Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan penubuhan sembilan jawatankuasa gerak kerja oleh Pakatan Harapan (PH) semalam, 9 Mei 2021 (1). BERSIH 2.0 berpandangan bahawa penubuhan jawatankuasa ini adalah langkah yang baik agar PH dapat mengatur diri mereka menjadi pembangkang yang lebih konstruktif dan berkesan untuk menyaingi polisi kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Penubuhan jawatankuasa gerak kerja ala kementerian bayangan di peringkat pembangkang sebagaimana yang dilakukan oleh PH adalah sangat penting sebagai langkah konsolidasi dan koordinasi pembangkang membayangi kabinet kerajaan. Dalam situasi ketidakstabilan politik kini, jawatankuasa gerak kerja ini dapat mengembalikan fokus pembangkang untuk memberikan kritikan membina serta mencadangkan polisi alternatif berdasarkan idea, fakta dan data yang relevan. Ini juga boleh menunjukkan kemampuan pembangkang sebagai kerajaan menunggu untuk mendatangkan polisi alternatif yang baik.
Demi kepentingan demokrasi berparlimen dan supaya PH bergerak ke hadapan sebagai kerajaan menunggu yang berdaya saing, BERSIH 2.0 memberikan cadangan berikut:
- Pengerusi sembilan jawatankuasa tersebut perlu membentuk satu Kabinet Bayangan Teras yang akan diketuai oleh Perdana Menteri Bayangan dari PH.
- Kabinet Bayangan Teras ini perlu bermesyuarat secara berkala sekurang-kurangnya seminggu sekali, antara lain, untuk membincangkan dan mengkoordinasi halatuju polisi pembangkang sebagaimana Kabinet Bayangan Westminster agar polisi setiap jawatankuasa tidak bertindan-tindih antara satu sama lain.
- Setiap jawatankuasa gerak kerja dan staf sokongan juga perlu bermesyuarat secara berkala seminggu sekali sebelum mesyuarat mingguan Kabinet Bayangan Teras, sama seperti mesyuarat kementerian sebelum mesyuarat kabinet.
- Setiap mesyuarat Kabinet Bayangan Teras harus diikuti dengan sidang media ataupun kenyataan media di mana keputusan-keputusan utama daripada perbincangan Kabinet Bayangan Teras dikemukakan kepada orang awam.
- Komposisi jawatankuasa gerak kerja serta pengerusi-pengerusinya harus mencerminkan keterangkuman dan keseimbangan dari sudut gender, usia dan geografi.
BERSIH 2.0 menyeru Kerajaan PN mengamalkan politik matang dengan menyambut baik langkah PH untuk bersaing dengan kerajaan dalam arena dasar sebagai pembangkang membina. BERSIH 2.0 menegaskan bahawa semua kerajaan harus memberi akses maklumat yang setimpal kepada pembangkang supaya pembangkang tidak mengajukan dasar yang tidak realistik sehingga menimbulkan jangkaan tidak realistik kepada kerajaan.
Pada masa yang sama, sekatan akses maklumat awam tidak boleh menjadi alasan pembangkang untuk tidak mempertingkatkan persaingan secara dasar. PH telah memerintah selama 22 bulan dan harus memanfaatkan pengalamannya dalam pentadbiran dahulu dan juga sebarang data yang ada dalam domain awam.
Negara kita memerlukan kerajaan yang berfungsi serta pembangkang yang berkesan agar politik negara kita berkisar seputar persaingan polisi yang sihat dan lebih baik, bukannya siapa terjahat. Politik yang matang dan profesional akhirnya akan memberi keuntungan kepada rakyat serta membawa negara menjadi lebih makmur, maju dan demokratik.
Disediakan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0
1)https://www.sinarharian.com.my/article/137799/BERITA/Politik/PH-umum-jawatankuasa-baharu