Adakah Parlimen dan semua DUN Akan Terbubar Secara Automatik Jika Tidak Bersidang Sebelum 1 Ogos? Peguam Negara disoal

Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, membalas kenyataan Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun pada 25hb Jun 2021. Beliau menyentuh Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan tetapi sengaja menghindari suatu perkara utama: jurang maksima yang dibenarkan selama enam bulan antara satu penggal parlimen dengan penggal yang lain.

Perkara 55(1) berbunyi:

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.”

Kami menggesa Peguam Negara untuk berkongsi dengan orang ramai nasihatnya kepada Kabinet mengenai akibat daripada kegagalan untuk memanggil semula Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh masa enam bulan selepas hari persidangan terakhir, dan sama ada persidangan semula badan-badan perundangan ini selepas 1 Ogos apabila tempoh Darurat bertamat akan mengakibatkan pembubaran automatik Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Orang ramai berhak mengetahui nasihat perlembagaan AG mengenai persoalan penting ini. Sekiranya Peguam Negara bersetuju dengan kedudukan ini dan jika nasihatnya telah disampaikan kepada Kabinet, maka Istana Negara dan orang ramai dapat menilai:

(a)     Sama ada kegagalan memanggil Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sebelum 1 Ogos menyebabkan pembubaran automatik semua badan perundangan ini pada 2 Ogos dan keperluaan pilihan raya umum dan negeri untuk diadakan sebelum 2 Oktober menurut Perkara 55(2).

(b)     Sama ada kegagalan Kerajaan untuk menarik balik sekatan-sekatan dan memudahkan persidangan semula Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sebelum 1 Ogos secara terang-terangan mengendahkan risiko pelanggaran perlembagaan pada Perkara 55(1), yang memberikan suatu kewajiban perlembagaan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan Parlimen bersidang tepat pada masanya.

Dalam keadaan (b), Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh meminta nasihat Mahkamah Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal keadaan ini, kami mengambil maklum tentang kedudukan konflik yang rumit, sama ada yang dipersepsikan atau sebenar, yang dihadapi oleh Peguam Negara disebabkan oleh krisis ini. Di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara wajib menasihati Kabinet dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, tetapi tidak dapat memenuhi kewajiban sekiranya kewajiban, keutamaan dan kepentingan berbeza antara pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Raja Berpelembagaan.

Seksyen 14(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 menyebut,

“Bagi tempoh darurat berkuat kuasa… peruntukan yang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan;”

dan Seksyen 15(1)(a) menyebut,

“Bagi tempoh darurat berkuat kuasa… peruntukan yang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Dewan Undangan Negeri dalam Jadual Kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan mana-mana Negeri dan mana-mana undang-undang Negeri tidak mempunyai kesan;”.

Perkataan seksyen-seksyen ini, dibaca bersama dengan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan sepadan Perlembagaan Negeri masing-masing, telah menyebabkan tafsiran yang bertentangan, yang mana-mana satu berpotensi untuk menimbulkan krisis perlembagaan:

  1. Salah satu tafsiran adalah bahawa selang maksima yang dibenarkan oleh perlembagaan selama enam bulan antara dua penggal Parlimen terus berjalan dalam tempoh Darurat, tetapi akibat daripada tamat selang, iaitu pembubaran automatik badan perundangan, hanya berkesan selepas tempoh Darurat tamat pada 2 Ogos. Pada 1 Ogos, selang perlembagaan enam bulan ini akan tamat bagi Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri (lihat Jadual di bawah). Oleh itu, untuk mengelakkan kemungkinan pembubaran automatik, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri harus bersidang selewat-lewatnya pada kalau bukan sebelum 1 Ogos.
  2. Tafsiran lain adalah bahawa selang perlembagaan maksimum enam bulan tersebut berhenti pada 11hb Januari apabila Darurat dimulakan, dan baki 5+ bulan akan mula berjalan mulai 2hb Ogos setelah tempoh Darurat tamat. Tafsiran ini akan memberi kesan kumulatif kepada Perlembagaan. Sebagai contohnya, mungkin boleh dihujahkan bahawa Perdana Menteri dapat mengelakkan persidangan semula Parlimen selama 5+ bulan lagi. Juga boleh dihujahkan bahawa had masa perlembagaan untuk mengadakan pilihan raya umum berikutnya juga dapat ditangguhkan selama 5+ bulan.

Badan Perundangan

Hari Persidangan

Terakhir

Tamat selang enam bulan di bawah Per. 55(1), Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan sepadan Perlembagaan Negeri

Parlimen Persekutuan (terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara)

29 Disember 2020

29 Jun 2021

DUN Pulau Pinang

19 Oktober 2020

19 April 2021

DUN Kelantan

9 November 2020

10 Mei 2021

DUN Selangor

12 November 2020

12 Mei 2021

DUN Sarawak

13 November 2020

13 Mei 2021

DUN Kedah

19 November 2020

19 Mei 2021

DUN Pahang

20 November 2020

20 Mei 2021

DUN Terengganu

25 November 2020

25 Mei 2021

DUN Negeri Sembilan

3 Disember 2020

3 Jun 2021

DUN Johor

6 Disember 2020

6 Jun 2021

DUN Perlis

10 Disember 2020

10 Jun 2021

DUN Melaka

15 Disember 2020

15 Jun 2021

DUN Perak

16 Disember 2020

16 Jun 2021

DUN Sabah

23 Disember 2020

23 Jun 2021

Dengan waspada, kami mengalu-alukan kenyataan bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bahawa kedua-dua Dewan bersedia untuk suatu persidangan khas pada awal Ogos sebelum mengadakan suatu persidangan penuh dalam bentuk hibrid pada akhir Ogos atau awal September. Walau bagaimanapun, dengan penuh berwaspada memandangkan kekurangan muafakat yang jelas mengenai tafsiran Perkara 55(1) dan peruntukan serupa Perlembagaan Negeri, kami menggesa agar persidangan parlimen – atau sekurang-kurangnya persidangan khas tersebut – untuk diadakan selewat-lewatnya pada, kalau bukan sebelum 1 Ogos untuk mengelakkan kemungkinan suatu pembubaran automatik.

Setakat ini, hanya Dewan Undangan Negeri Melaka yang mengumumkan rancangan mereka untuk bersidang pada pertengahan Julai menjelang tarikh akhir 1hb Ogos. Kami menggesa semua Negeri yang telah menetapkan jadual untuk bersidang selepas 1 hb Ogos untuk membuat demikian selewat-lewatnya pada kalau bukan sebelum 1hb Ogos untuk mengelakkan pembubaran secara automatik. Persidangan segera Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah sangat penting sekali pada masa ini memandangkan keperluan untuk menangani wabak pandemik COVID-19, ekonomi yang semakin lemah dan untuk memberikan kestabilan politik yang lebih besar untuk mengatasi reformasi yang diperlukan. Negara tidak sanggup mengadakan pilihan raya kilat ketika bilangan kes baru harian masih melebihi 5000.

Kami juga mengingatkan Perdana Menteri dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bahawa mereka diwajibkan untuk mematuhi niat jika tidak juga perkataan Peraturan 82(1) dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, bahawa komposisi ahli Dewan Rakyat dalam mana-mana jawatankuasa parlimen yang dibentuk untuk meneliti aspek-aspek yang berkaitan dengan persidangan prosiding parlimen hibrid harus sejauh mungkin dapat menggambarkan bahagian kerusi yang dipegang oleh parti politik masing-masing di dalam Dewan Rakyat.

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Ditandatangani oleh:

  1. Bait al Amanah
  2. Bersih 2.0
  3. Engage
  4. IDEAS
  5. Pusat Komas
  6. Reform
  7. Undi18