Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengutuk sekeras-kerasnya Tatmadaw (tentera) yang merampas kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat Myanmar, sehari sebelum parlimen dijadualkan untuk bersidang. Ini jelas sama sekali tidak menghiraukan kehendak rakyat dan mengenepikan norma dan proses demokratik yang dibina sejak 2015 lagi.
BERSIH 2.0 memperjuangkan pilihan raya bersih dan adil sebagai asas untuk membentuk kerajan yang sah. Pilihan raya Myanmar pada November 2020 adalah petunjuk jelas bahawa majoriti rakyat bersama Liga Demokrasi Nasional (National League for Democracy – NLD) yang telah memenangi majoriti kerusi. Kami maklum tuduhan Tatmadaw bahawa wujudnya penipuan pilihan raya namun tiada bukti yang ditunjukkan dan tuduhan ini tidak dibawakan melalui saluran yang sepatutnya.
BERSIH 2.0 amat khuatir terhadap jalan demokrasi di Myanmar yang berpatah balik serta pelanggaran hak asasi manusia yang sedang berlaku di sana.
BERSIH 2.0 menggesa supaya semua aktivis dan ahli politik yang ditahan dibebaskan dengan segera. Darurat perlu dibatalkan segera dan kerajaan pilihan rakyat perlu dibenarkan untuk beroperasi. Semua gangguan kepada media mesti dihentikan serta saluran komunikasi dan maklumat yang bebas terutamanya dalam waktu genting ini perlu dibenarkan. Kami juga menggesa komuniti antarabangsa dan negara-negara ASEAN untuk maju ke depan bersolidariti bersama rakyat Myanmar.
Dikeluarkan oleh:
Biro Antarabangsa BERSIH 2.0 (B2IB)