Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah melancarkan Simulasi Kempen Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat: Pecat atau Kekal? Pada 21 Jun 2021. Kempen non-partisan ini bertujuan untuk memperkasakan pengundi antara pilihan raya umum sekiranya wakil rakyat mereka melompat parti.
Kami juga sedang melancarkan kutipan
sumbangan bagi menampung kos-kos untuk memastikan sistem e-undi berjalan
dengan lancar serta kos-kos lain untuk advokasi dan kempen Pilihan Raya Pecat
ini. Kos yang terlibat dianggarkan sebanyak RM500,000 iaitu RM350,000 untuk
tahun pertama (10 simulasi Pilihan Raya Pecat) dan RM 75,000 masing-masing
untuk tahun kedua dan tahun ketiga. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun
berikut:
Name : Bersih & Langkah Sheraton pada Februari 2020 telah menyaksikan keruntuhan kerajaan persekutuan melalui lompat parti oleh sekumpulan Ahli Parlimen (MP) dan Parti BERSATU untuk membentuk kerajaan baharu dengan pembangkang ketika itu. Sembilan bulan seterusnya menyaksikan keruntuhan enam lagi kerajaan negeri, desas desus rampasan semula kuasa, pilihan raya mengejut, dan perubahan kesetiaan oleh wakil rakyat mahupun oleh parti.
BERSIH 2.0 memberi tumpuan kepada Langkah Sheraton bagi mengenalpasti kesemua kelemahan politik yang wujud. Kami telah menghasilkan 10 laporan kajian yang melihat kepada amalan baik di seluruh dunia dan memberikan beberapa cadanga konkrit untuk menggubal undang-undang baharu atau meminda yang sedia ada agar kita dapat memperkukuhkan demokrasi berparlimen kita.Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat adalah salah satu undang-undang yang kami usulkan untuk dilaksanakan bagi menangani isu lompat parti atau lompat gabungan. Ianya berbeza dengan Undang-Undang Anti Lompat (ALP) di mana ianya bukan undang-undang melarang dan kerusi tidak secara automatik diisytiharkan kosong apabila wakil rakyat berubah parti atau dibuang oleh parti. Kebebasan MP atau ADUN untuk berpersatuan dengan parti pilihan masing-masing atau untuk menjadi bebas tidak dilanggar dalam mekanisme pilihan raya pecat.
Mekanisme pilihan raya pecat membenarkan pengundi untuk membuang wakil rakyat yang telah dipilih dalam Pilihan Raya Umum lepas sebelum Pilihan Raya Umum seterusnya sekiranya tidak bersetuju dengan tindakan wakil rakyat tersebut. Ini akan benar-benar memperkasakan pengundi untuk mempertanggungjawabkan wakil rakyat mereka sepanjang penggal berbanding terpaksa menunggu setiap lima tahun sekali untuk mengundi.
BERSIH 2.0 telah mengeluarkan kenyataan demi kenyataan, menghasilkan laporan kajian, berhubung dengan ahli-ahli politik dan pemegang taruh yang lain untuk pilihan raya pecat ini. Kini kami melancarkan Kempen Pecat atau Kekal untuk melibatkan rakyat Malaysia dan mendedahkan kepada mereka mekanisme yang dapat mengembalikan kuasa rakyat dan dalam proses ini, kami berharap ianya dapat mengembalikan harapan terhadap sistem politik kita.
Dorongan BERSIH 2.0 untuk melancarkan kempen ini adalah gelombang kedua lompat parti pada ulang tahun Langkah Sheraton apabila MP Tebrau dan Julau, kemudiannya Kuala Langat melompat. BERSIH 2.0 menyedari bahawa perlunya ruang untuk pengundi menyatakan ketidakpuasan hati dan supaya dapat memberi mesej kepada MP mereka.
Dengan Kempen Pecat atau Kekal, BERSIH 2.0 akan bertindak sebagai Jawatankuasa Pilihan Raya (JPR) dan menawarkan untuk mengendalikan Simulasi Pilihan Raya Pecat di kawasan wakil rakyat melompat parti. Minimum 3% pengundi yang berdaftar di kawasan tersebut perlu menandatangan petisyen atas talian untuk simulasi ini dilaksanakan di kawasan mereka. Setelah BERSIH 2.0 mengesahkan 3% pengundi atas talian tersebut adalah pemilih berdaftar, simulasi pilihan raya pecat akan dibuka secara atas talian. Sekurang-kurangnya 10% pengundi berdaftar daripada kawasan tersebut perlu menyertai dan undi “Ya” perlu melebihi undi “Tidak” sebelum wakil rakyat yang disasarkan itu dianggap sebagai dipecat.
Sistem e-undi (e-voting) yang digunakan dalam kempen ini adalah aplikasi yang selamat, telus dan mesra pengguna yang dibina oleh rakan teknologi BERSIH 2.0, ReGov Technologies. Pengundi boleh memberi kepercayaan kepada keselamatan sistem ini sebagaimana mereka percaya kepada sistem perbankan elektronik kerana ianya disertakan ciri keselamatan bagi memastikan kesahihan pengundi disamping melindungi kerahsiaan pengundi. Satu demonstarasi sistem oleh wakil ReGov akan ditunjukkan semasa pelancaran tersebut.
Walaupun simulasi pilihan raya pecat ini tidak menentukan wakil yang berpaling tadah ini kekal atau dipecat, ianya adalah satu langkah ke arah untuk pilihan raya pecat ini digubal sebagai undang-undang di Malaysia. Dalam masa itu, simulasi pilihan raya pecat ini menyediakan saluran kepada pengundi agar suara dan pilihan mereka didengari kepada wakil rakyat yang berpaling tadah.
Untuk maklumat lanjut berkenaan Kempen Pecat atau Kekal, sila layar laman web kami di www.recall.bersih.org. Sekiranya anda berminat untuk memulakan pilihan raya pecat di kawasan anda, sila e-mail ke [email protected].
Kami juga sedang melancarkan kutipan sumbangan bagi menampung kos-kos untuk memastikan sistem e-undi berjalan dengan lancar serta kos-kos lain untuk advokasi dan kempen Pilihan Raya Pecat ini. Kos yang terlibat dianggarkan sebanyak RM500,000 iaitu RM350,000 untuk tahun pertama (10 simulasi Pilihan Raya Pecat) dan RM 75,000 masing-masing untuk tahun kedua dan tahun ketiga. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun berikut:
Nama : Bersih & Adil Network Sdn Bhd
Bank : Maybank (PJ Old Town Branch)
No. akaun : 512295102931
Rujukan : RECALL
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0