Tahniah Rakyat Malaysia Tetapi Reformasi Pelantikan GLC Belum Selesai!

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengucapkan tahniah kepada semua rakyat Malaysia di atas desakan yang diberikan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dimana Tajuddin Abdul Rahman telah dipecat daripada jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Incorporated) dengan serta-merta.

Ini merupakan satu kemenangan rakyat yang penting. Namun, masalah seperti kes Tajuddin Abdul Rahman tidak akan berhenti sekiranya tiada reformasi institusi ke atas proses pelantikan jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memastikan calon yang benar-benar berintegriti dan berkelayakan dilantik.

Desakan rakyat perlu diteruskan agar pelantikan jawatan GLC berdasarkan kepada meritokrasi dan integriti calon, serta amalan melantik ahli parlimen (MP) atau ahli dewan undangan negeri (ADUN) untuk memegang jawatan dalam GLC dihentikan sama sekali. Ini amat penting demi mencegah wabak korupsi, kronisme serta politik naungan menular di dalam pentadbiran GLC dan mengorbankan kepentingan rakyat.

Menteri Kewangan (Diperbadankan) perlu melantik Pengerusi PRASARANA yang baharu berdasarkan panduan yang sememangnya digariskan oleh pihak Kementerian Kewangan sendiri sejak dari tahun 2014 lagi. Antara garis panduan tersebut adalah:

  1. Satu jawatankuasa penamaan calon yang bebas untuk menerima cadangan-cadangan calon dan menyenarai-pendekkan calon-calon untuk pertimbangan lembaga pengarah PRASARANA dan disahihkan oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).
  2. Individu yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP) harus mempunyai kelayakan pendidikan dan professional seperti berkepakaran dan berpengalaman dalam perniagaan, kewangan, undang-undang, perakaunan, pengurusan dan kemahiran lain yang berkaitan syarikat tersebut.

Garis panduan ini nampaknya tidak dipatuhi oleh YB Senator Tengku Zafrul di dalam pelantikan YB Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini. Namun demikian, Tengku Zafrul masih berpeluang memperbaiki keadaan ini dengan melantik Pengerusi yang berkelayakan, berkepakaran dan berpengalaman dalam pengurusan berkaitan dengan urusan PRASARANA. YB Tengku Zafrul tidak wajar sama sekali mengulangi kesilapan beliau sebelum ini dengan melantik ahli politik yang lain untuk mengepalai GLC di bawah kelolaan beliau.

BERSIH 2.0 juga menggesa Kerajaan PN untuk meneliti semula semua kedudukan ahli-ahli parlimen yang dilantik mengepalai GLC, GLIC dan badan berkanun yang komersial. Amalan ini perlu dihentikan dengan segera, seperti yang termaktub dalam Polisi dan Prosedur Pencalonan dan Pemilihan Lembaga Pengarah FGV Holdings Berhad, anak syarikat kepada FELDA yang melarang mana-mana ahli politik yang aktif dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

Ahli parlimen yang menjawat sebagai pengarah atau pengerusi syarikat perlu diganti serta merta dengan calon yang berintegriti dan berkelayakan melalui proses yang telus, adil dan berakauntabiliti daripada terus membazirkan sumber negara membayar gaji mereka.

BERSIH 2.0 sekali lagi menyeru kerajaan untuk menggubal satu Akta GLC bagi mereformasikan proses pelantikan pengarah atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan dan badan-badan berkanun. Reformasi ini penting agar individu yang dilantik tidak membawa kepentingan peribadi atau kepentingan parti lain melainkan hanya untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

Penamaan calon-calon untuk jawatan GLC dan badan-badan berkanun yang berkaitan dengan komersial perlu juga disemak-selia oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk memastikan semua garis panduan, kriteria dan syarat proses pelantikan dipenuhi dan calon yang benar-benar berkelayakan dilantik.  

Kami juga mengesa agar Tajuddin Abdul Rahman tidak lagi dilantik untuk sebarang jawatan GLC atau badan-badan berkanun yang lain.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0