Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah dihubungi oleh Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Johor, yang menunjukkan minat untuk menyertai Simulasi Pilihan Raya Pecat (PRP) untuk membuang Ahli Parlimen (MP) Tebrau Steven Choong yang mengumumkan keluar daripada Keadilan untuk menjadi MP bebas dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Proses PRP akan dilaksanakan secara penuh melalui platform e-undi yang selamat yang direka khas oleh rakan teknologi kami, ReGov Technologies. Pengundi dapat menyertai proses ini dengan selamat dan mudah di mana pun mereka berada selagi ada akses internet dan telefon pintar.
Memandangkan pemohon memenuhi kriteria kami untuk memulakan petisyen PRP, BERSIH 2.0 akan membuka petisyen kepada mereka untuk mengumpulkan sekurangnya 3% tandatangan pengundi berdaftar seperti dalam daftar pemilih semasa PRU14 secara atas talian di P.158 Tebrau.
Sekiranya ambang 3% telah dicapai, dan disahkan oleh BERSIH 2.0 sebagai pengundi sebenar di P.158, kami akan menjadi hos kepada forum atas talian di mana pempetisten dan YB Steven Choong akan diberi peluang untuk menyatakan alasan mengapa beliau perlu dipecat atau dikekalkan.
Sekiranya MP tidak menerima tawaran ini, kami akan bergerak ke peringkat PRP seterusnya di mana pengundi Tebrau boleh memberi undi YA untuk memecat MP atau TIDAK untuk mengekalkan beliau. Tempoh pengundian adalah selama 30 hari dan semua pengundi berdaftar di P.158 Tebrau berhak untuk satu undi setiap seorang.
Setelah tutup pengundian, BERSIH 2.0 akan mengumumkan keputusan. Untuk PRP dianggap berjaya dalam simulasi ini, undi YA mesti melebihi undi TIDAK, dan lebih daripada 10% pengundi berdaftar telah mengambil bahagian dalam simulasi ini. Sebanyak 123,033 pengundi di Tebrau semasa PRU14 dan YB Steven Choong memenangi 64,535 undi dengan majoriti sebanyak 37,225 di atas tiket Keadilan.
Kami akan menyediakan pautan untuk petisyen 3% dan mengumumkan pemulaan peringkat petisyen dalam masa 7 hari.
Kawasan lain yang mempunyai MP atau ADUN yang melompat ke parti atau gabungan lain, atau menjadi bebas, parti politik atau pertubuhan berdaftar di kawasan tersebut boleh menghubungi kami di [email protected] sekiranya mereka ingin memulakan PRP bagi memecat wakil rakyat tersebut.
Untuk maklumat lanjut tentang simulasi pilihan raya pecat, sila layari http://recall.bersih.org.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0