Reformasi Pelantikan GLC dan Perkenalkan Akta GLC

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa undang-undang baru untuk diperkenalkan bagi mereformasi secara menyeluruh proses pelantikan ketua dan pengarah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan semua badan berkanun yang berkaitan dengan komersial.

Akta GLC yang baharu harus digubal untuk mendefinisikan GLC dengan lebih jelas serta mengawal proses pelantikan pengerusi atau presiden dan pengarah mereka dengan telus, berakauntabiliti dan meritokrasi. Jawatankuasa pilihan parlimen harus diberi kuasa untuk meneliti proses pelantikan sebagai satu mekanisme semak dan imbang.

Pembaharuan seperti itu sangat diperlukan kerana kuasa sekarang sangat tertumpu di tangan Eksekutif, terutama Perdana Menteri. Ia telah disalahgunakan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk naungan politik dan penguasaan sumber dengan mengorbankan prestasi, kecekapan dan profesionalisme.

Penyalahgunaan kuasa yang tidak terkawal ini menjadi semakin teruk semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN) apabila kedudukan di GLIC, GLC dan badan berkanun yang komersial digunakan untuk menggoda wakil rakyat untuk melompat parti dan menyokong kerajaan dalam usahanya untuk mempertahankan kuasa.

Rakan penyelidikan BERSIH 2.0 untuk kajian ini adalah Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS). Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tricia Yeoh, menyatakan bahawa walaupun ada kes yang didapati bahawa Eksekutif akan melantik orang kepercayaannya untuk membuat pemantauan, terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menjalankan objektif dasar awam yang penting, pelantikan ahli politik ke dalam GLC ini mesti dielakkan untuk meminimumkan konflik kepentingan. Beliau berkata bahawa Jawatankuasa Pilihan Parlimen harus menapis pelantikan ini untuk memastikan ianya dibuat berdasarkan kelayakan dan bukannya untuk kepentingan peribadi atau politik.

BERSIH 2.0 telah melancarkan laporan yang bertajuk “Memperbaharui Proses Pelantikan Pengarah di GLIC, GLC dan Badan Berkanun yang Berkaitan Komersial” pada hari ini. Laporan yang ditulis oleh Ahmad Fikri Fisal dan dinaungi oleh BERSIH 2.0 telah mengenal pasti beberapa masalah utama:

1. Perluasan “payroll vote” apabila wakil rakyat seperti anggota parlimen (MP) atau anggota dewan undangan negeri (ADUN) dilantik sebagai pengarah di GLIC, GLC atau badan berkanun yang berada dalam pengawasan badan perundangan mereka. Penguasaan Eksekutif ke atas Badan Perundangan ini diperkukuh, sekaligus menghalang fungsi legislatif untuk menjaga integriti cabang kuasa yang berasingan dan mempertanggungjawabkan Eksekutif.

2. Statut penubuhan GLIC dan undang-undang parlimen yang mentadbir GLC tidak menetapkan syarat ketat kepada individu yang akan dilantik sebagai pengarah dan tidak ada instrumen undang-undang atau institusi untuk memastikan pelantikan yang dibuat oleh Menteri mempunyai kelayakan yang sesuai.

3. Tidak ada garis panduan untuk pelantikan pengarah di peringkat berkanun (GLIC). The Green Book on Enhancing Board Effectiveness hanya digunapakai ke atas GLC utama. Garis panduan oleh agensi pengawalseliaan seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia Berhad hanya berkuasa terhadap GLC yang disenaraikan dalam bursa saham. Serta tidak ada garis panduan yang dikenal pasti berkaitan dengan proses pelantikan GLC di peringkat negeri. Kekurangan kerangka yang jelas ini menjadikan penyeliaan ini bertambah rumit sekaligus menyukarkan pembaharuan.

4. Eksekutif, terutamanya Perdana Menteri, mempunyai kuasa penuh ke atas pelantikan pengarah. Malah pelantikan pengarah di badan berkanun bukan GLIC seperti FELDA, MARA dan Petronas juga dikuasai oleh Eksekutif.

5. Struktur pemilikan GLC yang rumit dan definisi rasmi GLC hanya merangkumi syarikat komersial dan yang dimiliki oleh GLIC. Ini tidak termasuk syarikat yang dimiliki oleh badan berkanun lain seperti PETRONAS, FELDA, MARA dan lain-lain. Ia juga tidak termasuk syarikat milik kerajaan yang tidak berorientasikan komersial.

BERSIH 2.0 mencadangkan pembaharuan berikut dilakukan dengan segera:

1. Melarang pelantikan wakil rakyat dalam organisasi ini melalui Akta GLC yang baru, atau dengan pindaan undang-undang yang berkaitan seperti Akta Syarikat.

2. Memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk meneliti dan meluluskan calon pengarah GLIC / GLC / badan berkanun yang berkaitan dengan komersial di bawah kementerian masing-masing. Sistem ini juga dapat dicontohi oleh kerajaan negeri untuk GLIC / GLC / badan berkanun negeri yang berkaitan dengan komersial.

3. Definisi yang jelas mengenai GLC / GLIC yang berlaku di peringkat negeri dan persekutuan harus dinyatakan dalam Akta GLC baru atau dalam akta yang ada seperti Akta Syarikat. Ini akan menjadi asas untuk melembagakan pembaharuan yang berkaitan dengan proses dan keperluan pelantikan pengarah GLC.

4. Mempertingkatkan ketelusan dan pendedahan adalah wajib melalui laporan berkala mengenai GLIC / GLC yang tersenarai atau tidak tersenarai yang harus merangkumi maklumat penting seperti imbuhan pengarah, latar belakang pengarah, tawaran tender dan lain-lain. Badan tertentu seperti Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG) harus mengambil tugas ini.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0