Rombak Kelebihan Penyandang Jawatan Atau Langkah Sheraton Akan Menjadi Norma Baharu Selepas PRU15

Sempena setahun rampasan kuasa Malaysia yang dikenali sebagai Langkah Sheraton, di mana Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri (PM) ke-8 pada 1 Mac tahun lepas, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) memberi amaran bahawa perubahan kerajaan melalui pengkhianatan wakil rakyat yang melompat parti mungkin menjadi norma baru dan menghakis kepercayaan kepada demokrasi berparlimen di negara kita walaupun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Kelebihan penyandang jawatan adalah pendorong utama berlakunya pengkhianatan. Rakyat Malaysia yang mahukan kestabilan politik dan ekonomi serta menolak korupsi perlu menuntut rombakan kepada kelemahan struktur ini bagi membuka jalan kepada persaingan parti yang lebih sihat yang berpaksikan tawaran polisi dan program yang lebih baik.

Sejak Langkah Sheraton, kita telah menyaksikan keruntuhan kerajaan persekutuan dan enam kerajaan negeri, cubaan merampas semula kuasa dan Darurat yang kelihatan dibuat untuk mengelakkan kejatuhan kerajaan Muhyiddin: Perikatan Nasional (PN) + Barisan Nasional (BN) + Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Khabar angin yang bertiup tentang pengkhianatan dan penarikan sokongan terhadap kerajaan PN+BN+GPS masih belum reda. Pengkhianatan dua orang ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam iaitu MP Tebrau YB Steven Choong dan MP Julau Larry Sng ke kem Muhyiddin merupakan kes yang terbaru dan sudah tentunya bukan episod yang terakhir.

Langkah Sheraton telah membuka Kotak Pandora kemelut politik yang tidak berkesudahan, dan juga mendedahkan kelemahan struktur sistem politik “yang kalah dapat abu”, satu legasi sistem parti-kerajaan oleh BN selama 61 tahun, yang bahkan PH pun teragak-agak untuk merombaknya kerana berfikir mereka juga dapat bermanfaat dari sistem ini.

Di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri, pilihan raya tidak didasarkan kepada persaingan polisi, kompetensi atau integriti, tetapi bersaing untuk mendapatkan kelebihan penyandang jawatan dari segi kuasa, faedah, penaungan politik dan kekebalan dari tindakan undang-undang. Wakil rakyat boleh dikelaskan kepada tiga; menteri dan Exco yang menikmati kuasa dan sumber yang teramat besar, wakil kerajaan bukan eksekutif yang mendapat saki-baki dan wakil pembangkang yang dibiarkan kekeringan.

Setelah struktur lama dilonggarkan akibat perubahan kerajaan, jurang perbezaan yang besar di antara “tiga kelas politik” akan mendorong rampasan kuasa dan rampasan balas oleh pembelotan bagi kemajuan kepentingan peribadi. Anggota parlimen pembangkang bergabung dengan kerajaan dengan harapan menjadi menteri atau sekurang-kurangnya penyokong kerajaan. Penyokong kerajaan memasang kerajaan baru dengan harapan menjadi menteri bahkan menteri sendiri pun menjatuhkan kerajaan mereka dengan harapan menjadi menteri kanan atau Perdana Menteri.

Kita mesti berhenti berpura-pura bahawa barah politik ini dapat diselesaikan dengan undang-undang anti lompat, yang akan menjadikan dewan perundangan cop getah yang semakin parah sebagai akibat yang tidak disengajakan, tanpa merombak kelebihan penyandang jawatan. Ianya juga adalah hipokrit untuk mana-mana parti atau gabungan yang menuntut rombakan kelebihan tersebut hanya di peringkat persekutuan tetapi masih mengekalkannya di peringkat negeri.

Bersih 2.0 menggesa agenda reformasi berikut bagi mencegah wakil rakyat untuk melompat:

(1) KESAKSAMAAN UNDANG-UNDANG: Sesetengah ahli politik berlaku khianat bagi mengelakkan siasatan atau pendakwaan oleh kerajaan yang memerintah melalui Jabatan Peguam Negara dan melalui kawalan langsung institusi penguatkuasaan, dapat melindungi atau mendakwa lawan mereka. Justeru, peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara justeru perlu dipisahkan.

(2) PERUNTUKAN PEMBANGUNAN KAWASAN (CDF) SAMA RATA: Alasan yang digunakan pengkhianat adalah keperluan kepada CDF untuk memberi khidmat di kawasan mereka. Ahli Parlimen PN menerima RM3.7 juta setahun berbanding Pembangkang yang mendapat hanya RM100,000. Peruntukan berat sebelah ini adalah satu penyalahgunaan kuasa dan wang pembayar cukai bagi memberikan kelebihan kepada parti pemerintah. Kami menggesa satu undang-undang yang komprehensif bagi memastikan peruntukan pembangunan kawasan yang adil dan telus serta undang-undang pendanaan awam kepada parti politik disamping pendanaan dari pihak persendirian yang telus, boleh dipertanggungjawabkan dan munasabah.

(3) MENGHADKAN BILANGAN MENTERI DAN TIMBALAN MENTERI SERTA MENGHALANG AHLI PARLIMEN MEMEGANG JAWATAN YANG LUMAYAN UNTUK MENGHENTIKAN PEMBELIAN KESETIAAN: Kebanyakan pengkhianat ditawarkan jawatan menteri atau timbalan menteri dalam kabinet “kembung” Muhyiddin serta dilantik ke dalam Syarikat Kaitan Kerajaan (GLC) yang ditawarkan gaji lumayan. Bersih 2.0 menggesa untuk meletakkan had saiz kabinet kepada 50 (menteri dan timbalan menteri) dan larangan wakil rakyat dilantik ke dalam GLC.

(4) REFORMASI PARLIMEN UNTUK MEMPERKASAKAN WAKIL RAKYAT PEMBANGKANG DAN WAKIL RAKYAT KERAJAAN BUKAN EKSEKUTIF: Wakil rakyat pembangkang dan kerajaan yang bukan Eksekutif mempunyai peranan yang sangat kecil dalam pembuatan undang-undang dan polisi di bawah sistem sekarang. Kini, Dewan Rakyat hanya mempunyai sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas dan dianggarkan 40% ahli parlimen dinafikan sebarang peranan pembentukan polisi melalui penyertaan ke dalam mana-mana jawatankuasa Pilihan Khas. Kami menggesa Kerajaan dan Parlimen untuk membentuk lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas dan komposisi Jawatankuasa ini perlu mencerminkan kekuatan parti-parti di Dewan. Kami juga menggesa Pembangkang untuk membentuk Kabinet Bayangan dan kerajaan perlu mengiktirafnya dengan memberikan dana yang mencukupi serta akses kepada maklumat.

(5) PILIHAN RAYA PECAT UNTUK MENCEGAH LOMPAT PARTI: Pengkhianatan berlaku kerana tidak ada sebarang akibat yang buruk dari segi undang-undang atau pilihan raya terhadap tindakan tersebut. Walapun sistem pilihan raya kita berdasarkan undian kepada calon, namun adalah jelas pengundi memilih berdasarkan parti yang diwakili calon tersebut. Oleh yang demikian, pengkhianatan perlu dianggap sebagai pengkhianatan kepada pengundi yang memilih wakil-wakil rakyat ini. Bersih 2.0 menggesa penggubalan mekanisme Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat di mana pengundi boleh memulakan proses pilihan raya kecil di kawasan mereka sekiranya tidak berpuas hati dengan tindakan pengkhianatan tersebut.

Bersih 2.0 juga memperbaharui seruan kami kepada semua parti politik untuk berunding dan mencapai Persetujuan Keyakinan dan Pembekalan (CSA) termasuklah penggubalan undang-undang yang akan membawa reformasi-reformasi ini agar hantu-hantu Langkah Sheraton ini dapat dihalau sama sekali dari politik Malaysia.

Selain pemisahan jawatan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara, kesemua reformasi ini dapat dilaksanakan di peringkat persekutuan, dan Perak telah melaksanakan CDF yang sama rata sejak Disember tahun lepas. Kami menyeru PH untuk memerangi pembelotan dengan membongkar kelebihan penyandang jawatan yang berlebihan di peringkat persekutuan dan juga di negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang ditadbir mereka. Reformasi perlu bermula dari halaman sendiri.  

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0