Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Penasihat SUARAM, Dr Kua Kia Soong pada 12 Julai 2021, dengan perasaan yang bercampur antara keliru, tidak percaya dan sedih. Beliau antara lain telah membuat banyak tuduhan yang tidak tepat dan tidak betul terhadap BERSIH 2.0. Tajuk kenyataan beliau adalah “Adakah Bersih 2.0 Gerakan Rakyat atau Gerakan PH?”. Kenyataan peribadi tersebut telah menuduh Bersih sebagai hipokrit, tidak konsisten dan senyap apabila berhadapan dengan Pakatan Harapan (PH). Tuduhan serius oleh pendidik dan aktivis sosial yang veteran seperti Kua memerlukan respon yang jelas dan berfakta daripada saya selaku Pengerusi Jawtankuasa Pemandu BERSIH 2.0. namun saya tidak ingin meneka apa yang mendorong beliau membuat serangan tersebut kepada rakan daripada pertubuhan masyarakat sivil.
BERSIH 2.0 adalah organisasi dipimpin masyarakat sivil sejak 2010 dan pendirian kami adalah non-partisan apabila berhubung dengan parti politik. Skop tumpuan kami sebagai organisasi adalah untuk memperkukuhkan demokrasi dengan penekanan kepada reformasi pilihan raya. Kami berjuang untuk demokrasi prosedural tanpa ilusi bahawa adanya satu set yang citra sempurna yang akan sesuai atau menyatukan semua rakyat Malaysia. Kami tidak mengambil pendirian untuk dasar ekonomi, alam sekitar, pendidikan atau etnik, namun kami ikhtiarkan supaya wujud padang sama rata untuk parti politik bersaing atas isu-isu ini dan ada institusi yang berkesan untuk semak dan imbang kepada kerajaan.
Antara persoalan yang dibangkitkan Kua adalah:
– Mengapa Bersih begitu menurut kerajaan PH antara 2018-2020?
– Bagaimana begitu ramai pemimpin Bersih dimasukkan ke dalam kerajaan PH yang kemudian berubah menjadi BN 2.0?
– Tiadakah isu yang Bersih tidak berpuas hati ketika pemerintahan PH?
– Bukankah kini masanya untuk mengajukan tuntutan yang konkrit seandainya kita prihatin tentang reformasi rakyat Malaysia yang sebenar, berbanding hanya pilihan raya bersih dan adil?
Saya akan merespon setiap persoalan berbangkit dalam turutan kenyataan Kua.
(1) Mengapa Bersih begitu menurut kerajaan PH antara 2018-2020?
Kua menuduh Bersih tidur sepanjang 22 bulan ketika PH masih berkuasa. Sesiapa yang mengikuti politik negara secara rapat atau mengikuti laman web atau laman Facebook Bersih akan tahu bahawa kami telah bersuara melalui kenyataan media, wawancara media, dan mengeluarkan pandangan terhadap perkembangan pilihan raya dan politik Malaysia. Jauh sekali kami hanya menurut atau sedang tidur.
Sejak 10 Mei 2018, apabila PH mendapat kuasa sehingga 29 Februari 2020 selepas rampasan kuasa melalui Langkah Sheraton, kami telah mengeluarkan 129 kenyataan, tidak termasuk terjemahan, untuk bersuara terhadap penguasa. Secara puratanya kami mengeluarkan 5.86 kenyataan sebulan dalam tempoh 22 bulan pemerintahan PH. Kebanyakan kenyataan ini adalah kritikal kepada kerajaan dan mempertanggungjawabkan kerajaan PH kepada janji manifesto mereka, pengabaian kepada pembangkang ketika itu, peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada wakil rakyat yang tidak adil, dan lompat parti. Bahkan antara kenyataan pertama kami pada 13 Mei 2018 selepas PH mendapat kuasa adalah penekanan pendirian kami terhadap isu lompat parti.
(https://www.bersih.org/media-statement-12-may-2018-bersih-2-0-condemns-party-switching/)
Selain mengeluarkan kenyataan, pemimpin Bersih 2.0 juga menjadi ahli aktif dalam Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), yang dimandatan oleh Perdana Menteri ketika itu untuk melihat setiap aspek reformasi pilihan raya. Selepas dua tahun kajian dan perundingan di seluruh negara, ERC telah mencadangkan 49 saranan dalam laporan akhir mereka untuk memperbaiki sistem pilihan raya kita secara komprehensif. Ini termasuklah penubugan tiga badan pengurusan pilihan raya untuk menyelia aspek berbeza dalam pilihan raya, perubahan sistem pilihan raya kepada sistem perwakilan berkadaran dan reformasi pembiayaan politik.
Sejak Langkah Sheraton 17 bulan lalu, kami tetap lantang untuk menyuarakan cadangan penyelesaian bagi mencegah lompat parti dan reformasi untuk kestabilan politik walau dalam huru hara politik negara. Kami telah mengeluarkan 113 kenyataan dalam tempoh ini dan menghasilkan 14 laporan kajian untuk memperbaiki kelemahan sistem politik negara.
Pendirian peribadi saya berkenaan lompat parti dan peruntukan CDF yang tidak adil adalah konsisten. Pada 13 Mei 2018, 4 hari selep PH menang PRU14 dan saya masih belum menjadi ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 serta tidak disangka akan dipilih menjadi Pengerusi pada Oktober 2018, saya telah memimpin 100 orang di Johor untuk protes Kerajaan PH Johor kerana menerima ADUN UMNO ke dalam Bersatu dan kerana MB enggan memberi peruntukan CDF yang adil kepada wakil rakyat pembangkang.
Jelas tuduhan Kua terhadap Bersih menurut (atau senyap) semasa pemerintahan PH selama 22 bulan adalah tidak benar, khayalan atau kedua-duanya sekali. Kami bersuara untuk rakyat dan Pembangkang walaupun tidak popular untuk berbuat demikian dalam euforia Malaysia Baharu.
Namun sila semak kenyataan saya dengan menilai semula semua kenyataan kami di laman web https://www.bersih.org/press/
(2) Bagaimana begitu ramai pemimpin Bersih dimasukkan ke dalam kerajaan PH yang kemudian berubah menjadi BN 2.0?
Kua menuduh bahawa PH menjadi tuan politik dengan “..pemimpin Bersih dimasukkan ke dalam pentabdiran”. Tuduhan ini kabur, tidak dinamakan siapa dan tidak benar. Kenyataan bahawa “pemimpin Bersih” diberikan Pengerusi satu suruhanjaya, kemudian menukar soongan untuk berada bersama Perikatan Nasional (PN) hanya mungkin merujuk kepada Datuk Azhar Azizan Harun, mantan Pengerusi SPR yang kemudiannya dilantik menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat selepas PN mengambil alih. Kami ingin menjelaskan bahawa Azhar tidak pernah langsung menjadi sebahagian kempimpinan Bersih 2.0 sejak penubuhan kami pada tahun 2006 atas apa sahaja kapasiti atau bahkan terlibat dengan Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam apa-apa cara. Beliau mungkin antara ribuan peserta yang terlibat dalam himpunan kami tetapi kami pun tak dapat memastikan perkara tersebut. Bagi pemimpin pendapat seperti Kua untuk membuat tuduhan melulus tanpa menyemak fakta, ianya sangat cuai, dan paling buruk sekiranya dilakukan dengan niat jahat.
Mungkin Kua tidak memahami bagaimana struktur kepimpinan Bersih berfungsi. Kami diketuai oleh Jawatankuasa Pemandu yang dipilih oleh anggota NGO gabungan setiap dua tahun. Tidak ada sesiapa yang terlibat secara aktif dalam parti politik boleh menjadi Jawatankuasa dan sekiranya mereka ingin terlibat aktif dalam parti politik, mereka harus meletak jawatan dalam Bersih. Apabila seseorang meninggalkan Jawatankuasa, tidak kira sama ada orang tersebut adalah Pengerusi atau pengasas, beliau tidak lagi mempunyai sebarang pengaruh terhadap arah tuju Bersih dan tidak bercakap bagi pihak kami. Kami juga tidak melantik mereka sebagai penasihat untuk mewakili kami.
Pengerusi terakhir kami, Maria Chin Abdullah membuat keputusan peribadi untuk menawarkan diri sebagai calon bebas bertanding di bawah bendera PH dalam PRU yang lalu. Beliau telah meletak jawatan sebagai Pengerusi sebelum bertanding di Petaling Jaya. Kami menghormati keputusan beliau sebagaimana kami menghormati keputusan sesiapa sahaja, samaada dari pertubuhan sivil atau tidak, untuk bertanding dalam pilihan raya dan menyertai parti politik. Shahrul Aman Mohd Saari, Timbalan Pengerusi ketika itu mengambil alih sebagai Pemangku Pengerusi sehingga pemilihan dalaman kami dibuat, di mana saya dilantik menjadi Pengerusi baharu. Selepas melepaskan jawatan sebagai Pemangku Pengerusi sebelum pemilihan kami, Shahrul mengambil tugas sebagai Setiausaha Akhbar kepada Maszlee Malik, Menteri Pendidikan ketika itu. Tuduhan pemimpin Bersih “melobi pimpinan PH untuk diberikan jawatan tinggi dalam pentadbiran PH”, kami tidak ada idea siapa yang dimaksudkan oleh Kua. Sekiranya tuduhan Kua ini berdasarkan fakta dan bukan khayala, beliau sewajibnya menamakan individu tersebut agar rakyat dapat membuat pertimbangan dan orang yang tertuduh dapat mengambil tindakan untuk membersihkan namanya.
(3) Tiadakah isu yang Bersih tidak berpuas hati ketika pemerintahan PH?
Kua menuduh Bersih sebagai mengambil peluang dengan “menurut sahaja” PH apabila mereka memeluk Mahathir dengan sasaran tunggalnya untuk membuang Najib Razak tetapi tidak membuat perubahan regim politik dan sistem ekonomi, atau pemerintahan perkauman dan eksploitatif, gagal menghapuskan undang-undang drakonian, pelantikan politik ke dalam GLIC dan GLC, tidak mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan dan bahkan tidak mengiktiraf isu UEC. Dan beliau mengakhiri dengan soalan, “Adakah Bersih menentang ini?”
Kami ingin menjelaskan bahawa Bersih 2.0 bukannya parti politik untuk mengambil setiap isu atas nama rakyat yang ditakrifkan secara sempit oleh nilai dan kecenderungan seseorang. Bagi kami, rakyat adalah plural dan demokrasi adalah platform untuk segmen rakyat yang berbeza bagi bersaing dan berunding. Kami sangat memahami jika Kua ada pandangan siapakah “Rakyat” dan pergelutan yang beliau harapkan untuk semua harungi. Kua malah boleh membentuk organisasi bahkan separa parti, untuk mengejar cita-citanya tetapi beliau tidak ada hak mengenakan nilai dan kecenderungan beliau kepada sesiapapun, termasuk Bersih. Tiada yang melantik beliau sebagai jurucakap atau penasihat “rakyat”.
Perlu dinyatakan semula, Bersih 2.0 adalah pendesak reformasi pilihan raya untuk memperkasakan demokrasi negara, dan bukannya NGO untuk semua isu yang memantau dan memprotes setiap isu yang orang seperti Kua tidak setuju. Di mana PH mengetepikan janji manifesto mereka berhubung reformasi pilihan raya atau reformasi institusi utama, Bersih telah mengeluarkan kenyataan kerass untuk mengingatkan mereka dan rakyat akan janji-janji mereka. Ada kefahaman senyap serta penyelarasan antara NGO yang kami hanya bersuara untuk isu yang kami pantau dan membiarkan isu lain kepada NGO berkaitan untuk menyuarakannya.
Sekiranya maksud Kua merujuk kepada protes sebagai himpunan aman, pendirian Bersih 2.0 terus konsisten. Hak individu atau kumpulan untuk mengadakan perhimpunan aman adalah hak asasi yang tidak boleh dirunding dan dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Protes aman adalah tanda demokrasi yang subur. Namun protes adalah langkah terakhir apabila pendekatan lain telah gagal. Apabila kerajaan atau penguasa yang kami dekati enggan meraikan tuntutan kami, maka protes menjadi pilihan. Dalam tempoh 22 bulan PH, terdapat banyak libat urus antara pertubuhan sivil dan kerajaan baharu, dan ada kemajuan di sesetengah perkara walaupun sangat lambat berbanding yang kami harapkan. Adakah Kua secara serius jangkakan Bersih akan mengetuai protes besar apabila kerajaan baharu masih lagi berunding dnegan kami? Ianya tidak bertanggungjawab, cuai dan mabuk mahu menjadi hero sekiranya kami mengambil tindakan sedemikan.
Bersih 2.0 memainkan peranan dalam perkembangan demokrasi dalam negara ini dengan melazimkan hak rakyat berhimpun secara aman. Rakyat biasa terinspirasi untuk turun ke jalan raya bagi menyuarakan keresahan mereka dan berhimpun dengan aman dan berdisiplin. Kami ingin melihat lebih banyak lagi gerakan rakyat mara ke depan serta menganjurkan protes dan kami akan mempertahankan hak mereka. Sekiranya tiba keperluan untuk Bersih menganjurkan protes besar-besaran, kami akan turun ke jalan dengan bertanggungjawab.
(4) Bukankah kini masanya untuk mengajukan tuntutan yang konkrit seandainya kita prihatin tentang reformasi rakyat Malaysia yang sebenar, berbanding hanya pilihan raya bersih dan adil?
Kua mendakwa tuntutan Bersih tidak jelas atau konkrit semasa kami menganjurkan lima perhimpunan dan rakyat masih turun ke jalan serta kami perlu menghasilkan cadangan konkrit untuk jenis masyarakat yang kita mahukan untuk Malaysia. Saya ingin mengatakan bahawa mungkin pemikiran Kua yang tidak jelas dan beliau sekali lagi menunjukkan dirinya sebagai orang yang tidak membaca lebih dari kepala tajuk atau belakang baju serta malas untuk mencari fakta. Semua himpunan kami dengan jelas menyatakan tuntutan utnuk reformasi pilihan raya dan reformasi institusi, dan kebanyakannya dimasukkan ke dalam manifesto PRU14 PH.
Supaya ada cadangan konkrit bagi membentuk sistem politik yang lebih baik, sejak daripada kejatuhan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton, Bersih telah mengenalpasti kelemahan utama dalam sistem kita yang bukan sahaja membenarkan wakil rakyat melompat parti sesuka hati, bahkan di bawah undang-undang sedia ada, terdapat dorongan untuk mereka menyertai Perdana Menteri sekarang. Setahun ini, kami telah menghasilkan 14 laporan kajian untuk menangani kelemahan kerangka undang-undang kita dan menghasilkan cadangan bagi meminda undang-undang sedia ada atau menggubal undang-undang baru supaya kita mempunyai perundangan dan institusi yang lebih kukuh untuk memperkasakan demokrasi di negara kita.
6 reformasi utama yang Bersih 2.0 tumpukan adalah:
- Reformasi bagi mencegah lompat parti
- Kesaksamaan undang-undang
- Parlimen yang bebas dan berfungsi
- Reformasi pembiayaan politik yang menyeluruh
- Reform of electoral and representative politics. Reformasi politik pilihan raya dan perwakilan
- Penyeimbangan semula pembahagian kuasa antara Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan
Laporan ini boleh didapati dan dimuat turun di: https://www.bersih.org/research-report/.
Bersih 2.0 bukanlah tidak boleh dikritik dan kami sangat mengalu-alukan kritikan membina yang berdasarkan fakta dan kebenaran, bukannya tuduhan fitnah yang bermutu rendah berdasarkan cakap-cakap, khayalan dan ketaksuban peribadi terhadaps sesetengah pemimpin. Kami percaya bahawa untuk kita membina sistem politik yang stabil dan mandiri, kita perlu bergerak daripada sistem berasaskan personaliti kepada sistem berinstitusi di mana undang-undang yang baik diangkat dan institusi diperkasakan supaya dapat dikuatkuasa terhadap mereka yang korup dan salah guna kuasa.
Dalam lanskap politik yang cepat berubah, peranan Bersih 2.0 sebagai pemantau sistem pilihan raya menjangkau lebih dari sekadar protes. Kami sentiasa mendesak kuat untuk reformasi dan menjalankan pelbagai kempen pada masa lalu untuk memupuk kesedaran rakyat terhadap isu-isu kritikal di hadapan kita. Untuk mencapai tujuan supaya advokasi kami ini berbuah, kami berusaha untuk melibatkan ahli politik dari rentas parti secara konstruktif.
Menjawab persoalan Kua, “Adakah Bersih 2.0 Gerakan Rakyat atau Gerakan PH?”, saya menjawab bahawa kami wujud dengan tujuan untuk menyorong reformasi yang akan melindungi kepentingan rakyat, bukannya parti atau gabungan tertentu, apatah lagi individu tertentu.
Dikeluarkan oleh:
Thomas Fann
Pengerusi Bersih 2.0