negara masing-masing. Justeru, kami yakin bahawa pilihan raya boleh dijalankan dengan syarat yang ketat.
Cadangan BERSIH 2.0
BERSIH 2.0 ingin memberikan cadangan untuk pertimbangan kerajaan bagi pelaksanaan pilihan raya di Batu Sapi dan pilihan raya-pilihan raya yang lain sekiranya wujud keperluan berbuat demikian:
- Meluaskan kategori undi pos dan undi tidak hadir(1)
- Merangka mekanisme baharu bagi penjalanan pilihan raya di dalam situasi luar biasa seperti pandemik Covid-19 ini. Sebagai contoh larangan kempen secara fizikal serta digantikan dengan kempen di media arus perdana(2), memanjangkan hari pengundian kepada tiga hari dan memperbanyakkan pusat pengundian berdekatan perumahan pengundi(3)
- Mengetatkan SOP semasa hari pengundian seperti pemeriksaan suhu badan, pemakaian perisai muka (face shield) untuk petugas pilihan raya, penggunaan berus untuk mencalit dakwat kekal(4), dan pensanitasian pusat pengundian.
Darurat Mengancam Demokrasi
BERSIH 2.0 berpendirian bahawa dengan membenarkan darurat untuk menangguhkan pilihan raya akan membuat satu duluan (precedent) yang berbahaya kepada demokrasi negara kita kerana pihak mempunyai kuasa seperti Perdana Menteri akan cenderung untuk menangguh pilihan raya apabila terdapat situasi yang tidak menyebelahi pihak beliau. Selain itu, termaktub di dalam Perlembagan Persekutuan bahawa darurat hanya boleh diisytiharkan atas faktor keselamatan awam, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.
Memandangkan parlimen sedang bersidang sekarang, pihak kerajaan boleh membawa usul untuk meminda atau menggubal undang-undang baharu bagi menangguhkan pilihan raya apabila mendapat sokongan sekurang-kurangnya 2/3 ahli Dewan Rakyat. Penangguhan pilihan raya yang semata-mata berpandukan keputusan eksekutif tidak sewajarnya dijadikan amalan demokrasi di dalam negara kerana kita masih mempunyai cabang legislatif sebagai salah satu cabang kerajaan. Di sini pentingnya cabang legislatif atau parlimen untuk terus menjalankan fungsi mereka sebagai institusi semak dan imbang kepada kerajaan.
Selain itu, kita perlu menerima hakikat bahawa pandemik Covid-19 ini tidak akan berakhir dalam masa terdekat malah mungkin akan terus ada untuk tempoh satu atau dua tahun lagi. Andainya darurat menjadi kaedah untuk menangguhkan pilihan raya sehingga wabak ini selesai, adakah ianya bermaksud bahawa rakyat di Batu Sapi, atau di mana-mana kawasan yang perlu diadakan pilihan raya atau pilihan raya umum ke 15 selepas ini akan terus tidak mempunyai wakil mereka di parlimen untuk tempoh satu atau dua tahun juga? Bagaimanakah suara rakyat di Batu Sapi akan didengari di parlimen selepas ini?
Penutup
Atas sebab-sebab dan cadangan-cadangan yang dinyatakan di atas, BERSIH 2.0 berpandangan bahawa Malaysia perlu dan mampu menunjukkan kepada dunia bahawa kita boleh mengendalikan pilihan raya dengan kaedah terbaik dan tidak merisikokan kesihatan pengundi. Selain itu, kita juga dapat menunjukkan jalan bahawa demokrasi tidak sewajarnya dikorbankan malah boleh berdiri kukuh terutama dalam keadaan yang luar biasa seperti wabak Covid-19 ini.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0
(1) https://www.bersih.org/kenyataan-media-bersih-2-0-bila-pengundi-luar-kawasan-boleh-undi-pos/
(2) Petisyen Bersih Sarawak, http://chng.it/8rcCX4KMgY
(3) Bahagian 5: Kesimpulan dan Cadangan Laporan Pemerhatian Pilihan Raya Umum Negeri Sabah Kali ke-16,https://www.bersih.org/wp-content/uploads/2020/10/Laporan-Pemerhatian-Pilihan-Raya-Umum-Negeri-Sabah-Kali-Ke-16.pdf
(4) Ibid