Pisahkan Pengurusan Pilihan Raya Di Malaysia Kepada Tiga Suruhanjaya

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mencadangkan agar badan pengurusan pilihan raya di Malaysia dibahagikan kepada tiga suruhanjaya yang mempunyai autonomi dan bidang kuasa yang berlainan. Pemecahan badan pengurusan pilihan raya ini dicadangkan agar pengurusan pilihan raya di Malaysia dilaksanakan dengan lebih efisen, cekap dan bebas.

Ketika ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memikul semua bebanan tugas pelaksanaan pilihan raya seperti pendaftaran pemilih, persempadanan semula kawasan pilihan raya, penjalanan pilihan raya seperti penamaan calon dan penguatkuasaan Akta Kesalahan Pilihan Raya dengan bantuan daripada agensi lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Cadangan ini dibuat berdasarkan laporan kajian yang telah dilancarkan oleh BERSIH 2.0 pada hari ini yang bertajuk “Tiga Lebih Baik: Reformasi Institusi Bagi Pengurusan Pilihan Raya di Malaysia”. Kajian ini telah dijalankan oleh Chan Tsu Chong di bawah naungan BERSIH 2.0.

BERSIH 2.0 mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya dipecahkan kepada tiga suruhanjaya iaitu:

1. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) – Suruhanjaya ini masih bertanggungjawab untuk proses pelaksanaan pilihan raya seperti pendaftaran pemilih, penamaan calon, pelaksanaan hari pengundian, penjumlahan undi dan pengisytiharan keputusan pilihan raya.

2. Suruhanjaya Penguatkuasa Pilihan Raya (SPPR) – Tanggungjawab suruhanjaya ini adalah untuk memantau dan memastikan pematuhan kesemua undang-undang berkaitan pilihan raya termasuklah Akta Pilihan Raya 1958 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Selain itu, SPPR ini juga akan bertanggungjawab meregulasi pendaftaran dan pengurusan parti politik termasuklah pendanaan parti politik dan laporan tahunan parti politik. SPPR akan mempunyai kuasa menyiasat, mengeluarkan waran dan memanggil suspek serta saksi. SPPR juga boleh menubuhkan Tribunal Pilihan Raya untuk menerima aduan dan melakukan siasatan.

Suruhanjaya ini hendaklah dianggotai oleh Ketua Polis Negara (KPN), Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara serta empat orang ahli suruhanjaya yang dilantik berdasarkan kepakaran. Daripada empat orang ini, dua daripadanya harus dilantik daripada pertubuhan masyarakat sivil.

3. Suruhanjaya Persempadanan (SP) – Suruhanjaya ini adalah satu suruhanjaya yang ditubuhkan secara ad-hoc apabila wujud keperluan melakukan persempadanan semula berdasarkan peruntukan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. Kami mencadangkan supaya Jadual Ketiga Belas ini dipinda bagi memberikan SP kuasa pemutus muktamad untuk meluluskan cadangan persempadanan.

SP perlu dianggotai oleh seorang Hakim Mahkamah Persekutuan, seorang ahli SPR, seorang ahli SPPR, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Pengarah Jabatan Perangkaan Negara dan dua orang ahli yang mempunyai kelayakan yang sah serta berpengalaman sekurang-kurangnya 10 tahun dalam pilihan raya, statistik dan geografi.

BERSIH 2.0 mencadangkan agar ketiga-tiga suruhanjaya ini bebas sepenuhnya daripada kuasa Eksekutif serta perkhidmatan awam dan kesemua suruhanjaya ini hendaklah dipantau dan melaporkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkenaan urusan pilihan raya di Parlimen.

Untuk urusan penamaan calon-calon yang layak menganggotai suruhanya ini, BERSIH 2.0 mencadangkan agar satu Jawatankuasa Khas Penamaan Suruhanjaya Pilihan Raya (JKPR) dibentuk untuk menapis dan menyenarai pendek calon-calon yang berkompentensi untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), yang kemudiannya YDPA akan melantik ahli-ahli suruhanjaya tersebut. Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, Pengerusi dan seorang ahli dari Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk urusan pilihan raya, Ketua Hakim Negara, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Presiden Majlis Peguam, dan seorang ahli daripada pertubuhan masyarakat sivil.

BERSIH 2.0 percaya bahawa reformasi yang paling utama adalah untuk reformasi pilihan raya dan institusi dengan mereformasi badan pengurusan pilihan raya agar badan pengurusan pilihan raya ini dilihat telus, efisien dan mendapat keyakinan rakyat untuk memegang amanah bagi menjalankan pilihan raya. Keyakinan rakyat sangat bergantung kepada ketelusan proses pilihan raya dan badan pengurusan pilihan raya ini mempunyai semak dan imbang yang secukupnya.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0