Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengalu-alukan pengumuman oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam (5 Julai) yang memaklumkan parlimen akan bersidang semula selama lima hari (26-29 Julai dan 2 Ogos) untuk Dewan Rakyat dan tiga hari (3-5 Ogos) untuk Dewan Negara.
Kami ingin memohon pencerahan daripada JPM kerana banyak persoalan yang tidak lunas dalam kenyataan tiga perenggan tersebut. Persoalan kami seperti berikut:
(1) Memandangkan tiada istiadat titah diraja dinyatakan, adakah sidang ini dikira sebagai mesyuarat keempat bagi Sidang Ketiga (2020)?
(2) Bilakah PM merancang untuk mengadakan Sidang Keempat (2021), yang dimulai dengan istiadat titah diraja?
(3) Oleh kerana Proklamasi dan Ordinan-ordinan Darurat akan dibentangkan di kedua-dua Dewan Parlimen sebagaimana Perkara 150(3), adakah Ahli Parlimen (MP) berpeluang untuk mencadang dan mengundi usul bagi memansuhkan sebarang peruntukan tersebut, yang akan memberi kesan pemansuhan serta merta dan tidak perlu menunggu habis tempoh enam bulan selepas berakhirnya darurat sebagaimana peruntukan Perkara 150(7)?
(4) Secara khususnya, adakah Parlimen dibenarkan untuk memansuhkan Seksyen 10A dan 10B Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang memberi kuasa berlebihan kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri berkaitan hal kewangan? Sekiranya tidak, adakah kuasa berlebihan tersebut akan berlangsung sehingga 1 Februari 2022, enam bulan selepas Darurat berakhir pada 1 Ogos 2021, sebagaimana peruntukan Perkara 153(7)? Sehubungan dengannya, adakah kerajaan sedia mempertahankan polisi pengeluaran KWSP dan keputusan untuk mengeluarkan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk pembiayaan vaksinasi di bawah Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah) (Pindaan) 2021 serta menjawab persoalan atas had atas berkanun hutang negara dan mengemukakan perincian projek mega 5G?
(5) Secara khususnya, adakah kerajaan akan membenarkan Parlimen memansuhkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021, yang mengenakan hukuman maksimum denda sehingga RM500,000 dan 6 tahun penjara bagi kesalahan berkaitan berita palsu, dan menggantung Akta Keterangan 1950 [Akta 56]? Jika tidak, adakah undang-undang drakonian ini akan terus berkuatkuasa sehingga 1 Februari 2022, enam bulan selepas Proklamasi Darurat berakhir pada 1 Ogos 2021, sebagaimana peruntukan Perkara 150(7)?
(6) Adakah Pelan Pemulihan Nasional akan dibahaskan dan diundi oleh MP, dengan pindaan sekiranya perlu, atau sesi lima hari ini hanya sekadar penerangan sehala daripada Eksekutif kepada MP Pembangkang dan MP backbencher Kerajaan?
(7) Adakah Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Dewan Rakyat yang memutuskan bilangan dan keahlian untuk semua jawatankuasa parlimen lain juga akan bermesyuarat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa kekucar kaciran polisi, iaitu penubuhan lebih banyak Jawatakuasa Pilihan Khas (PSSC) supaya setiap portfolio kementerian akan diteliti oleh PSSC untuk mengelakkan titik buta polisi, kemarahan ramai dan polisi yang berdolak dalik.
Kami berharap mesyuarat kabinet pada 7 Julai ini akan mengambil ketetapan untuk menjadikan sidang parlimen lima hari ini satu permulaan baharu bagi Parlimen yang profesional dan berkesan, serta bukannya satu taktik yang sinis dan sambil lewa hanya untuk pura-pura memuaskan permintaan orang ramai tetapi sebenarnya ingin mengekalkan parlimen sebagai pak turut kepada Eksekutif. Kesabaran rakyat jangan diuji semberono.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0