SPR Khianat Mandat Rakyat

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menangguhkan pelaksanaan Undi18 sehingga ke September 2022. Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh perlu letak jawatan dengan segera untuk digantikan dengan individu lain yang lebih berintegriti dan kompeten bagi melaksanakan Undi18 dan pendaftaran automatik (AVR) pada Julai 2021 seperti di dalam perancangan asal.

Keputusan SPR ini adalah satu rompakan hak 1.2 juta anak muda berumur 18-20 tahun untuk menentukan hala tuju negara di petak undi, pada pilihan raya umum akan datang atau di dalam pilihan raya kecil. Menunggang pandemik Covid-19 yang tidak ada kaitan langsung dengan kerja pelaksanaan Undi18 adalah sangat tidak masuk akal kerana sudah tentu maklumat-maklumat yang diperlukan sudah sedia wujud di pangkalan data Jabatan Pendaftaran (JPN).

Alasan disebabkan Covid-19 oleh Abdul Ghani Salleh adalah satu pembohongan untuk mengelirukan rakyat dengan mencampuradukkan Undi18 dan AVR. Sepatutnya pelaksanaan ini boleh dibuat pada 2019 lagi selepas Pindaan Perlembagan diwartakan. Undi 18 hanya ditangguhkan kerana PAS ketika itu meminta agar Undi 18 dan AVR untuk dilaksanakan sekaligus.

Sehingga 3 September 2020, lapan bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama, Menteri Undang-Undang Dato’ Takiyuddin Hassan dalam jawapannya di parlimen kepada YB Lim Lip Eng (Kepong) berjanji bahawa dengan gerak kerja oleh jawatankuasa bersama SPR-JPN, AVR dijangkakan untuk dilaksanakan pada Julai 2021, sebagaimana jangkaan awal SPR, iaitu 18-24 bulan dari 25 Julai 2019 apabila pindaan ini diluluskan di Dewan Negara.

SPR perlu menjelaskan kepada rakyat apa yang telah berubah dari 3 November 2020 sehingga kelmarin dan sama ada jawatankuasa SPR-JPN dan kontraktor mereka mengalami kegagalan dalam kerja mereka. SPR perlu berterus terang, atau mereka akan dianggap menjadi pak turut kepada parti kerajaan, yang pemimpin kanan mereka telah menyatakan keengganan untuk melaksanakan Undi18.

Rakyat Malaysia terutama bakal pengundi muda adalah sangat kecewa dengan keputusan SPR untuk menangguhkan pelaksanaan Undi18. BERSIH 2.0 dan kumpulan masyarakat sivil yang lain tidak akan teragak-agak untuk melakukan aksi yang lebih tegas sekiranya SPR tidak mempercepatkan pelaksanaan Undi18 yang hampir tiga tahun tertangguh ini.

BERSIH 2.0 juga mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membenarkan parlimen bersidang dengan segera supaya Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) dan undang-undang yang lain dapat dikemask ini bagi membolehkan pelaksanaan Undi18 dan AVR. Muhyiddin Yassin dan pengerusi SPR perlu mengambil tanggungjawab yang paling besar terhadap sebarang kelewatan pelaksanaan Undi18.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0