Kenyataan Media Bersih 2.0 (25 November 2020): Tidak Bertanggungjawab Benarkan Jeffery Kitingan Hadir Dewan Rakyat Tanpa Tamatkan 14 Hari Kuarantin Wajib

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mempersoalkan tindakan kerajaan yang tiba-tiba mengubah prosedur operasi tetap (SOP) untuk membenarkan pengembara daripada Sabah yang memasuki Semenanjung tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari jika disahkan negatif(1). SOP ini dilihat berubah selepas isu Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang melanggar kuarantin wajib 14 hari apabila beliau datang ke Dewan Rakyat untuk perbahasan belanjawan(2) walaupun beliau baru sahaja kembali ke Kuala Lumpur dari Sabah pada 12 November yang lalu. Sebelum ini pada 20 November 2020, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham mengatakan semua individu dari Sabah perlu kuarantin selama 14 hari walaupun didapati negatif (3).

Sekiranya SOP ini diubah semata-mata untuk membenarkan wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen seperti Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Bung Mokhtar untuk mengundi bagi meluluskan Belanjawan 2021, tindakan ini dengan jelas menunjukkan satu penyalahgunaan kuasa di pihak kerajaan tanpa menghiraukan kesihatan dan keselamatan orang ramai. Tindakan ini jelas tidak bertanggungjawab sekiranya kerajaan sanggup merendahkan tahap berjaga-jaga semata-mata untuk kepentingan sempit politik mereka.

Bersih 2.0 berpandangan bahawa bagi mengembalikan hak semua ahli parlimen untuk berbahas dan mengundi sesuatu usul dalam parlimen, adalah lebih baik untuk kerajaan melaksanakan sidang hibrid (hybrid seating) bagi membenarkan wakil rakyat yang terpaksa dikuarantinkan untuk berbahas dan mengundi secara maya (virtual). Perkara ini pernah kami cadangkan pada bulan Mei yang lepas supaya kerajaan menjalankan sidang secara maya(4). Malah sidang hibrid ini juga telah dijalankan oleh Parlimen UK di mana ada ahli parlimen yang dibenarkan bersidang di dalam dewan dan bakinya secara maya(5). Malangnya kerajaan tidak menerima cadangan ini dan sekarang kelihatan menukar SOP pencegahan penularan wabak pandemik demi kepentingan politik sendiri.

Bersih 2.0 menggesa agar pihak kerajaan tidak sewenang-wenangnya mengubah SOP oleh kerana terdapat ahli parlimen dari blok mereka yang melanggar peraturan. Ini sekali lagi satu penyalahgunaan kuasa yang sangat jelas dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia perlu mendakwa mana-mana ahli politik yang melanggar arahan tanpa ada sikap berat sebelah.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

(1) https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/11/24/health-minister-no-more-quarantine-for-sabah-returnees-who-test-negative/1925678

(2) https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1904671

(3) https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/756445/covid-19-individu-tiba-dari-sabah-perlu-pakai-gelang-kuarantin-jalani

(4) https://www.bersih.org/kenyataan-media-bersih-2-0-18-mei-2020-bersih-2-0-tawar-diri-anjur-sidang-parlimen-maya-bayangan/

(5) https://qz.com/1841417/coronavirus-forces-uk-mps-to-use-zoom-in-virtual-parliament/