Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menyatakan kebimbangan dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan yang dilihat sedang mencengkam kebebasan bersuara rakyat dengan dua insiden tangkapan aktivis iaitu penahanan tujuh aktivis anak muda di Kampung Muhibbahraya, Tawau, Sabah pada hari ini dan penahanan Fahmi Reza pada 23 April 2021.
Tangkapan aktivis selama dua hari berturut-turut ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak menghormati Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara oleh rakyat. Rakyat bawahan hanya mampu melaungkan suara bagi menyatakan kesusahan dan tuntutan mereka yang semakin hari semakin terhimpit. Bantahan daripada rakyat sehingga turun ke jalanan menunjukkan bahawa keadaan semakin terdesak dan kerajaan perlu mendengar suara mereka.
Tindakan menangkap rakyat yang membantah serta mengkritik polisi kerajaan adalah sangat keterlaluan dan tidak mencerminkan kerajaan yang prihatin serta mengangkat suara rakyat sebagai tunjang demokrasi negara. Apatah lagi dengan penggantungan Parlimen, ruang bersuara dalam negara semakin hari semakin dikunci dengan rapat oleh kerajaan dan ini sememangnya membahayakan demokrasi negara kita.
BERSIH 2.0 juga mengecam pihak polis yang didakwa mengasari salah seorang aktivis di Kg Muhibbahraya, iaitu Saudara Mukmin Nantang, bahawa beliau telah dipukul di bahu dan dada. Tindakan memukul orang kena tahan adalah salahguna kuasa polis dan melanggar hak asasi manusia. Apatah lagi aktivis yang ditahan langsung tidak melawan dan mengasari pihak polis tersebut.
BERSIH 2.0 sekali lagi menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus mempertahankan kebebasan bersuara, berekspresi dan kebebasan berhimpun sebagai tunjang demokrasi negara kita. BERSIH 2.0 juga menggesa agar tujuh orang aktivis yang ditahan di Kampung Muhibbahraya, dibebaskan dengan segera tanpa sebarang syarat tindakan undang-undang. BERSIH 2.0 mengalu-alukan pembebasan Fahmi Reza daripada reman dan menggesa pihak polis untuk menggugurkan penyiasatan kepada aktivis yang bersuara demi rakyat.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0