Kami selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan bersama ini, merujuk kepada kenyataan Yang di-Pertua (YDP) Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang diterbitkan oleh MalaysiaNow pada 30 Mei 2021 dan dalam sebuah bual bicara stesen TV tempatan beliau pada 31 Mei 2021. Kami terpanggil untuk memberi pandangan kami seperti berikut, dengan harapan bahawa beliau akan mempertimbangkan semula kedudukan dan halatuju beliau selaku Pegawai Pemutus Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
- Tidak dapat dinafikan bahawa YDP, Timbalan-Timbalan YDP dan setiap Ahli Parlimen tanpa mengira ideologi atau kepentingan politik masing-masing, memikul tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan dan peranan Parlimen. Justeru, mereka haruslah menyokong usaha-usaha bagi memastikan Parlimen bersidang kembali dalam keadaan bagi menjaga keselamatan awam sekaligus memainkan peranannya dalam menangani wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara kini.
- Kami sehaluan dengan Datuk Azhar Azizan Harun bahawa pemisahan ketiga-tiga cabang kuasa merupakan satu prinsip perlembagaan yang penting. Namun, termaktub juga dalam prinsip pemisahan kuasa dan sistem demokrasi berperlembagaan kita adalah mekanisme semak dan imbang (check and balance) oleh badan Legislatif ke atas badan Eksekutif, yang antara lainnya dilaksanakan melalui fungsi-fungsi perundangan, perwakilan dan pemantauan oleh Dewan Rakyat. Sudah jelas tiada lagi pemisahan kuasa dan mekanisme semak dan imbang terhadap kuasa Eksekutif apabila Parlimen boleh digantung bagi tempoh masa yang tidak pasti.
- Yang di-Pertuan Agong pada bulan Februari tahun ini telah menitahkan bahawa Parlimen boleh dibenarkan untuk bersidang semula semasa tempoh darurat. Tambahan lagi, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dato ’Sri Azalina Othman Said juga baru-baru ini mencadangkan agar Parlimen bersidang semula, bersama dengan satu set peraturan operasi standard (SOP) termasuk memberi vaksin kepada semua kakitangan Parlimen, yang menunjukkan ada cara untuk melangsungkannya mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.
- Juga tidak dapat dinafikan bahawa proses persediaan untuk memastikan persidangan maya untuk Parlimen Malaysia boleh berlangsung adalah suatu usaha yang penuh dengan cabaran. Akan tetapi Parlimen Malaysia boleh mengambil contoh daripada amalan negara-negara lain yang sedang menjalankan persidangan parlimen secara maya, dan juga nasihat daripada para pakar undang-undang di negara kita sendiri untuk mencari cara terhadap sebarang halangan dari segi kos, logistik dan juga undang-undang sedia ada.
- Berkenaan dengan isu memanggil Parlimen untuk bersidang, tiada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang melarang persidangan maya untuk berlangsung. Dengan kata lain, Perlembagaan Persekutuan sebenarnya senyap terhadap perkara tersebut. Akan tetapi, peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat perlu dikemaskini untuk membolehkan persidangan maya dilaksanakan. Dalam hal keadaan sedemikian, persoalannya adalah bagaimana untuk memanggil suatu persidangan parlimen permulaan di mana undang-undang dan peraturan yang perlu dikemaskini tersebut dapat diluluskan. Terdapat beberapa cadangan yang harus dikaji dengan lebih lanjut. Sebagai contoh, bolehkah persidangan Parlimen dipanggil seperti biasa di bawah Peraturan Mesyuarat 11(1), tetapi tafsiran “tempat” bersidang boleh diperluaskan supaya ianya tidak terhad kepada dewan persidangan tradisional Dewan Rakyat sahaja? Ataupun, persidangan pertama tersebut boleh ditempatkan seperti biasa, tetapi atas persetujuan kesemua parti politik, hanya cukup bilang atau kuota minimum yang membayangkan pecahan parti-parti politik di Dewan Rakyat perlu hadir untuk pembentangan dan kelulusan pindaan undang-undang yang berkenaan. Alternatif lain (jika Parlimen dapat bersidang dalam dua bulan terakhir di bawah keadaan darurat) dengan memasukkan peruntukan yang diperlukan ke dalam Ordinan Darurat untuk membolehkan persidangan parlimen maya atau separa maya. Faktor utama dalam semua pilihan ini adalah untuk mendapatkan persetujuan terlebih dahulu dari semua pihak.
- Dengan cara yang sama, isu pelanggaran Perkara 62(5) Perlembagaan Persekutuan (yang menghendaki seorang Ahli Parlimen hadir di Dewan Rakyat untuk proses pengundian) mungkin tidak terpakai sekiranya kesemua parti boleh mencapai persetujuan terdahulu agar hanya satu cukup bilang atau jumlah Ahli yang minimum sahaja yang membayangkan pecahan parti-parti di Dewan Rakyat akan hadir di dewan persidangan dan mengambil bahagian dalam prosiding yang berkenaan. Sekiranya persetujuan sedemikian tidak dapat dicapai, satu cadangan alternatif adalah untuk mengkaji sama ada tafsiran Peraturan 1, 2 dan 11 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat (terutamanya perkataan-perkataan seperti “tempat” dan “kerusi” Ahli) boleh diharmonikan supaya pelaksanaan persidangan dan prosiding Dewan Rakyat tidak dihadkan kepada dewan-dewan persidangan di Parlimen sahaja.
- Parlimen mempunyai kuasa yang dijamin Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan tatacaranya sendiri, tertakluk kepada peruntukan lain Perlembagaan Persekutuan (lihat Perkara 62(1)). Peraturan Mesyuarat 99A pula memperuntukkan suatu perkara di luar aturan tidak membatalkan perjalanan mesyuarat.
Cadangan kami di sini bukan tanpa cabarannya sendiri, tetapi kami menawarkannya dengan semangat untuk menggerakkan semua pemegang taruh mengharungi kebuntuan semasa dan menuju perbincangan yang membina. Kedaulatan Parlimen, dan peranan Ahli Parlimen dan para pegawainya harus berada dalam siap sedia, hal ini kerana mereka secara proaktifnya menjuarai kepentingan rakyat.
Oleh itu, sebagai langkah permulaan, kami meminta para Pegawai Pemutus Parlimen dan para pemimpin kumpulan parti parlimen untuk bertemu dan membuka perbincangan mengenai persidangan semula Parlimen. Ahli Parlimen, serta YDP Dewan Rakyat dan YDP Dewan Negara sebagai Pegawai Pemutus, harus bangun menggalas tanggungjawab untuk mempertahankan institusi demokrasi terpenting yakni Parlimen ini agar terus berjalan seperti biasa dengan apa cara sekalipun. Lumpuh Parlimen, lumpuhlah demokrasi. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Kenyataan ini adalah inisiatif “Seed Community for a Professional Parliament”, sebuah jaringan yang terdiri daripada individu-individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan para ahli akademik yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai pihak.
Ditandatangan oleh:
- Bait Al-Amanah
- Coalition for Clean and Fair Elections (Bersih 2.0)
- ENGAGE
- Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
- Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)
- Pusat KOMAS