Kerajaan Perlu Perbaharui Proses Pelantikan Ketua Polis Negara

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa kerajaan untuk mengkaji semula  dan menambahbaik proses pelantikan Ketua Polis Negara (KPN) bagi meningkatkan integriti jawatan tersebut serta menambahkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan Ketua Polis Negara menjalankan tugas dengan bersih, adil dan saksama. Hari ini Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Dalam Negeri telah mengumumkan Datuk Acryl Sani Abdullah sebagai Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bahador(1).

BERSIH 2.0 menzahirkan kebimbangan terhadap perbualan Hamzah bersama seorang individu yang tidak diketahui untuk membincangkan calon untuk IGP. Perbincangan yang bocor di media sosial dan telah diakui oleh Hamzah(2) antara lain menyebut bahawa mereka perlu melantik “budak kita” untuk menjadi KPN. Pengakuan ini sangat membimbangkan disebabkan keputusan ini sepatutnya dibuat oleh Suruhanjaya Pasukan Polis berdasarkan kriteria-kriteria yang objektif dan bukan calon itu budak kepada sesiapa kerana KPN perlu menjalankan tugas dengan profesional dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak.

Suruhanjaya Pasukan Polis yang dipengerusikan oleh Hamzah juga perlu mengumumkan kriteria yang digunakan oleh mereka untuk melantik KPN agar rakyat dapat menilai sejauh mana kompetensi beliau.

Untuk memastikan proses pelantikan KPN lebih telus dan berakauntabiliti, BERSIH 2.0 mencadangkan agar Suruhanjaya Pasukan Polis membentuk satu Panel Penasihat Penilaian yang akan mencadangkan tiga calon Ketua Polis Negara kepada Suruhanjaya Pasukan Polis. Suruhanjaya ini kemudiannya akan memilih seorang calon dan menghantarnya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk disahkan. Selepas pengesahan daripada PSC, Suruhanjaya Pasukan Polis akan mempersembahkan calon yang terpilih kepada YDPA untuk dilantik sebagai KPN.

Kini, proses pelantikan KPN termaktub di dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan di mana Suruhanjaya Pasukan Polis yang dipengerusikan oleh seorang Menteri Persekutuan, akan mencalonkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik KPN. Jawatan ini walaupun dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong(YDPA), namun BERSIH 2.0 berpandangan proses sebelum nama calon dibentangkan kepada YDPA untuk pelantikan boleh ditambah baik untuk meningkatkan ketelusan dan integriti jawatan Ketua Polis Negara.

Proses pelantikan jawatan pegawai utama kerajaan seperti Ketua Polis Negara adalah amat penting dan perlu melalui Parlimen agar pelantikannya benar-benar telus, berakauntabiliti serta berdasarkan merit dan bukannya dibuat kerana kecenderungan oleh Menteri semata-mata.

BERSIH 2.0 juga mencadangkan agar kerajaan menggubal Rang Undang-Undang Pelantikan dan Pemecatan Jawatan Pegawai Utama Kerajaan 2021 agar segala proses pelantikan dan pemecatan jawatan-jawatan utama kerajaan dapat diperhalusi oleh rakyat bagi menambahbaik proses pelantikan yang sedia ada sekarang. Penglibatan Parlimen juga adalah penting dalam proses pelantikan yang telus, dan tidak terhad hanya sekadar menggubal undang-undang atau peruntukan kepada pihak berkuasa sahaja.

BERSIH 2.0 juga mengharapkan agar KPN yang baharu, Datuk Acryl Sani Abdullah dapat menjalankan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan benar-benar mengutamakan keadilan dan kebajikan rakyat.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

 

1) https://www.malaysiakini.com/news/572786

2) https://www.malaysiakini.com/news/572791