Pelan Pemulihan Negara Mengetepikan Parlimen Yang Sepatutnya Menjadi Keutamaan Untuk Bersidang

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merujuk kepada kenyataan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam, 15 Jun 2021, bahawa Parlimen akan bersidang semula dalam Fasa III Pelan Pemulihan Negara pada September atau Oktober. Menurut beliau demokrasi berparlimen akan berfungsi semula pada masa yang sesuai setelah kes harian COVID-19 menurun di bawah 500 kes.

 

BERSIH 2.0 berpendirian bahawa Parlimen sentiasa boleh berfungsi walaupun dalam tempoh pandemik COVID-19 malah tidak sewajarnya digantung. Kami merujuk kepada contoh di UK, Australia, Amerika Syarikat, Singapura dan hampir semua negara demokrasi di seluruh dunia yang membenarkan parlimen berfungsi secara maya ataupun hibrid sebagai langkah menangani cabaran COVID-19 ini.

 

BERSIH 2.0 menolak syarat yang dikemukakan oleh Muhyiddin bahawa beliau hanya akan membenarkan Parlimen bersidang semula setelah kes-kes COVID-19 “terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok”. Kita tidak hanya boleh bergantung kepada kes COVID-19 harian kerana ianya boleh dimanipulasi melalui jumlah ujian yang dijalankan setiap hari.

 

Dalam tempoh krisis kebangsaan ini, kita lebih-lebih lagi memerlukan semua cabang kerajaan untuk memainkan peranan mereka, bukan sekadar semak dan imbang malah untuk menyampaikan program dan perancangan kerajaan ke peringkat bawah melalui Ahli Parlimen, mengumpul maklum balas serta mencadangkan penyelesaian. Ahli Parlimen mewakili suara rakyat dan penggantungan Parlimen telah membungkam suara itu.

 

Parlimen sebagai salah satu dari tiga cabang demokrasi sewajar terus berjalan semasa pandemik sama seperti dua cabang kuasa iaitu eksekutif dan judisiari. Dengan pengawasan parlimen, eksekutif akan menguruskan pandemik ini dengan lebih telus, berakauntabiliti dan berkesan dengan penglibatan semua pemegang taruh.

 

Kami menggesa semua parti politik untuk mengenepikan permainan politik dan mengutamakan pengurusan krisis COVID-19. Semua parti perlu bersama untuk mencapai Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) di mana semua bersetuju menyokong kerajaan dengan melaksanakan beberapa reformasi utama yang akan memberikan Pembangkang dan Ahli Parlimen peranan bermakna untuk dimainkan di Parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC), terutamanya dalam menguruskan program vaksinasi dan pemulihan ekonomi.

 

Buka parlimen segera!

 

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0