Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mempersoalkan pembahagian peruntukan pembangunan kawasan yang meragukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada ahli parlimen pembangkang dan kerajaan. Persoalan ini berikutan pendedahan oleh ahli parlimen Segambut, YB Hannah Yeoh(1) dan ahli parlimen Bagan Datuk, YB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi(2).
Untuk kes Hannah Yeoh, beliau mendakwa tidak lagi menerima peruntukan kawasan parlimen sebanyak RM3.8 juta selepas kerajaan PN naik melalui Langkah Sheraton. Peruntukan tersebut dibuat oleh bekas kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) yang sepatutnya diberikan kepada ahli parlimen telah dipesongkan dan diberikan kepada ahli politik PN yang bukan wakil rakyat di Segambut. Kes Zahid Hamidi pula menunjukkan tindakan yang lebih berat sebelah walaupun sesama ahli parlimen yang menyokong kerajaan PN apabila beliau mendakwa ahli parlimen UMNO hanya mendapat RM100,000 sahaja berbanding ahli parlimen PN yang mendapat RM3.7 juta.
BERSIH 2.0 mengutuk penyaluran peruntukan pembangunan kawasan ini yang ternyata tidak profesional, adil dan bermotif politik. Penyaluran peruntukan ini kepada individu yang tidak dipilih dalam pilihan raya tidak sepatutnya berlaku dan perlu dihentikan segera kerana tindakan ini adalah tidak telus dan bertanggungjawab dan merupakan satu penyelewengan kuasa. Individu atau ahli politik yang tidak dipilih itu tidak akan dipertanggungjawabkan di dalam dewan kerana tidak ada sebarang mekanisme untuk mereka berbuat demikian.
Peruntukan ini seharusnya disalurkan secara kepada wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya tanpa kira parti secara saksama kerana mereka mewakili kepentingan rakyat di kawasan tersebut.
Tambahan pula, disebabkan darurat, ahli-ahli parlimen ini tidak dapat mempersoalkan tindakan ini di dalam Dewan Rakyat kerana Parlimen telah digantung sehingga sekurang-kurangnya bulan Ogos.
BERSIH 2.0 mencadangkan satu undang-undang peruntukan pembangunan kawasan digubal yang menjamin semua ahli parlimen diberi layanan yang sama tanpa diskriminasi dan tidak diubah sewenang-wenangnya oleh kerajaan yang memerintah demi kepentingan politik. Peruntukan pembangunan kawasan juga perlu diberikan dengan syarat dan mekanisme pemantauan yang ketat agar tidak ada ketirisan serta memastikan proses agihan peruntukan di kawasan masing-masing berjalan dengan telus serta berakauntabiliti.
BERSIH 2.0 sekali lagi ingin menegaskan bahawa untuk membawa kestabilan politik di Malaysia dan untuk negara memacu demokrasi yang lebih sihat serta bermakna, kerajaan perlu melakukan reformasi peruntukan pembangunan kawasan dengan memberikan peruntukan ini secara adil dan saksama kepada semua wakil rakyat tanpa melihat kepada kecenderungan parti.
Rakyat di sesuatu kawasan tidak patut dihukum kerana melaksanakan hak dan tanggungjawab membuang undi untuk mana-mana parti.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0