Pada hari ini, 10 tahun lalu, dianggarkan 50,000 rakyat Malaysia berhimpun di jalanraya sekitar Kuala Lumpur bagi menuntut pilihanraya adil dan bersih. Ramai yang mengambil risiko untuk terlibat di dalam perhimpunan – terkesan dengan gas, dikejar, dipukul, atau ditahan oleh polis. Kami tidak akan melupakan mereka seperti Allahyarham Baharuddin Ahmad, Aunty Bersih, Pak Samad, serta ramai lagi hero yang tidak didendang – ada di antara mereka tidak lagi bersama kita. Dengan semangat merekalah kita harus meneruskan tugas untuk melindungi serta memperbaiki demokrasi di Malaysia.
Berikut merupakan lapan tuntutan yang dibuat ketika perhimpunan Bersih 2:
- Bersihkan senarai undi
- Mereformasikan undi pos
- Gunakan dakwat kekal
- Akses media yang adil dan bebas
- Masa kempen minima 21 hari
- Kukuhkan institusi awam
- Hentikan rasuah
- Hentikan politik kotor
Walaupun tidak semua tuntutan kita tercapai, rakyat Malaysia patut berbangga dengan sejauh mana sudah kita tiba. Pilihan Raya Umum ke-14 memastikan peralihan kuasa dengan aman untuk berlaku buat pertama kali di dalam sejarah Malaysia, diikuti dengan pelantikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru. Sejak pasukan baru mengambil-alih, mereka sudah memperbaiki proses untuk melakukan pilihan raya, memulakan proses untuk membersihkan senarai undi serta memperkukuh hubungan dengan organisasi masyarakat sivil serta pemegang taruh yang lain. Jawatankuasa Penambahbaikan Undang-Undang dan Sistem Pilihan Raya (ERC) juga ditubuhkan dengan mandat selama dua tahun bagi meneroka ruang reformasi yang diperlukan bagi menjadikan sistem pilihan raya kita lebih adil dan teguh. Tidak seperti sebelumnya, BERSIH 2.0 juga terlibat dengan beberapa dialog umum serta berhubungan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya serta mempunyai wakil di dalam ERC bagi menggerakkan reformasi pilihan raya. Antaranya, pentaksiran terhadap sistem pilihanraya First-Past-The-Post (FPTP), persempadanan, pendaftaran pengundi, reformasi badan pengurusan pilihan raya, kerajaan sementara, pendidikan pengundi, pembiayaan politik serta pindaan berkaitan yang diperlukan. Rancangan juga sedang dijalankan bagi merendahkan umur mengundi ke 18 tahun, sekaligus membenarkan hampir 4 juta pengundi baru pada PRU 15 serta melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik.
Tugas kita masih belum berakhir, dan barangkali tidak akan pernah. Seperti kalian, kami sendiri tidak berpuas hati dengan reformasi yang perlahan. Kami maklum bahawa semuanya tidak terjadi seperti apa yang para pengundi bayangkan. Namun, kemajuan bukanlah linear dan berlepas tangan bukanlah penyelesaian. Kita sendiri yang rugi jika kita mengalah dalam menuntut demokrasi.
Dari hari pertama, BERSIH 2.0 jelas dengan peranan kita sebagai pemantau pilihan raya. Kita sudah memperbesar skop kerja untuk merangkumi soal pendidikan awam, pemantauan pilihan raya, menjalankan penyelidikan berkaitan polisi dan perundangan pilihan raya dan demokrasi, serta melobi pembuat undang-undang serta pemegang taruh bagi menggubal perubahan yang bermakna dan nyata.
Perhimpunan Bersih 2 serta protes yang selanjutnya sekaligus menormalkan protes sebagai sebuah tindakan absah bagi mengekspresi sentimen Rakyat. Pada waktu sama, kami tidak akan semberono untuk menganjurkan perhimpunan besar-besaran apatah lagi jika ianya berkait rapat dengan keselamatan dan kesihatan para peserta. Kami menegaskan bahawa perhimpunan awam tidak pernah, dan tidak akan dinafikan kepentingannya, di dalam sistem demokrasi berparlimen.
Bagi menyambut serta memperingati ulangtahun ke-10 perhimpunan Bersih 2 yang bersejarah pada 9 Julai 2011, kami menyeru para pendukung serta sukarelawan kami untuk:
- Berkongsi kisah kalian menerusi tanda pagar #KisahBersih709 atau #BersihStories709, sebuah kempen sejarah lisan, yang berjalan sepanjang Julai.
- Memakai warna kuning bagi memperingati protes serta berkongsi gambarnya di media sosial.
- Sertai program kami berkaitan Ulangtahun ke-10 Perhimpunan Bersih 2, bermula pada malam ini yang menampilkan pengerusi Bersih yang sekarang dan terdahulu.
Rakyat yang hadir pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur serta di kota-kota seluruh dunia melihat bagaimana demokrasi tumbuh dengan rakyatnya. Perhimpunan merupakan sebuah peristiwa, sebuah ruang, sebuah masyarakat, di mana idea demokratik serta menerbitkan rasa kebersamaan tumbuh sekaligus menyumbang kepada penglibatan sivik serta sosialisasi politik.
BERSIH 2.0 sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada Rakyat atas keberanian serta dukungan mereka bagi meneruskan tuntutan bagi pilihanraya adil dan bersih serta demokrasi seperti yang ditunjukkan pada 9 Julai 2011. Kita harus berwaspada dalam meneruskan pendemokrasian di Malaysia. Ayuh ingatlah detik di mana ribuan rakyat Malaysia menyanyikan lagu Negaraku bersama, dan bagaimana ianya memberi kesan kepada kita. Kita akan terus membawa semangat ini ke depan dengan penuh membara.
Hidup, Hidup! Hidup, Rakyat!
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0