Kami selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, ingin merafakkan setinggi-tinggi penghargaan dan sokongan atas saranan dan kecaknaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan DYMM Raja-Raja akan keperluan mendesak Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang segera sebagai wasilah yang absah untuk menangani pandemik COVID-19 yang menghenyak keadaan ekonomi negara dan kehidupan rakyat.
Kami mendesak semua pihak, terutama pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melakukan apa yang diperlukan untuk memulihkan demokrasi berparlimen supaya kestabilan politik dan ekonomi yang sangat diperlukan dalam masa terdekat bagi menangani pergelutan pemulihan ekonomi negara.
Pendirian penuh kami adalah seperti berikut:
- Pendapat dan nasihat YDPA dan Raja-Raja Pemerintah adalah jelas. Parlimen harus bersidang dengan segera – bukan pada bulan September; bukan juga setelah tamatnya tempoh Darurat pada 1 Ogos, bahkan segera.
- Apabila pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara (AG) menasihati YDPA mengenai kononnya perlunya menguatkuasakan Proklamasi Darurat dan menggantung Parlimen sekurang-kurangnya sehingga 1 Ogos, mereka sepatutnya sedar dan sewajarnya memberi nasihat kepada YDPA bahawa dengan berbuat demikian, mereka akan meletakkan YDPA dalam keadaan sukar iaitu melakukan tindakan yang berpotensi bertentangan dengan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 55 (1) memperuntukkan satu kewajiban perlembagaan secara langsung kepada Raja Berperlembagaan untuk tidak membiarkan enam bulan berlalu antara sidang terakhir Parlimen dalam satu penggal dan tarikh yang ditetapkan untuk pertemuan pertamanya pada penggal berikutnya – suatu tanggungjawab yang mana YDPA hanya dapat bertindak setelah Perdana Menteri memulakan langkah menetapkan tarikh untuk persidangan. Walaupun Proklamasi Darurat diisytiharkan di bawah kekuasaan YDPA di bawah Perkara 150 Perlembagaan, namun tempoh Proklamasi Darurat bererti bahawa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan YDPA dalam keadaan yang sukar yang tidak mampu memenuhi tanggungjawab perlembagaan di bawah Perkara 55(1).
- Memandangkan potensi konflik perlembagaan di mana institusi Raja Berperlembagaan telah dilibatkan, tugas dan tanggungjawab Tan Sri Muhyiddin dan AG kepada YDPA adalah untuk memastikan bahawa penggantungan Parlimen dan Darurat ditarik balik dalam masa terdekat sebaik sahaja ianya menjadi jelas bahawa langkah ini sama sekali tidak perlu untuk menangani pandemik COVID-19.
- Namun, perkembangan baru-baru ini dengan jelas membuktikan bahawa penguatkuasaan Proklamasi Darurat tidak membuahkan hasil untuk membendung peningkatan jumlah jangkitan COVID-19, seperti yang ditimbulkan Raja-Raja. Seperti yang dititahkan Raja-Raja, Parlimen serta DUN boleh dan harus bersidang ketika pandemik kerana institusi-institusi ini penting dalam memantau pelaksanaan dasar, program dan dalam membahaskan alternatif untuk penambahbaikan bagi isu COVID-19.
- Oleh itu, tugas Tan Sri Muhyiddin dan AG sekarang adalah untuk segera menasihati YDPA untuk menarik balik Proklamasi Darurat atau meminda Ordinan Darurat (atau menggunapakai Seksyen 14(1)(b) dan 15(1)(b)) untuk menarik balik penggantungan Parlimen dan DUN..
- Setelah ditarik balik, tatacara Parlimen menyediakan jalan bagi Parlimen untuk bersidang semula dengan segera, tetapi ini memerlukan Tan Sri Muhyiddin untuk bertindak, sebagai contoh, di bawah Peraturan Mesyuarat 11(2) dalam Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Juga sebagai Perdana Menteri, beliau boleh meminta persidangan tergempar Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 11(3). Tan Sri Muhyiddin dapat melakukannya dalam waktu yang singkat, dan sepatutnya memanggil persidangan seperti itu pada atau selewat-lewatnya pada 28 Jun 2021, sebelum berakhirnya tempoh enam bulan setelah persidangan terakhir Parlimen (29 Disember 2020). Dengan demikian, ia dapat mengelakkan daripada sebarang bentuk implikasi bahawa Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan tidak dituruti. Persidangan tergempar seperti itu, dengan persetujuan daripada parti politik masing-masing, dapat dilakukan dengan jumlah minimum ahli parlimen (MP), yang bersidang untuk tujuan utama bagi membuat langkah permulaan yang diperlukan untuk menjalankan prosiding parlimen hibrid.
- Apa pun, Ordinan Darurat harus dipinda sekurang-kurangnya untuk membenarkan, dengan segera, Jawatankuasa penting Dewan Rakyat dan Dewan Negara seperti Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat bersidang, supaya proses formal mengenai perlaksanaan prosiding hibrid boleh dimulakan. Ordinan tersebut juga harus dipinda untuk membolehkan semua jawatankuasa parlimen, kaukus dan kumpulan berfungsi dengan segera.
- Sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkuasa untuk memulakan prosedur yang diperlukan agar Parlimen dapat bersidang semula; dan peranan AG dalam hal ini sebagai penasihat Kabinet sangat penting. Terdapat beberapa kaedah untuk melaksanakannya. Kegagalan untuk menasihati YDPA dengan sewajarnya dan bertindak dengan pantas bukan hanya akan menjadi penolakan yang jelas terhadap titah YDPA dan Raja-Raja, tetapi juga boleh ditafsirkan sebagai tindakan untuk memerintah negara ini secara tidak berperlembagaan dan tidak sah.
- Sekiranya pentadbiran Tan Sri Muhyiddin gagal mengambil langkah-langkah yang perlu dan segera untuk Parlimen bersidang semula, ia berpotensi membawa kepada krisis perlembagaan, maka kami ingin memohon sembah agar YDPA mempertimbangkan untuk mendapatkan penasihat undang-undang bebas untuk menggunapakai Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan dan mendapatkan pandangan Mahkamah Persekutuan mengenai peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang membolehkan Parlimen bersidang kembali memandangkan keengganan pihak Eksekutif untuk melaksanakan tanggungjawab perlembagaannya.
- Kami seterusnya menyeru supaya semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk meminta nasihat mengenai persidangan semula DUN masing-masing sebagaimana yang dihasratkan oleh Raja-Raja.
- Kami mendesak Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin untuk segera mengutamakan vaksinasi kepada semua kakitangan yang bekerja di Parlimen dan DUN serta Anggota Parlimen dan ADUN yang belum divaksin sebagai langkah praktikal dan konkrit yang membuka jalan bagi pembukaan semula Parlimen dan DUN. Kelewatan dalam aspek ini mungkin akan ditafsirkan sebagai sengaja untuk menangguhkan pembukaan Parlimen dan DUN.
Kenyataan ini adalah inisiatif “Seed Community for a Professional Parliament”, sebuah jaringan yang terdiri daripada individu-individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan para ahli akademik yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai pihak.
Ditandatangan oleh:
- Bait Al-Amanah
- Coalition for Clean and Fair Elections (BERSIH 2.0)
- Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
- ENGAGE
- Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)
- Persatuan Pengundi Muda (UNDI18)
- Pusat KOMAS