BERSIH 2.0 Bidas Kegagalan Kabinet Memisahkan Pelaksanaan Undi 18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) membidas kegagalan kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang bermesyuarat semalam (7 April 2021) untuk membuat keputusan memisahkan pelaksanaan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik (Automatic Voters Registration-AVR). Berita yang dinanti-nanti oleh rakyat Malaysia selama seminggu tidak berlaku.

Bersih 2.0 mempersoalkan sama ada dua menteri kabinet iaitu Menteri Belia dan Sukan YB Dato’ Sri Reezal Merican dan Menteri Inovasi YB Khairy Jamaluddin benar-benar telah membentangkan cadangan ini kepada kabinet sepertimana yang mereka telah janji mengikut laporan media pada 31 Mac 2021(1).

Bersih 2.0 juga menuntut Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk menyatakan pendirian beliau sebagai Menteri Undang-undang de facto dan pendirian PAS tentang pemisahan UNDI18 dan AVR. UNDI18 sudahpun boleh berkuatkuasa pada Ogos 2019 kalau bukan tuntutan PAS untuk melaksanakan kedua-duanya sekali. Jika PAS tidak takut akan undi anak muda, maka Takiyuddin harus menyokong cadangan Reezal dan Khairy untuk menguatkuasakan UNDI18 serta-merta sementara menunggu kegendalaan AVR diatasi.

Dengan pemisahan ini, rakyat Malaysia yang telah mencapai umur 18 tahun dan ke atas dapat mendaftarkan diri sebagai pemilih dalam sebarang pilihan raya kecil, pilihan raya negeri atau pilihanraya persekutuan yang akan datang.

Sengaja melengahkan UNDI18 adalah perbuatan keji untuk menghimpit pengundi muda dan hanya akan mengundang gelombang kemarahan anak muda seperti taktik keji UNDI Rabu semasa PRU14.

Anak muda yang sedang dihambat dengan pelbagai isu pendidikan, ekonomi dan sosial tidak akan duduk diam dibuli oleh ahli-ahli politik munafik yang cuba melengahkan UNDI18 sekarang, setelah meluluskan pindaan perlembagaan di Dewan Rakyat dengan sebulat suara pada 16 Julai 2019 tanpa sebarang kemusykilan ketika itu pasal kematangan anak muda.

BERSIH 2.0 juga menuntut penubuhan satu jawatankuasa bebas yang terdiri daripada wakil parti kerajaan, pembangkang dan masyarakat sivil untuk menyiasat pelengahan penyiapan AVR kerana Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh tanpa segan silu cuba menyembunyikan pengendalian AVR dan mengelirukan rakyat dengan berita palsu bahawa pelengahan ini disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Panel bebas ini perlu diberi kuasa untuk membuka fail dan mengemukakan informasi termasuk kontrak dan kos kerja-kerja penyediaan AVR, proses tender oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), alasan pelengahan dan tanggungjawab kontraktor, dan pampasan yang akan dibayar atas kegagalan mengikut jadual.

Dalih Abdul Ghani yang tidak masuk akal dan sengaja menyembunyikan masalah yang berlaku dalam AVR menggoyahkan keyakinan orang awam terhadap kompetensi, integriti atau kedua-duanya dalam kepimpinan beliau. Pengerusi SPR digesa menjaga maruah beliau dengan meletak jawatan dan memberi jalan kepada pengganti yang lebih berupaya dan jujur.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

(1) https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2021/03/31/cabinet-to-decide-on-separating-undi18-automatic-voter-registration-process/