Pembangkang Perlu Bentuk Kabinet Bayangan Untuk Semak-Imbang dan Bersaing dengan Kerajaan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) hari ini melancarkan laporan kajian bertajuk “Kerangka Kabinet Bayangan untuk Malaysia” dan menyeru parti pembangkang untuk bekerjasama bagi membentuk kabinet bayangan di peringkat persekutuan dan negeri untuk menyemak kerajaan serta bersaing dengan lebih berkesan.

Kabinet bayangan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, akan menghasilkan persaingan politik kepada kerajaan dengan setiap menteri persekutuan atau exco negeri dibayangi oleh pembangkang yang mempunyai polisi alternatif tersendiri.
 
Laporan ini telah disediakan oleh Maha Balakrishnan dengan naungan oleh BERSIH 2.0.
 
Laporan ini mencadangkan beberapa perkara kepada pembangkang di peringkat persekutuan dan negeri:
 
1. Membentuk kabinet bayangan dengan sokongan meluas oleh pembangkang di parlimen atau DUN kerana lebih banyak sokongan diberikan kepada kabinet bayangan, lebih kukuh pengaruhnya untuk mendesak akses dan kelebihan di peringkat institusi.
 
2. Menteri atau exco bayangan perlu dipilih berdasarkan merit terlebih dahulu. Mereka sewajarnya mempunyai pengalaman dalam bidang yang mereka bayangi. Barisan kabinet bayangan perlu mencerminkan kepelbagaian masyarakat yang diwakili seperti parti politik, fraksi, etnik, jantina, umur dan kewilayahan.
 
3. Seorang menteri bayangan perlu dilantik untuk membayangi setiap kementerian kerajaan. Menteri bayangan perlu menjadi jurucakap utama bagi isu-isu yang dibangkitkan pembangkang.
 
4. Kabinet bayangan perlu bermesyuarat secara tetap sekurang-kurangnya secara mingguan untuk membayangi kabinet kerajaan. Perkara yang perlu menjadi agenda utama termasuklah:
 
▪ Laporan terkini oleh Pemimpin bagi melaporkan situasi politik yang meliputi aktiviti dan langkah yang akan diambil oleh Pembangkang;
▪ Pertimbangan Kerajaan bagi urusan di Parlimen (contohnya Rang Undang-Undang atau Usul) serta respon dan strategi Pembangkang, yang dipimpin oleh menteri bayangan yang berkaitan;
▪ Perbincangan perkara berbangkit berkenaan polisi Pembangkang yang dipimpin oleh menteri bayangan berkaitan;
▪ Perbincangan wakil rakyat Pembangkang untuk urusan Parlimen, termasuk Usul dan soalan.
 
BERSIH 2.0 mengambil maklum bahawa telah ada kabinet bayangan yang dibentuk oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sebelum ini, serta oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) baru-baru ini dibawah kerajaan Perikatan Nasional.
 
BERSIH 2.0 menggesa kerajaan persekutuan dan semua kerajaan negeri untuk secara rasmi mengiktiraf dan menginstitusikan amalan kabinet bayangan sebagai sebahagian dari proses demokratik kita, dengan:
 
1. Memberikan kedudukan “Pembangkang Rasmi” kepada pembangkang majoriti di parlimen di bawah kepimpinan Ketua Pembangkang.
 
2. Perintah Tetap Parlimen dan DUN perlu dipinda bagi memberikan keistimewaan dan kelebihan keapda menteri bayangan semasa prosedur parlimen seperti sesi soalan parlimen dan perbahasan perundangan. Kuasa dan autoriti Ketua Pembangkang perlu diformalkan serta wakil daripada kabinet bayangan perlu dilibatkan dalam rundingan bagi memutuskan jadual dan pembentangan urusan di Dewan. Semakan ini juga perlu memperkenalkan lebih banyak peluang antara wakil rakyat pembangkang dan kerajaan yang bukan Eksekutif.
 
3. Dalam jangka pendek dan sederhana, langkah-langkah harus diambil untuk menerapkan dan mengoperasikan amalan semasa pilihan raya, penjawat awam mesti bertemu dan memberi nasihat kepada Pembangkang Rasmi mengenai dasar serta manifesto pilihan raya sebagai persiapan untuk peralihan sekiranya Pembangkang memenangi pilihan raya. Menteri bayangan pembangkang harus dibenarkan untuk mengemukakan soalan mengenai organisasi jabatan dan untuk berbincang dengan penjawat awam berkenaan perubahan organisasi kepada perkhidmatan awam. Sebagaimana dalam bidang kuasa lain, tanggungjawab penjawat awam untuk memberikan maklumat dan input dan melindungi mereka dari tindakan kerajaan harus dimasukkan dalam kod dan panduan rasmi seperti dalam manual kabinet.
 
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0