Tahun 2020 yang baru berlalu telah meninggalkan kita dengan pelbagai cabaran dan pengalaman baharu kepada Malaysia. Dunia dan Malaysia seolah-olah telah melompat melangkaui tahun 2020 apabila wabak Covid-19 yang melanda memaksa manusia mengubah tabiat dan kebiasaan kepada norma baharu. Meski demikian, sifat dan tabiat berpolitik manusia tidak banyak berubah.
Agenda mengejar kekuasaan dan pengaruh masih terus berjalan dengan pantas dan membuktikan kata-kata bahawa politik tidak pernah tidur. Ini dibuktikan dengan banyak adegan politik bermula daripada Langkah Sheraton dan kemudian membawa kepada kejatuhan kerajaan persekutuan dan enam buah kerajaan negeri dengan aksi lompatan parti oleh wakil-wakil rakyat dan lompatan gabungan oleh parti-parti sehinggalah kemelut daripada pihak pembangkang dalam usaha merebut semula kuasa eksekutif Persekutuan dengan undi tidak percaya melalui belanjawan 2021.
Menginsafi akan hakikat serta memahami tabiat manusia, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) terus setia memperjuangkan kerangka sistem politik yang lebih demokratik dan stabil untuk negara. Dalam kerangka sistem politik negara sekarang, kita perlu memahami bahawa setiap komponen mempunyai peranan masing-masing terutama sistem yang digunapakai sekarang iaitu sistem demokrasi raja berperlembagaan.
Dalam ruang sistem ini, semua pihak perlu diberikan kebebasan yang lebih luas dan insentif yang lebih berkesan agar persaingan politik dalam negara kita adalah berdasarkan dasar dan profesionalisme dan bukan pergelutan kuasa yang kasar antara ahli-ahli politik yang bercita-cita besar.
Justeru, menyedari keperluan politik negara perlu distabilkan dengan amalan politik yang sihat, pada bulan Jun 2020, BERSIH 2.0 bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) telah mengeluarkan kenyataan menggesa perjanjian antara parti politik berasaskan enam perkara termasuk reformasi parlimen serta peruntukan pembangunan kawasan (CDF) yang saksama. Perkara-perkara ini kemudian menjadi tulang belakang kepada perbincangan tentang Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (Confidence and Supply Agreement, CSA).
Gesaan ini telah berhasil di Perak dengan perlantikan Menteri Besar Perak baharu Saarani Mohamad yang mengumumkan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) sebanyak RM200,000 yang sama untuk setiap ADUN, rancangan untuk melantik ADUN pembangkang mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) dan janji untuk melantik semua ADUN termasuk ahli pembangkang dalam pelbagai jawatankuasa di peringkat daerah. Pada 6 Disember, Menteri Besar Johor juga mengistiharkan pertambahan peruntukan pembangunan kawasan sebanyak RM150,000 yang sama untuk semua ADUN Johor tanpa mengira parti. Kerajaan Perlis juga telah berjanji untuk memberikan peruntukan yang saksama kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang.
Sehubungan itu, bagi mewujudkan persekitaran politik Malaysia yang lebih sihat, BERSIH 2.0 menggesa amalan berikut untuk dilaksanakan:
- Peruntukan pembangunan kawasan yang saksama kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang, sama ada di peringkat persekutuan mahupun di semua negeri selain Perak.
- Reformasi parlimen/perundangan agar ahli parlimen/ADUN kerajaan yang bukan eksekutif dan ahli parlimen/ADUN pembangkang dapat memainkan peranan serta fungsi yang lebih bermakna seperti penyertaan dalam sekurang-kurangnya satu jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSC), ruang untuk urusan bukan kerajaan termasuk rang undang-undang persendirian dan penentuan agenda parlimen/DUN secara bersama oleh semua parti.
- Pengiktirafan kabinet bayangan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dengan memberikan elaun dan emolumen serta diberikan akses munasabah kepada maklumat kerajaan untuk membolehkan pembentukan dasar alternatif.
- Memperkenalkan mekanisme pilihan raya pecat wakil rakyat (recall election) di peringkat persekutuan dan negeri bagi memberikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan mandat ahli parlimen/ADUN yang melompat ke parti atau gabungan yang lain daripada semasa mereka memenangi kerusi tersebut.
- Kesetaraan di hadapan undang-undang. Pendakwaan terpilih dan pemberian imuniti daripada didakwa oleh undang-undang sehingga wujudnya masyarakat ‘dua darjat’ mesti tamat. Kami mencadangkan agar satu Pejabat Pendakwa Raya yang bebas daripada pengaruh politik ditubuhkan dan dipisahkan daripada Jabatan Peguam Negara.
- Pembahagian kuasa yang lebih rasional, bersesuaian dan bermakna di antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan supaya tidak semua kuasa berpusat kepada kerajaan persekutuan dan sebaliknya semua peringkat kerajaan dapat memainkan peranan yang penting dengan sumber yang mencukupi. Sejajar dengan ini, kerajaan tempatan perlu diadakan pilihan raya tempatan.
- Pengenalan kerusi-kerusi Perwakilan Berkadaran Senarai Parti (List-PR) yang dipilih atas mandat langsung kepada parti dan kekal dengan parti sekalipun wakil rakyat melompat parti, di sisi kerusi di bawah sistem First-Past-The-Post (FPTP) sedia ada di kedua-dua peringkat Persekutuan dan Negeri.
Harapan BERSIH 2.0 serta semua rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi adalah untuk melihat lebih ramai ahli dan parti politik untuk menunjukkan sifat matang dalam amalan politik mereka serta meletakkan keutamaan rakyat sebagai agenda paling mustahak. Hal ini dapat dilaksanakan dengan tulus dan jujur dengan melakukan reformasi institusi yang berterusan bagi membawa negara kita mengatasi samudera cabaran Covid-19 untuk tahun-tahun yang akan datang. Marilah kita terus bekerja untuk Malaysia yang lebih bersih, adil dan makmur.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0