Kenyataan Media Tinjauan Terhadap MP Berkenaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)

Seed Community for a Professional Parliament telah melakukan tinjauan awal terhadap Ahli Dewan Rakyat (MP) untuk mendapatkan maklum balas mengenai pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di kawasan masing-masing. Tinjauan ini bertujuan untuk memahami sejauh mana peranan MP dalam pelaksanaan PICK, pemerhatian mereka di lapangan dan cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan fungsi perwakilan mereka dengan kekangan semasa.

Tinjauan dalam talian dilakukan antara 20 Mei hingga 12 Jun 2021. Semua 220 orang MP dijemput secara langsung untuk memberi maklum balas. 58 orang MP menjawab tinjauan dalam jangka masa yang ditentukan, mewakili kira-kira 26% daripada jumlah MP di Dewan Rakyat. Dua orang daripada 58 MP tersebut adalah Timbalan Menteri dalam pentadbiran sekarang. Responden kalangan MP ini terdiri daripada 10 buah parti politik termasuk MP Bebas. Terdapat antara satu hingga sembilan orang MP dari setiap negeri, termasuk Sabah dan Sarawak yang memberi maklum balas. Daripada 58 orang MP ini, 36 orang (62%) mewakili kawasan bandar, 16 orang (28%) mewakili kawasan pinggir bandar dan 6 orang (10%) mewakili kawasan luar bandar.

RUMUSAN TINJAUAN

Pemerhatian oleh MP mengenai pelaksanaan PICK dan peranan mereka

Mengenai pelaksanaan PICK di kawasan mereka, hanya 19% orang MP yang bersetuju bahawa pelaksanaan PICK adalah cekap, pantas dan saksama. Sebilangan besar (71%) tidak bersetuju atau sangat tidak bersetuju, sementara 10% selebihnya tidak pasti. Walaupun ada sebilangan MP yang menyatakan kerajaan  terlibat dalam pelaksanaan atau pemberian maklum balas mengenai PICK, hanya 43% yang setuju bahawa program ini dijalankan dengan cekap, pantas dan saksama, sementara separuh daripadanya (50%) tidak bersetuju.

Berkenaan dengan peranan mereka, kesemua 58 orang MP yang turut serta dalam tinjauan ini sepakat dan sebulat suara bersetuju peri pentingnya peranan yang patut dimainkan oleh MP dalam gerak kerja imunisasi COVID-19 kebangsaan. Kesemua mereka bersetuju (88% sangat bersetuju) bahawa amat penting bagi MP untuk memperoleh maklumat dan penjelasan daripada kerajaan, serta memberikan cadangan dan maklum balas kepada kerajaan, bagi memastikan standard tertinggi dalam pelaksanaan PICK untuk manfaat orang ramai.

Namun, hanya 19% orang MP dalam tinjauan merasakan mereka menerima maklumat dan data mencukupi tentang PICK untuk membolehkan mereka menjawab pertanyaan rakyat kawasan serta memenuhi keperluan mereka secukupnya. Sebilangan besar (81%) menyatakan bahawa mereka kurang menerima maklumat yang mencukupi (48%) atau maklumat diterima tidak mencukupi (33%) untuk melaksanakan fungsi perlembagaan/perwakilan mereka dengan berkesan. Kekurangan maklumat dan perasaan tidak cukup ini terutamanya dirasai oleh hampir semua MP dari kawasan bandar (90%) dan luar bandar (81%), dan sepertiga lagi (33%) sampel kecil MP dari kawasan luar bandar.

Libat urus kerajaan bersama MP dalam pelaksanaan PICK

Data daripada tinjauan menunjukkan bahawa kerajaan telah mengambil pendekatan yang tidak berat sebelah dalam menghubungi MP untuk memberi penerangan mengenai PICK. Majoriti (67%) peserta tinjauan menyatakan mereka telah dijemput untuk menghadiri taklimat yang dianjurkan kerajaan mengenai PICK. Ia merangkumi majoriti MP dari kawasan bandar (69%), pinggir bandar (56%) dan luar bandar (83%).

Walaubagaimanapun, dasar kerajaan untuk melibatkan MP nampaknya terbatas kepada komunikasi satu hala – yang mana kerajaan seakan terbuka untuk menyampaikan taklimat kepada MP, namun mereka dilihat tidak bersedia untuk melibatkan MP secara berstruktur atau telus dalam pelaksanaan PICK dalam kawasan parlimen masing-masing, atau untuk menyusun suatu sistem komunikasi jelas yang membolehkan MP memberikan maklum balas, dan meminta penjelasan daripada pihak berkuasa. Sebanyak 76% peserta tinjauan tidak dilibatkan oleh kerajaan dalam proses pelaksanaan dan penyaluran maklum balas mengenai PICK, dan ia terdiri daripada 81% MP di kawasan bandar, 75% MP di kawasan pinggir bandar dan 50% MP di kawasan luar bandar yang dilakukan tinjauan.

Penglibatan MP dalam proses PICK dapat memberikan hasil yang positif, seperti yang ditunjukkan oleh tinjauan ini. Daripada 24% MP yang telah dilibatkan oleh pihak berkuasa dalam pelaksanaan PICK atau maklum balas mengenai program ini, lebih daripada separuh (57%) merasakan bahawa mereka menerima maklumat yang mencukupi mengenai PICK dan kurang daripada separuh (43%) merasakan bahawa program imunisasi kebangsaan adalah cekap, pantas dan saksama.

Isu utama berkaitan dengan PICK yang dikenalpasti oleh MP

Keseluruhannya, seru temu (outreach) dan libat urus kerajaan dengan MP sekarang dilihat masih tidak mencukupi oleh MP yang ditinjau. Lebih memprihatinkan, kelemahan ini mempengaruhi kemampuan MP untuk melaksanakan peranan dan fungsi mereka. Sebagai contoh, daripada 39 orang MP dalam tinjauan yang menghadiri taklimat kerajaan mengenai PICK, 76% merasakan bahawa mereka kurang mendapat maklumat mencukupi atau maklumat tidak mencukupi mengenai PICK untuk membolehkan mereka menjawab pertanyaan rakyat kawasan serta memenuhi keperluan mereka secukupnya.

Para MP juga melihat kegagalan komunikasi antara kerajaan dan masyarakat awam dalam aktiviti-aktiviti mereka di lapangan. Majoriti besar MP (antara 66% – 88%) melaporkan bahawa rakyat di kawasan parlimen mereka tidak mempunyai maklumat mengenai jenis vaksin yang wujud, kesan sampingan vaksin, proses pendaftaran vaksin dan penjadualan janji temu vaksin. Majoriti MP (62.1%) melaporkan bahawa rakyat di kawasan mereka takut atau tidak pasti untuk menerima vaksin. Beberapa orang MP juga menekankan kurangnya maklumat asas mengenai lokasi pusat pemberian vaksin (PPV), kurangnya jarak antara lokasi PPV dan rakyat yang mereka sedang berkhidmat, serta kurangnya pengurusan pengangkutan untuk komuniti rentan.

Komitmen dan sumbangan MP untuk mencapai matlamat imunisasi kebangsaan

Walaupun terdapat kekangan yang mereka hadapi, semua MP yang mengambil bahagian dalam tinjauan tetap komited dan menyumbang ke arah mencapai matlamat imunisasi kebangsaan kita dan membantu rakyat kawasan mereka mendapat akses PICK dan menguruskan kesan pandemik tersebut. 95% MP yang mengambil bahagian dalam tinjauan melibatkan diri dalam menyampaikan maklumat yang tersedia mengenai PICK kepada orang ramai, dan 79% daripadanya melibatkan diri dalam usaha pendaftaran vaksin. Kira-kira 29% MP juga cuba melibatkan diri memberi maklum balas dan menyumbang idea kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Dipersembahkan dengan ruang dalam tinjauan untuk memberikan cadangan bagi matlamat  imunisasi COVID-19 kebangsaan bergerak ke depan, MP mencadangkan pelbagai aspek proses imunisasi dan pengurusan pandemik, yang didapati daripada pemerhatian mereka di lapangan. Cadangan tersebut termasuklah idea mengenai: membentuk kumpulan kerja dan jaringan inklusif yang dapat mempercepatkan proses imunisasi, membantu dalam pengurusan pandemik dan bertindak sebagai saluran komunikasi; mengutamakan kumpulan rentan dan anggota barisan hadapan; pengumpulan dan pengedaran data.

MP hampir sebulat suara bahawa Parlimen mesti bersidang semula

Dalam menghadapi cabaran dan kesulitan ini, hampir semua MP yang ditinjau (91%) menyokong pembukaan semula Parlimen dan khususnya, prosiding Jawatankuasa Parlimen, sebagai faktor penyumbang untuk mempercepatkan pelaksanaan PICK dan pencapaian matlamat imunisasi kebangsaan. 93% MP juga menyokong langkah-langkah untuk memasukkan MP dan pusat khidmat masyarakat (PKM) mereka dalam pelaksanaan PICK.

KESIMPULAN

Prosiding Parlimen mungkin digantung ketika darurat, tetapi seperti yang terdapat dalam tinjauan ini, para ahli Dewan Rakyat tidak putus mencari jalan keluar untuk mencari kaedah melaksanakan peranan perlembagaan dan tanggungjawab perwakilan mereka, dalam keadaan yang mencabar ini.

Apabila kerajaan menggantung Parlimen, maka hilanglah kaedah tradisional untuk MP meneliti, mendapatkan penjelasan dan memberikan maklum balas mengenai dasar dan program kerajaan. Tinjauan ini juga menunjukkan bahawa kerajaan tidak mengambil langkah proaktif untuk menetapkan mekanisme alternatif yang tersusun dan membina agar MP bertindak sewajarnya dan komunikasi dua hala terhadap PICK.

Platform sedemikian amat penting. Seperti yang ditunjukkan dalam tinjauan ini, MP kaya dengan maklumat untuk dikongsikan, dan keprihatinan masyarakat yang tulen untuk diutarakan mengenai dasar dan program terkini. Mereka juga mempunyai idea untuk menyumbang sesuatu yang dapat meningkatkan usaha imunisasi kebangsaan dan pengurusan pandemik lebih luas. Tinjauan awal ini menunjukkan bahawa jika terdapat penglibatan antara kerajaan dan MP dalam pelaksanaan PICK, maka  meningkatlah tahap pemahaman dan sokongan daripada mereka. Sekiranya isu-isu yang terkait dengan COVID-19 dibenarkan dibangkitkan dan diperdebatkan melalui proses Parlimen dalam enam bulan ke belakang ini, pasti ketelusan dan penglibatan menjadi sebab peningkatan sokongan daripada para MP, dan seterusnya orang ramai.

Berdasarkan hasil tinjauan awal ini, Seed Community for a Professional Parliament mengulangi gesaan agar persidangan Parlimen dijadikan keutamaan, dengan Jawatankuasa Parlimen bebas menjalankan prosiding dalam keadaan yang selamat, dan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas dibentuk untuk memantau PICK dan melakukan libat urus dengan pakar kesihatan dan epidemiologi dan badan-badan bukan kerajaan berkaitan kesihatan mengenai kaedah untuk mengawal pandemik COVID-19.

Ada pihak yang menjustifikasikan penggantungan Parlimen sebagai cara yang boleh digunakan untuk membuat undang-undang dan melaksanakan dasar dengan cepat serta mudah ketika krisis nasional. Tapi proses urus tadbir dalam sebuah demokrasi tidak boleh sama sekali tidak disemak dan tidak dipertanggungjawabkan. Bahkan, ketika inilah kerajaan mesti memberikan komitmen kerja keras menyampaikan dasar dan program secara telus serta di bawah pengawasan Parlimen, walaupun dengan kekangan yang munasabah. Sebarang pelonggaran peraturan dalam urus tadbir yang demokratik harus dirunding melalui kompromi di kedua-dua belah pihak, dan tidak sewenang-wenangnya disisihkan oleh hanya satu pihak. Jalan pintas yang mencerminkan amalan autoritarian tidak harus diberi tempat dalam sistem pemerintahan kita.

Kenyataan ini adalah inisiatif Seed Community for a Professional Parliament, sebuah jaringan yang terdiri daripada individu-individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan para ahli akademik yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai pihak.

Ditandatangan oleh:

Agora Society
Bait Al-Amanah
Coalition for Clean and Fair Elections (Bersih 2.0)
ENGAGE
Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)
Pusat KOMAS
Kenneth Cheng
Maha Balakrishnan
Ooi Kok Hin
Prof Terence Gomez