Negara kita sekali lagi dipersimpangan politik apabila Menteri Besar Perak Datuk Ahmad Faizal Azumu telah ditumbangan melalui undi tak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini. Sehubungan dengan itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) sekali lagi menggesa agar kerajaan baharu yang bakal dibentuk untuk mengamalkan politik yang lebih matang dalam amalan pentadbiran mereka..
BERSIH 2.0 menyeru supaya tidak kira gabungan mana pun yang membentuk kerajaan baharu Perak, kerajaan baharu ini harus bersikap lebih adil dan profesional terhadap pembangkang (tanpa mengira parti) bagi memupuk persaingan sihat antara parti dan membina demokrasi yang stabil.
Reformasi yang menguntungkan semua parti dalam jangka panjang malah harus menjadi pertimbangan utama dalam rundingan pembentukan kerajaan baharu. Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (Confidence and Supply Agreement, CSA) antara kerajaan dan pembangkang boleh menjadi satu alat untuk mencapai permuafakatan antara parti.
Justeru, BERSIH 2.0 mencadangkan tiga reformasi yang utama untuk bagi mewujudkan persaingan politik yang lebih sihat:
- Peruntukan yang saksama untuk semua ADUN tanpa mengira parti politik pembangkang atau kerajaan.
- Penubuhan jawatan-jawatankuasa pilihan (select committees) untuk DUN Perak agar 50 orang ADUN bukan-eksekutif kerajaan (government backbenchers) dan pembangkang boleh memainkan peranan yang lebih berkesan serta bernas dalam pembentukan dasar-dasar negeri dan pemantauan kepada perlaksanaan dasar-dasar ini.
- Tidak menjanjikan dan menjadikan jawatan-jawatan GLC negeri sebagai hadiah kepada ADUN penyokong kerajaan tetapi jawatan tersebut perlu diisi dengan mereka yang berkelayakan dan berkebolehan.
BERSIH 2.0 telah berulang kali menegaskan bahawa kestabilan politik boleh tercapai dalam dua bentuk iaitu secara kerajaan majoriti atau kerajaan minoriti dengan CSA. Semua pihak harus berlapang dada dengan sebarang gabungan tetapi parti-parti dalam gabungan pemerintah yang baharu wajib mengumumkan perjanjian kerajaan gabungan atas dasar-dasar utama untuk mengelakkan pertingkahan yang tidak perlu pada masa depan.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0