Perkenalkan Pendanaan Awam kepada Parti Politik Untuk Ketelusan dan Padang Permainan Yang Sama Rata

Gabungan pilihan raya bersih dan adil (BERSIH 2.0) menyeru perdana menteri, parti-parti politik dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan polisi pendanaan awam untuk parti politik di Malaysia demi meningkatkan ketelusan pendanaan parti politik dan padang permainan yang sama rata di antara parti pemerintah dan parti pembangkang.

Usaha ini perlu dibuat dengan melibatkan semua parti politik supaya politik kepartian di Malaysia lebih stabil, berinstitusi dan profesional.

Seruan ini dibuat berdasar kepada satu laporan kajian yang telah dilancarkan oleh Bersih 2.0 hari ini yang bertajuk “Pendanaan Awam untuk Parti Politik: Perbahasan, Kajian Kes dan Cadangan-Cadangan”. Kajian tersebut telah dijalankan oleh Ooi Kok Hin di bawah naungan BERSIH 2.0.

Malaysia adalah negara yang bertentangan dengan arus perdana dunia di mana lebih daripada 2/3 negara-negara di dunia mempunyai undang-undang yang memperuntukan pendanaan awam untuk parti politik.

Berdasarkan kajian tersebut, BERSIH 2.0 mencadangkan satu polisi pendanaan awam tahunan sebanyak RM133 juta untuk parti-parti politik di peringkat parlimen dan Suruhanjaya Pilihan Raya dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan dana ini kepada parti-parti politik menurut tiga cadangan-cadangan dibawah:

  1. Pendanaan awam secara langsung yang berdasarkan jumlah undi kepada parti politik untuk perbelanjaan operasi parti politik dan kempen pilihan raya. Jumlah pendanaan awam ini akan diberikan secara berkadaran mengikut jumlah undi yang parti tersebut terima dalam pilihan raya umum yang terakhir. Nilai ambang bagi kelayakan parti politik untuk menerima dana ini adalah sebanyak 2% undi popular di mana-mana wilayah Semenanjung, Sabah atau Sarawak. Nilai ambang yang berdasarkan tiga wilayah ini bertujuan agar parti yang hanya beroperasi di Sabah dan Sarawak tidak didiskriminasikan serta lebih mengangkat semangat Perjanjian Malaysia 1963. Daripada jumlah dana yang diterima, parti politik perlu menyalurkan 25% dana kepada kajian pembangunan dasar.
  2. Pendanaan awam secara langsung berdasarkan jumlah kerusi parlimen yang dipegang oleh wanita untuk menggalakkan perwakilan wanita dalam politik Malaysia. Kami mencadangkan peruntukan RM10 juta diasingkan bagi cadangan ini. Tujuan utamanya adalah bagi menggalakkan perwakilan wanita di Dewan Rakyat. Untuk kelayakan menerima peruntukan ini, parti politik hanya perlu ada sekurang-kurangnya seorang wanita dipilih sebagai ahli parlimen. Peruntukan ini akan disalurkan secara berkadaran berdasarkan jumlah ahli parlimen wanita yang mewakili parti tersebut. Sebagai tambahan, jumlah penggunaan perlu disalurkan kepada program parti dan pengambilan staf bagi menggalakkan penyertaan wanita dalam politik.

    Semakin banyak ahli parlimen wanita yang ada, semakin tinggi pendanaan awam yang akan diterima secara tahunan. Parti-parti kecil juga dapat mendapat manfaat dengan menamakan calon wanita dalam kerusi yang berpotensi. Sebagai contoh, sekiranya sesebuah parti kecil hanya mempunyai seorang ahli parlimen, mereka berkemungkinan mendapat jumlah yang kecil di bawah cadangan yang pertama tetapi sekiranya ahli parlimen tersebut adalah wanita maka parti tersebut boleh mendapat dana tambahan. Ini akan memberi lebih insentif untuk parti politik untuk bukan sahaja menamakan wanita sebagai calon malah akan membuatkan mereka melayan calon wanita secara serius dengan menempatkan di kerusi yang boleh menang.

    Kami juga menggesa wakil rakyat dan sayap wanita dalam semua parti politik serta kumpulan advokasi wanita, untuk menyokong cadangan ini bagi mempunyai pendanaan secara langsung berdasarkan jumlah kerusi bagi menggalakkan wanita dalam politik. Cadangan ini sangat penting melihatkan jumlah wanita yang sangat rendah serta tidak menggalakkan di dalam politik Malaysia. Malaysia berada pada kedudukan 142 daripada 190 negara oleh Inter-Parliamentary Union (IPU) untuk perwakilan wanita dalam parlimen pada Januari 2021. Selain itu, hanya 14.4% bilangan wanita yang dicalonkan dalam PRU14 berjaya menang dan menjadi wakil rakyat di parlimen.

 

  1. Cadangan ketiga adalah pendanaan awam secara tidak langsung melalui pemberian subsidi seperti siaran langsung, percetakan, pos serta penggunaan bangunan kerajaan dan awam secara percuma pada waktu tertentu. Cadangan ini akan memakan kos yang lebh kecil berbanding dua cadangan sebelumnya dan dapat menyediakan bantuan serta sumber yang bernilai kepada parti politik.

 

Cadangan yang dikemukakan di dalam kertas kajian ini kebanyakannya hanya menumpukan kepada pendanaan awam di peringkat persekutuan namun kami turut menyarankan agar mekanisme yang dicadangkan turut diangkat di peringkat negeri-negeri. Negeri yang lebih kaya seperti Sarawak, Selangor dan Pulau Pinang boleh membuka jalan bagi pelaksanaan pendanaan awam di peringkat negeri.

Reformasi institusi dan reformasi politik dapat menambahbaik kualiti persaingan politik antara parti-parti politik di Malaysia bagi memacu negara kita untuk mempunyai demokrasi yang lebih sihat dan bermakna. Persaingan politik yang sihat boleh menatijahkan politik yang berdasarkan perlawanan idea dan dasar yang lebih baik serta berpaksikan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0