Proses Pelantikan Hakim Perlu Ditambahbaik Bagi Meningkatkan Kebebasan Badan Kehakiman

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa proses pelantikan hakim di kedua-dua mahkamah tinggi dan mahkamah rendah ditambahbaik bagi memastikan para hakim dilantik berdasarkan merit, tidak mendiskriminasi dan bebas. Gesaan ini dibuat dalam pelancaran laporan kajian BERSIH 2.0 bertajuk “Memelihara Kebebasan Kehakiman: Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Pemecatan Hakim di Malaysia” hari ini.
 
Kertas kajian ini ditulis oleh Serene Lim dengan naungan BERSIH 2.0.
 
Laporan ini antara lain mendedahkan bahawa, walaupun proses pelantikan kehakiman telah ditambahbaik beberapa tahun belakangan ini dengan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada tahun 2009, namun masih ada banyak ruang penambahbaikan bagi memelihara kebebasan proses ini.
 
• Perdana Menteri (PM) mempunyai budi bicara mutlak untuk melantik lima daripada sembilan anggota JAC dan bahkan boleh, secara sah memperkukuh dan mengesahkan kuasa eksekutif dalam aspek-aspek penting dalam proses pelantikan kehakiman.
• Anggota JAC tidak mempunyai jaminan tempoh tugas kerana PM diberi kuasa untuk mencabut pelantikan mana-mana daripada empat orang terkemuka (eminent person) tanpa perlu memberikan sebarang alasan.
• Kurangnya kuasa JAC untuk mengikat sebarang cadangan bagi setiap kekosongan jawatan berbanding PM yang diberi kuasa untuk menolak nama, meminta cadangan lanjut tanpa sebarang alasan dan mengemukakan nama yang tidak disarankan oleh JAC.
• PM bersendirian atau Ketua Hakim setelah berunding dengan Perdana Menteri, diberikan prerogatif oleh perlembagaan untuk memulakan proses pemecatan dengan mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi melantik sebuah tribunal ad-hoc. Hal ini menunjukkan kurangnya ketelusan dalam proses pelantikan anggota ke tribunal ad-hoc dan keseluruhan proses siasatan.
• Pelantikan hakim ke mahkamah rendah bukanlah pelantikan oleh perlembagaan dan tidak termasuk dalam bidang kuasa Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009. Banyak perlindungan bagi kebebasan kehakiman jatuh di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 tidak merangkumi mahkamah rendah. Mereka dianggap sebagai pegawai undang-undang dalam bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) yang menyediakan pegawai undang-undang yang dapat ditukar ke pelbagai jabatan Eksekutif dan juga dilantik sebagai hakim untuk mahkamah rendah. Mengamanahkan pelantikan, pertukaran dan pemecatan hakim kepada Mahkamah Majistret dan Sesyen di dalam satu jabatan Eksekutif merupakan suatu percanggahan di mana Eksekutif diberi kuasa eksklusif untuk menjalankan peranan kehakiman di mahkamah rendah – satu kontradiksi kepada logik pemisahan kuasa .
 
Berdasarkan cadangan laporan kajian ini, BERSIH 2.0 menggesa kerajaan untuk menambahbaikan proses pelantikan kehakiman dengan:
 
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman
 
1. Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi memberikan JAC status perlembagaan. Komposisi sembilan ahli JAC memerlukan penstrukturan semula seperti berikut:
 
a. Empat ahli ex-officio dari kehakiman (Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Ketua Hakim Malaya dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak) mewakili perspektif sebagaimana sekarang;
b. Tiga ahli perlu dipilih daripada Majlis Peguam, Persatuan Undang-Undang Sabah (Sabah Law Society) dan Persatuan Peguambela di Sarawak bagi mewakili tiga badan pengamal undang-undang yang sah;
c. Dua ahli daripada pertubuhan masyarakat sivil atau akademia yang akan dipilih oleh tujuh ahli JAC bagi mewakili perspektif awam dan masyarakat sivil melalui permohonan terbuka serta proses pemilihan yang jelas.
 
2. Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 harus dipinda untuk membataskan budi bicara PM bagi menolak pencalonan oleh JAC hanya sekali sahaja untuk setiap kekosongan dan Perdana Menteri mesti memberikan alasan yang kuat;
 
3. Tempoh ahli JAC perlu ditetapkan sehingga ke empat tahun;
 
4. Ahli JAC boleh berkhidmat sepenggal sahaja dan boleh dilantik semula untuk satu penggal lagi dengan syarat penggal itu tidak berturutan;
 
5. Pemecatan ahli JAC boleh dilakukan sekiranya ada salahlaku atau ketidakupayaan untuk menjalankan tugas dan dibawa ke tribunal disiplin dengan perlindungan bagi memboleh ahli yang berhadapan dengan tuduhan untuk mencabar tuduhan tersebut.
 
6. Walaupun menyedari keperluan kerahsiaan, maklumat penting yang
berkaitan bagaimana Pesuruhjaya JAC melaksanakan mandatnya harus diumumkan di laman web atau melalui laporan tahunan bagi memastikan objektif yang lebih luas agar JAC dapat dipertanggungjawabkan.
 
7. Cadangan maklumat yang perlu diumumkan adalah bilangan pemohon, institusi dan penjawat awam yang terlibat serta peranan mereka, alasan penolakan calon oleh PM, dan prosedur yang digunakan dalam pelantikan, kenaikan pangkat, temuduga dan penilaian. Semua ini perlu diumumkan di laman web atau melalui laporan tahunan.
 
Pelantikan dan Kenaikan Pangkat Hakim
 
1. Mewajibkan rundingan mandatori untuk calon yang disenaraipendek bersama Majlis Peguam, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak, Peguam Negara Persekutuan, Peguam Negeri bagi perkhidmatan undang-undang negeri untuk pencalonan hakim ke Mahkamah Mahkamah Rayuan dan Persekutuan;
 
2. Proses penilaian dan pemilihan hakim perlu mengambil kira kepelbagaian serta perwakilan minoriti.
 
Pelantikan Suruhanjaya Kehakiman
 
1. Mandat JAC perlu juga termasuk pencalonan untuk jawatan Pesuruhjaya Kehakiman (Judicial Commissioner, hakim sementara) kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya oleh PM. Perkara 122AB Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi memberikan kuasa ini kepada JAC.
 
2. Pesuruhjaya Kehakiman boleh dilantik hanya untuk tujuan khusus dan penggalnya hanya selama dua tahun.
 
Pemecatan Hakim
 
1. Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi memperuntukan pelantikan untuk prosiding tribunal pemecatan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat oleh JAC.
 
2. Asas dan peraturan yang jelas bagi komposisi tribunal, kuasa melantik ahli, prosedur prosiding tribunal termasuklah keperluan pembuktian, hak untuk merayu keputusan tribunal, dan lain-lain perlu dibina dengan perundingan bersama pemegang taruh.
 
Pelantikan Hakim Mahkamah Rendah
 
1. Perkhidmatan kehakiman dan perundangan perlu dipisahkan kepada perkhidmatan kehakiman dan perkhidmatan perundangan yang berasingan, dengan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman yang baharu di bawah pindaan Perkara 138 dan Suruhanjaya Perkhidmatan Perundangan yang baharu di bawah satu Perkara 138A yang baharu.
 
2. Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman perlu digubal bagi menyediakan asas undang-undang bagi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan prosedur serta peraturan yang jelas bagi urusan pelantikan, kenaikan pangkat, dan pemindahan hakim ke mahkamah rendah
 
3. Pegawai dari kedua-dua perkhidmatan kehakiman dan perundangan tidak boleh dipindahkan diantara satu sama lain kecuali sekiranya ianya perpindahan yang tetap.
 
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0