Kami, selaku kumpulan masyarakat sivil yang menandatangani di bawah ini, mengalu-alukan rayuan Datuk Seri Azalina Othman Said yang tegas dan jelas agar Parlimen Malaysia bersidang semula dan ahli-ahli Parlimen bekerjasama dalam menangani krisis COVID-19, yang mana selari dengan suara daripada pelbagai parti politik dan masyarakat madani.
Desakan untuk menangani krisis kesihatan global tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk melumpuhkan struktur pemerintahan bertanggungjawab yang merupakan tunjang dalam demokrasi berperlembagaan negara ini. Datuk Seri Azalina dalam kenyataannya menjelaskan langkah-langkah betul dapat dilaksanakan untuk mengatasi atau mengurangi risiko dan terdapat beberapa contoh amalan diperingkat antarabangsa yang boleh diteladani.
Para penggubal undang-undang serata dunia telah menyesuaikan diri dengan cara kerja baharu untuk terus memastikan pemantauan ke atas tindak balas memerangi COVID-19 yang dilaksanakan pemerintahan mereka. Walaupun langkah-langkah baharu ini masih dalam proses untuk diperhalusi, kita dapat lihat bahawa Parlimen mampu dan akan memberi keseimbangan antara keperluan memastikan demokrasi berfungsi dan menjaga keselamatan awam.
Parlimen Malaysia boleh mencontohi amalan pelaksanaan persidangan secara maya seperti di Parlimen United Kingdom dan tempat duduk secara fizikal yang disesuaikan mengikut keperluan dengan kaedah pengundian yang baharu. Jika langkah-langkah baharu ini memerlukan pindaan di dalam Peraturan Majlis Mesyuarat Parlimen yang sedia ada, hal ini boleh diuruskan dengan mudah jika semua parti bersetuju.
Misalannya, cukup bilang di dalam Dewan Rakyat adalah seramai 26 ahli, tidak termasuk Pengerusi Dewan (mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat 13). Dengan persetujuan dikalangan semua parti, kehadiran minimum ahli parlimen yang diperlukan untuk hadir boleh dibuat untuk meluluskan sebarang pindaan yang diperlukan di dalam Peraturan Majlis Mesyuarat.
Dewan Rakyat seharusnya boleh diberikan kebenaran untuk bersidang dan menjalankan urusannya di luar interpretasi harfiah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat (sepertimana di Australia, Indonesia dan Perancis), memandangkan tatacara dan resolusi Dewan masih kekal sah walaupun Dewan tidak sepenuhnya mematuhi peraturannya sendiri (rujuk Peraturan Majlis Mesyuarat 99A).
Selanjutnya, Speaker juga mengekalkan budi bicara interpretasi yang signifikan dalam pelaksanaan peraturan Dewan (lihat Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat 99 dan 100). Oleh itu, selagi wujudnya persetujuan dikalangan ahli-ahli Dewan, maka tidak timbul persoalan yang boleh menghalang persidangan tidak boleh dijalankan secara digital mahupun persidangan fizikal mengikut kesesuaian keadaan.
Melihat beban COVID-19 yang semakin memudaratkan negara ini, adalah sesuatu yang menyentuh hati melihat Datuk Seri Azalina bersuara membangkitkan hal ini merentasi batasan parti politik , amalan yang hanya memihak kepada pemenang dan mencadangkan langkah-langkah sementara bagi memastikan wakil rakyat yang dipilih dianggap rakan kerjasama di dalam perjuangan ini. Kami menyokong sepenuh hati seruan beliau agar sokongan kewangan tambahan, kerjasama dikalangan parti-parti politik dan perkongsian data untuk / dengan semua ahli Parlimen.
Berhubung kebimbangan bahawa pembukaan Parlimen akan membawa kepada Usul Undi Tidak Percaya kepada Perdana Menteri dan Kerajaan, kami memuji kesediaan Dato ’Seri Azalina yang telah menyediakan saranan untuk mengatasi kemungkinan kebuntuan tersebut. Beberapa pilihan telah dicadangkan untuk memudahkan kerjasama antara parti dan sememangnya setiap cadangan membawa risiko dan cabaran yang tersendiri. Selain daripada cadangan kerajaan perpaduan atau kabinet darurat, terdapat juga cadangan untuk mewujudkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan. (Confidence and Supply Agreement)
Kami tidak mahu membahaskan kelebihan pilihan-pilihan yang berbeza ini. Memadai untuk dikatakan bahawa sudah tiba waktunya para pemimpin daripada semua parti berganding bahu untuk mencapai persetujuan dengan syarat-syarat yang akan membebaskan Parlimen bagi menjalankan fungsi perundangan, perwakilan dan pemantauan yang telah diberikan mandat oleh Perlembagaan.
Dalam perenggan pembukaannya, Dato ‘Seri Azalina telah membicarakan kegagalan pihak Kerajaan untuk membalas surat yang dihantar kepada Peguam Negara pada bulan Februari 2021. Dato’ Seri Azalina merupakan seorang ahli Parlimen, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, pemimpin kanan dalam partinya dan beliau juga pernah berkhidmat dengan pelbagai jawatan di dalam pentadbiran kerajaan. Jika beliau tidak diendahkan pihak Kerajaan, maka siapa lagikah yang layak menyuarakan perihal ini?
Sudah tiba masanya Parlimen dibuka dan diberikan semula peranan pengawasannya. Sekarang merupakan waktu yang kritikal untuk semua parti meninggalkan beban parti masing-masing dan bekerjasama demi mengatasi krisis kesihatan awam yang paling serius yang pernah dihadapi negara ini.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh “Seed Community for a Professional Parliament”, sebuah rangkaian aktivis dan organisasi masyarakat awam serta ahli akademik yang memperjuangkan Parlimen profesional bagi mewujudkan persaingan polisi yang sihat antara parti-parti.
Ditandatangan oleh:
- Bait Al-Amanah
- Bersih 2.0
- ENGAGE
- IDEAS
- Pusat KOMAS
- REFORM