Kenyataan Media Bersih 2.0 (24 November 2020): 5 ADUN Lantikan Pahang Akan Berikan MB Kuasa Tanpa Semakan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) melihat pewujudan sehingga 5 kerusi bagi ADUN Lantikan di Pahang sebagai percubaan jahat untuk merampas demokrasi dan memberikan kuasa tanpa tidak seimbang kepada Menteri Besar (MB).

Dengan memperbesarkan jumlah ADUN daripada 42 ke 47, lebih daripada pembesaran majoriti gabungan kerajaan BN-PN daripada 33:9 ke 38:9, ianya akan memberikan MB kuasa mutlak untuk melantik setiawan sebagai pasukan sorak di dalam DUN ataupun menjadikan kawasan pembangkang sebagai sasaran oleh calon berpotensi dengan menggunakan dana awam.

Dengan pindaan Perkara 18 dan memasukkan Perkara 18A, 18B dan 18C ke dalam Perlembagaan Pahang, 5 orang ADUN tambahan ini:

(a)      akan dilantik dengan usul yang diluluskan di DUN dengan majoriti mudah, tanpa melalui sebarang pemilih atau mempunyai sebarang kriteria yang melayakkan, justeru secara berkesan memberi kuasa mutlak kepada MB;

(b)      akan menikmati semua kuasa, gaji dan elaun sama seperti ADUN yang dipilih, kecuali kelayakan untuk dilantik sebagai Menteri Besar dan Ahli Majlis Eksekutif (EXCO); [Perkara 18A(4)]

(c)       [Article 18B] boleh ditamatkan oleh Raja dengan nasihat Menteri Besar atas dasar ‘‘kepentingan nasional”, “kepentingan keselamatan nasional”, “polisi kerajaan” atau “polisi awam”, di mana Kerajaan Negeri mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan dan tidak boleh dicabar di mahkamah.[Perkara 18B]

Bersih 2.0 amat risau yang 5 kerusi bonus ini akan menjadikan MB Pahang sebagai panglima (warlord) yang bukan sahaja tidak dapat diimbangi oleh pembangkang, bahkan juga sekutunya dalam kerajaan. Kos 5 tahun untuk 5 kerusi bonus berjumlah RM3.8 juta ini akan ditanggung oleh pembayar cukai di Pahang.

Bersih 2.0 menolak sepenuhnya kenyataan salah MB Wan Rosdy Wan Ismail yang menyatakan pelantikan ini tidak bermotifkan politik dan ADUN lantikan ini perlu memberi justifikasi kelayakan profesional mereka sebelum dilantik. Sekiranya kelayakan profesional adalah penting mengapa mereka tidak dimasukkan dalam Perkara 18 atau peruntukan yang lain?

Bersih 2.0 juga membongkar alasan merepek Wan Rosdy bahawa Pahang perlu lebih banyak ADUN untuk berkhidmat kepada pengundi di atas empat asas:

  • ADUN Pahang hanya bermesyuarat sebanyak 11 hari dalam tahun 2019. Kita tidak perlu membayar ratusan ribu kepada 5 orang ADUN lagi.
  • Perkhidmatan yang lebih baik dapat disediakan melalui pendanaan yang lebih baik dan agensi kerajaan yang lebih berkesan termasuklah pihak berkuasa tempatan yang lebih baik, bukannya dengan menambah bilangan ADUN.
  • Dengan peningkatan pengundi tahunan sekitar 2% setiap tahun, Pahang mempunyai nisbah pengundi per ADUN keempat paling rendah (19,619 pengundi pada 2018) di semenanjung, dengan dipintas oleh Selangor (43,142), Johor (32,464) atau Kedah (31,847).
  • Sekiranya Pahang memerlukan lebih banyak ADUN, maka kerajaan negeri perlu meminda perlembagaan negeri untuk menambah jumlah kerusi pilihan raya, bukannya mencipta kerusi lantikan.


Walaupun menolak secara mutlak kerusi bonus untuk kerajaan di Pahang dan Sabah, Bersih 2.0 menyokong pengenalan wakil rakyat tanpa kawasan pilihan raya. Sekiranya legislatif aktif menyemak kerajaan dengan pelbagai jawatankuasa pilihan khas, wakil rakyat tanpa kawasan ini dengan kepakaran polisi mungkin dapat menyumbang secara substantif bagi pembentukan undang-undang dan polisi.

Wakil rakyat tanpa kawasan pilihan raya boleh dipilih melalui pemisahan kertas undi Senarai-Parti disamping kertas undi FPTP bagi wakil rakyat biasa, sebagaimana di Jerman, New Zealand, Jepun, Korea, Taiwan dan Itali. Ini adalah kebiasaan bentuk sistem Perwakilan Campuran Berkadar (Mixed-Member System) untuk mempunyai dua kertas undi.

Sebagai alternatif, kerusi tanpa kawasan boleh secara berkadaran diperuntukkan kepada parti berdasarkan jumlah undi yang diterima di bawah FPTP, sebagaimana di Thailand sekarang dan di Jerman pada tahun 1949. Dengan parti menamakan senarai calon tanpa kawasan seiiring dengan calon FPTP dalam pilihan raya, wakil rakyat tanpa kawasan secara asasnya adalah dipilih dan bukannya dilantik. Ini adalah sistem kertas undi yang jarang dalam Sistem Perwakilan Campuran Berkadar.

Sekiranya kerusi tanpa kawasan dicipta tanpa sebarang asas pilihan raya, ianya hanya sah dalam dua keadaan:

  1. Sebagai kerusi “calon kalah terbaik”, di mana calon-calon terkuat yang kalah dilantik, supaya pengundi calon kalah dalam pemilihan FPTP dapat diwakili. Sebagai contoh, Singapura menjamin pembangkang akan mempunyai sekurang-kurangnya 12 kerusi di Parlimen. Di dalam pilihan raya 2020, apabila hanya 10 ahli parlimen daripada Parti Pekerja dipilih, dua daripada calon terbaik daripada Parti Progres Singapura (PSP) dilantik sebagai “ahli parlimen tanpa kawasan”.
  2. Sebagai kerusi “top-up” bagi memastikan wanita dan etnik atau kelompok minoriti secara demografik dapat menjadi perwakilan. Pada tahun 2003, Terengganu meminda Perkara XXV11 (2) Perlembagaan Negeri untuk menyediakan pelantikan sehingga empat ADUN lantikan bagi mewakili wanita atau bukan muslim sekiranya tiada yang terpilih dalam pilihan raya. Pada tahun 2018, Zuraida Md Noor dilantik sebagai ADUN lantikan wanita pertama Terengganu.

Bersih 2.0 menyokong pengenalan kerusi tanpa kawasan hanya dengan empat cara di atas: (1) dua kertas undi Perwakilan Campuran Berkadar (MMP), (2) satu kertas undi MMP, (3) kerusi calon kalah terbaik dan (4) kerusi “top-up”, tetapi menolak dengan keras kerusi bonus untuk memberikan lebih kuasa kepada kerajaan negeri.

Bersih 2.0 menggesa Pahang dan Sabah untuk  mengubah suai kerusi bonus mereka kepada satu kertas undi MMP, kerusi calon kalah terbaik dan kerusi “top-up”.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0