Selain Parlimen, DUN-DUN Juga Mesti Bersidang Selewat-lewatnya 1 Ogos 2021 untuk Mengelakkan Pembubaran Automatik

Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, menyambut baik kenyataan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-undang) yang menyatakan YAB Perdana Menteri yang juga Ketua Majlis Parlimen memutuskan Parlimen akan dipanggil bersidang selewat-lewatnya 1 Ogos 2021. Kami percaya keputusan ini dipengaruhi oleh desakan dan kerjasama berterusan seluruh rakyat bersatu untuk mengembalikan fungsi sebenar institusi perundangan negara dalam menangani isu pandemik COVID-19 dan ekonomi yang sedang menyerang negara.

  1. Kami berharap keputusan yang akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri yang dijangka pada 7 Julai nanti selari dengan kenyataan terkini menteri hari ini dan tidak lagi melengahkan persidangan Parlimen, atau menukar pendirian. Jika Parlimen tidak bersidang selewat-lewatnya pada 1 Ogos, maka ia akan melewati selang 6 bulan antara dua persidangan dan apabila Darurat tamat pada 2 Ogos ia akan mengakibatkan berlakunya pembubaran automatik yang menyebabkan pilihan raya umum (PRU) mesti diadakan dalam masa 60 hari.
  2. Dengan mengambil maklum beberapa negeri yang telah mengumumkan cadangan untuk tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas 1 Ogos, kami sekali lagi menyeru supaya semua DUN seluruh negara turut dipanggil bersidang sebelum atau selewat-lewatnya 1 Ogos 2021, seperti yang dicadangkan oleh Komuniti Perintis untuk Parlimen Professional pada 27 Jun 2021 lalu. Setakat ini, cuma DUN Melaka bercadang untuk bersidang pada pertengahan Julai. 
  3. Jika DUN negeri-negeri lain tidak mengorak langkah ke depan bersidang sebelum atau selewat-lewatnya 1 Ogos, ia akan mengakibatkan pembubaran automatik dan pilihan raya negeri (PRN) akan berlaku di negeri-negeri tersebut. Pilihan raya kilat, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, ia akan memudaratkan rakyat sementara wabak masih melanda tanah air dengan hampir 7,000 kes positif baharu hari ini.
  4. Parlimen dan DUN adalah organ terpenting dalam sebuah negara demokrasi yang sepatutnya dianggap sebagai sebuah institusi yang diperlukan sepanjang masa, lebih-lebih lagi ketika negara sedang bergelut untuk keluar daripada belenggu pandemik COVID-19. Badan perundangan adalah tempat sewajarnya mencari penyelesaian sewajarnya demi kelangsungan hidup rakyat. 

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Ditandatangani oleh:

  1. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
  2. ENGAGE 
  3. Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)
  4. Bait Al-Amanah
  5. Pusat KOMAS 
  6. Persatuan Pengundi Muda (UNDI18)