Membungkam Kebebasan Bersuara Adalah Simptom Kegagalan Demokrasi

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan keras Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam dua hari lepas terhadap aktivis sosial yang membangkitkan isu-isu rakyat dan rakyat Malaysia yang hanya menzahirkan keterdesakan mereka ketika krisis ekonomi dan kesihatan ini.

Siasatan terhadap aktivis dan pengarah Freedom Film Network (FFN) Anna Har dan kartunis Amin Landak oleh PDRM adalah disebabkan filem pendek yang dilancarkan mereka baru-baru ini yang menceritakan penyeksaan seoarang budak dan dua rakannya semasa di dalam tahanan. Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre for Health and Social Policy, Azrul Mohd Khalib juga sedang disiasat berikutan ciapan beliau tahun lalu yang menzahirkan kebimbangan beliau berkenaan penggunaan data aplikasi MySejahtera bagi penguatkuasaan undang-undang.

Mereka disiasat dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyebarkan kandungan yang dikatakan mengancam dan menyakitkan hati, dan Seksyen 500 dan 505B Kanun Keseksaan bagi jenayah fitnah dan menyebarkan kandungan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam kepada golongan awam.

Laporan media berkenaan arahan polis kepada orang kampung di Kuantan untuk menurunkan bendera putih mereka juga amat membimbangkan. Gerakan #BenderaPutih muncul sebagai cara untuk mengenalpasti dan membantu mereka yang terdesak akibat Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP Penuh) di mana jutaan rakyat kehilangan pendapatan dan kebanyakanya hilang upaya untuk menyara diri mereka sendiri. Ekspresi keterdesakan ini dianggap memalukan oleh sesetengah ahli politik namun untuk rakyat Malaysia yang penyayang, ianya adalah kaedah menyokong satu sama lain semasa tempoh krisis ini.

BERSIH 2.0 berpandangan tindakan terhadap rakyat yang hanya mengamalkan hak perlembagaan untuk menyatakan pandangan dan situasi mereka adalah satu simptom kegagalan demokrasi. Proklamasi darurat dengan alasan melawan COVID-19 oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Januari tahun ini telah melempar Malaysia ke lembah autoritarianisme, dan dengan toleransi yang nipis akibat kebimbangan dan paranoia kerajaan, Malaysia semakin menghampiri juang itu.

Kami mendesak PDRM untuk segera hentikan segala intimidasi kepada aktivis dan marhaen yang sedang berhadapan keadaan terdesak. Desakan untuk membuka Parlimen, Dewan Rakyat, telah datang dari pelbagai pihak termasuklah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Adalah mustahak bagi Perdana Menteri mengembalikan demokrasi dengan menamatkan darurat dan membuka Parlimen segera.

Sekiranya kerajaan berterusan mengabaikan kesengsaraan rakyat dan polis berterusan menggunakan kaedah kekerasan untuk membungkam kebebasan bersuara yang sah, kemungkinan pelanggaran arahan sivil tidak dapat dikesampingkan lagi terutama apabila rakyat sedang murka dan lapar.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0