Tajuddin Rahman Letak Jawatan, Reformasi Pelantikan GLC Segera!

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mendesak agar Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA), YB Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman, yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak untuk meletakkan jawatan dengan segera berikutan sikap beliau yang tidak profesional dan kompeten dalam menangani kemalangan LRT Kelana Jaya baru-baru ini.

Sikap beliau yang tidak semenggah dan profesional menunjukkan bahawa pelantikan ahli politik ke dalam GLC akan menatijahkan kesan yang serius terutamanya apabila ahli politik yang dilantik tidak mempunyai kelayakan sama sekali untuk menerajui badan yang penting seperti PRASARANA.

Sidang media yang dikendalikan oleh beliau jelas menunjukkan beliau tidak ada idea yang kukuh untuk membela mangsa yang terlibat, malah seperti memandang enteng kemalangan yang melibatkan 213 orang penumpang di mana seramai 47 penumpang cedera parah dan 166 lagi cedera ringan.

Adakah masuk akal negara perlu membazirkan jutaan ringgit hanya untuk menjaga ahli politik dalam GLC agar sesetengah pihak terus memegang tampuk kekuasaan? Sangat terang lagi bersuluh bahawa lantikan politik sebegini tidak memberi keuntungan kepada rakyat dan perkara ini perlu diubah dengan segera.

Justeru, BERSIH 2.0 menggesa agar satu satu siasatan bebas dilakukan segera untuk menyiasat punca kemalangan dan membawakan pihak yang terlibat ke muka pengadilan. Pampasan dengan jumlah yang wajar juga perlu diberikan kepada semua mangsa terutamanya mereka yang cedera parah dalam kemalangan tersebut.

BERSIH 2.0 juga mengajak semua rakyat Malaysia untuk mendesak Kerajaan Persekutuan agar segera menggubal Akta GLC supaya ahli politik terutamanya wakil rakyat tidak lagi dilantik ke dalam GLC sebagai habuan sokongan kepada kerajaan. Kita boleh memulakan usaha mulia untuk mendesak agar Tajuddin Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PRASARANA dengan segera dengan menandatangani petisyen berikut: http://chng.it/rDdLJc4n.

BERSIH 2.0 telah melancarkan satu laporan kajian untuk mereformasikan proses pelantikan pengarah atau pengerusi GLC, GLIC dan badan berkanun yang komersial. Akta GLC ini penting bagi memastikan calon yang benar-benar berkelayakan secara professional serta berintegriti dipilih dan dilantik melalui proses yang telus, adil dan berakauntabiliti. Laporan tersebut boleh dimuat turun di pautan ini:

https://www.bersih.org/download/bersih-policy-research-reforming-the-appointment-process-of-directors-in-glics-glcs-and-commercially-related-statute-bodies/

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0