Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengalu-alukan persetujuan kerajsama di antara parti pemerintah dan parti pembangkang yang telah dicapai di Perak berdasarkan kepada titah Sultan Perak demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat, di mana parti pembangkang bersetuju memberi sokongan kepercayaan kepada menteri besar dan kerajaan negerinya(1) dan parti pemerintah bersetuju melaksanakan reformasi institusi yang tertentu(2).
Kami mengucapkan syabas kepada Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, Ketua Pembangkang, Abdul Aziz Bari dan semua Ahli Majlis Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Barisan Nasional-Perikatan Nasional (BN-PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang telah mengutamakan kestabilan politk dan kepentingan rakyat dan negara dalam mencapai persetujuan keyakinan dan pembekalan ini.
Persetujuan ini mirip kepada semangat persetujuan keyakinan dan pembekalan (Confidence and Supply Agreement). Ini mungkin merupakan persetujuan keyakinan dan pembekalan di antara parti pemerintah dan parti pembangkang yang pertama dalam sejarah politik Malaysia. Ini juga merupakan norma baharu dan amalan politik matang yang perlu dibiasakan oleh parti-parti politik dalam era baharu politik Malaysia untuk menangani persaingan politik yang amat ketat dalam bilangan kerusi yang dipegang oleh parti-parti politik masing-masing.
Bersih 2.0 telah mengeluarkan kenyataan bahawa parti-parti politik perlu memberi pertimbangan untuk mencapai persetujuan keyakinan dan pembekalan sebagai salah satu langkah penyelesaian demokratik kepada polemik politik yang dihadapi oleh negara pada 25 Oktober 2020 setelah berkali-kali sokongan keyakinan perdana menteri Muhyiddin Yassin dipersoalkan(3).
Teladan yang ADUN-ADUN Perak tunjukkan boleh menjadi pelita untuk menyuluh jalan ke depan politik negara agar ahli-ahli politik dapat mengamalkan politik yang sihat, matang dan berpaksikan rakyat.
BERSIH 2.0 mengalu-alukan reformasi yang dipersetujui antara kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di Perak untuk mencapai kestabilan politik setidak-tidaknya sehingga ke akhir penggal DUN tersebut. Antara reformasi yang BERSIH 2.0 pernah cadangkan pada 4 Disember(4) yang lalu telah diangkat untuk dilaksanakan di Perak adalah peruntukan yang saksama untuk semua ADUN tanpa mengira pembangkang mahupun kerajaan, penubuhan jawatankuasa pilihan khas DUN agar ADUN bukan eksekutif kerajaan dan pembangkang dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam pembentukan dasar dan tidak menjanjikan jawatan GLC sebagai hadiah kepada ADUN untuk balasan sokongan kepada kerajaan.
Perjanjian keyakinan dan pembekalan yang dicapai oleh kedua-dua pihak pembangkang dan kerajaan di Perak boleh dijadikan contoh oleh pembangkang dan kerajaan di peringkat persekutuan untuk berbuat perkara yang sama. BERSIH 2.0 menyokong perjanjian yang dibuat oleh ADUN di negeri Perak iaitu:
- Peruntukan tahunan yang sama rata sebanyak RM200,000 kepada setiap ADUN tanpa mengira kecenderungan politik
- Penglibatan setiap wakil rakyat termasuk pembangkang untuk bersama dalam Jawatankuasa Tindakan Daerah (JTD), Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) dan Jawatankuasa Bencana Daerah
- Pengiktirafan rasmi kepada Ketua Pembangkang DUN dengan pemberian gaji, elaun dan emolumen serta memberikan kemudahan yang munasabah
- Bersetuju untuk melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) dalam kalangan pembangkang.
Ahli-ahli politik daripada pembangkang dan kerajaan harus jelas akan peranan dan tanggungjawab mereka kepada rakyat dan negara. Kestabilan politik dalam negara hanya dapat dicapai sekiranya ahli politik mengamalkan persaingan politik yang matang, sihat dan profesional. Untuk mencapai perkara ini, perjanjian keyakinan dan pembekalan berdasarkan reformasi institusi dan reformasi parlimen perlu dilaksanakan segera. Negara ini tanggungjawab kita bersama.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0
1)https://www.sinarharian.com.my/article/115049/EDISI/Perak/Saarani-dapat-sokongan-sebulat-suara