Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menyatakan solidariti kepada aksi anak muda yang turun ke jalan bagi menegur kerajaan sebagaimana yang berlaku di Kampung Muhibbahraya, Tawau dan terkini di Kampung Parit Raja, Batu Pahat, Johor.
Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan polis yang keterlaluan untuk membungkam suara anak muda di Parit Raja dan menahan mereka selama empat hari di bawah Seksyen 144, 269, 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Seksyen 48 Akta Pengangkutan jalan (APJ) 1987.
Mereka hanya mengamalkan hak mereka sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, kebebasan untuk berhimpun dan bersuara tentang kegagalan kerajaan menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat yang sedang tertekan akibat pandemik Covid-19.
Sebagaimana dalam perhimpunan aman yang biasa, pihak polis sepatutnya membantu para demonstran terutamanya anak-anak muda supaya mereka berhimpun dalam keadaan aman. Biarkan mereka berhimpun dan kerajaan perlu duduk serta mendengar keluh kesah rakyat.
Sekiranya kerajaan sensitif dengan keadaan ini, mereka perlu sedar bahawa ruang-ruang rasmi yang efektif bagi membincangkan situasi rakyat di bawah seperti sidang parlimen yang ditutup menjadi sebab anak-anak muda membawa suara mereka ke jalan. Parlimen adalah ruang terbaik kepada wakil-wakil rakyat untuk membawakan permasalahan dan membahaskan kaedah terbaik menangani isu-isu sosial dan ekonomi agar negara dapat keluar daripada pandemik Covid-19 ini dengan selamat.
BERSIH 2.0 menggesa supaya kesemua anak muda yang ditahan di Parit Raja dibebaskan dengan segera tanpa sebarang syarat. Kerajaan perlu segera membuka Parlimen supaya wakil rakyat dapat memberikan maklum balas mereka secara rasmi di dewan yang mulia agar kerajaan dapat memperbaiki tindakan mereka dalam menangani Covid-19. Penutupan ruang-ruang untuk rakyat bersuara secara bebas hanya akan menatijahkan aksi yang lebih keras dan berani daripada rakyat biasa.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0