Kerajaan Perlu Iktiraf Suara Pengundi Muda Sekarang, Jangan Berdolak-Dalik Lagi

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mempersoalkan komitmen Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membolehkan anak muda yang berumur 18 tahun dan ke atas menjadi pemilih bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang. Sekiranya PN jujur mengiktiraf suara dan peranan anak muda sebagai tonggak negara, mereka perlu segera mewartakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 atau RUU Undi 18 ini bagi membolehkan rakyat yang sudah mencapai umur 18 tahun untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi.

BERSIH 2.0 mempersoalkan perkara ini berdasarkan kenyataan yang dikatakan daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal bahawa rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun belum bersedia untuk mengundi dalam pilihan raya dan perlu penginstitusian pendidikan politik terlebih dahulu(1). Kenyataan yang bernada serupa juga telah dikeluarkan lebih awal oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim yang mengatakan bahawa mereka yang berusia 18 tahun tidak bersedia kerana belum melalui warna-warni kehidupan justeru tidak perlu diberikan tanggungjawab untuk menentukan hala tuju negara(2).

BERSIH 2.0 ingin mengingatkan bahawa kematangan dalam memilih dan kesedaran politik tidak seharusnya dihadkan kepada mereka yang berumur 18 sahaja kerana umur semata tidak menentukan tahap kematangan seseorang. Mereka yang lebih berusia serta yang dikatakan ‘lebih makan garam’ juga tidak semestinya memahami sistem politik dan peranan institusi-institusi negara.

Suara generasi muda perlu dihormati dan diambilkira dalam pilihan raya. Mereka yang akan mewarisi negara ini dan suara mereka terhadap isu-isu dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara yang akan mempengaruhi mereka pada masa depan tidak seharusnya dinafikan lagi.

Walaupun kami bersetuju bahawa perlu ada pendidikan sivik dan politik untuk mendedahkan anak muda kepada demokrasi dan pilihan raya, namun perkara ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghentikan usaha melibatkan rakyat yang berumur 18 tahun daripada menjadi pemilih dalam pilihan raya. Usaha mendidik dan melibatkan rakyat untuk menentukan hala tuju negara perlu berjalan seiring serta berterusan.

Tambahan pula pindaan perlembagaan ini telah disokong oleh 211/222 ahli parlimen di Dewan Rakyat. Melambat-lambatkan proses pewartaan RUU Undi 18 ini bererti menafikan kehendak Dewan Rakyat. Kenyataan yang berbolak-balik oleh ahli politik yang menjawat jawatan penting dalam kerajaan seperti Wan Fayhsal dan Rais Yatim hanya menunjukkan bahawa Kerajaan PN tidak mengambil serius keputusan Dewan Rakyat yang mahukan rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dibenarkan untuk menjadi pengundi.

BERSIH 2.0 sekali lagi menggesa Kerajaan PN untuk segera mewartakan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk membolehkan rakyat Malaysia yang sudah mencapai umur 18 tahun mendaftarkan diri sebagai pengundi walaupun pendaftaran automatik belum dilaksanakan.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

  1. https://www.therakyatpost.com/2021/02/15/undi-18-dep-minister-says-msian-youth-not-ready-while-the-passed-law-sits-in-limbo-for-almost-2-years/
  2. https://www.utusan.com.my/premium/2021/02/pendaftaran-pengundi-18-tahun-secara-automatik-jadi-atau-tidak/