Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merujuk kepada kenyataan Tun Mahathir Mohamad, Pengerusi Penaja Parti Pejuang (PEJUANG) yang mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) agar menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) bagi melawan pandemik COVID-19. Kami ingin menyatakan bahawa cadangan MAGERAN 2.0 ini adalah cadangan yang akan melumpuhkan peranan Parlimen sebagai tempat pembuatan dasar negara. Dengan proklamasi darurat, peranan cabang ketiga kerajaan ini telah dilumpuhkan apabila Parlimen dan Jawatankuasa Khas Parlimen tidak dibenarkan bersidang dalam tempoh ini.
Platform paling sesuai bagi membincangkan jalan untuk Malaysia keluar daripada wabak COVID-19 dan kesannya kepada sosio-ekonomi rakyat adalah dengan membenarkan semula parlimen bersidang dan berjalan. Dalam tempoh darurat kini, segala kuasa berpusat kepada Eksekutif dan segala tindakan serta arahan daripada mereka tidak dapat disemak dan imbang secara berkesan kerana tidak ada keperluan untuk Eksekutif menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat.
Sebelum ini BERSIH 2.0 telah mengeluarkan kenyataan bahawa parlimen perlu dibuka segera bagi mengembalikan semula peranannya sebagai mekanisme pengawasan tindakan-tindakan Eksekutif dalam menangani COVID-19 ini. Darurat yang diumumkan tidak menatijahkan hasil untuk menurunkan angka COVID-19 harian sehingga kerajaan terpaksa mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang memberi kesan negatif kepada ekonomi negara dan rakyat. Untuk mengulangi tindakan yang sama dengan menubuhkan MAGERAN 2.0 adalah tindakan yang kebelakang kerana sekali lagi kuasa akan berpusat kepada pihak tertentu tanpa semak dan imbang serta tidak melibatkan peranan semua pihak.
MAGERAN 2.0 tidak diperlukan kerana apa yang utama sekarang adalah untuk menamatkan darurat segera supaya kerajaan dan pembangkang dapat memainkan peranan yang sewajarnya. Segala program kerajaan seperti Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan jawatankuasa yang terlibat seperti Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dapat diawasi serta ditambahbaik oleh idea dan pandangan hasil perbahasan di parlimen dan dalam jawatankuasa pilihan khas parlimen.
BERSIH 2.0 menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera memulakan merundingkan perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence and suppy agreement, CSA) bersama pembangkang dengan objektif melawan pandemik ini secara bersama bagi menstabilkan politik negara dengan melakukan reformasi dan konsesi yang berkaitan. Sekiranya Kerajaan Negeri Perak di bawah Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad dapat mencapai kerjasama dengan ketua pembangkang di Perak di bawah pimpinan Datuk Dr. Abdul Aziz Bari, apakah yang menghalang Perdana Menteri Muhyiddin Yasin untuk berbincang bersama Ketua Pembangkang di Parlimen iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim
Model ala CSA di Perak seperti peruntukan pembangunan kawasan (CDF), jawatankuasa tindakan daerah yang melibatkan pembangkang dapat dikembangkan di peringkat persekutuan dengan membenarkan jawatankuasa pilihan khas parlimen untuk bersidang dan mengawasi tindakan kerajaan. CSA yang dijalinkan sewajibnya diumumkan kepada rakyat agar rakyat mengetahui apakah terma-terma dan reformasi-reformasi yang dipersetujui antara kerajaan dan pembangkang.
Kita mampu keluar dari pandemik ini dengan selamat sekiranya semua pihak bergabung tangan dan bekerjasama dengan jujur dan bersungguh-sungguh.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0