Hentikan Siasatan Terhadap Doktor, Hormati Kebebasan Bersuara

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merujuk kepada kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia yang menyatakan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat doktor yang terlibat dalam kempen Kod Hitam (Code Black) dan kempen Isnin Gelap (Black Monday). BERSIH 2.0 mengecam tindakan daripada pihak PDRM yang telah memulakan siasatan terhadap para doktor dan menegaskan supaya PDRM serta kerajaan Malaysia menghormati kebebasan bersuara dan berekspresi.

Kempen tersebut adalah suara resah para doktor yang hanya menuntut beberapa perkara terutama berkenaan isu doktor kontrak selama dua tahun sahaja serta kondisi pekerjaan mereka yang tidak mendapat elaun dan cuti sebagaimana doktor tetap. Kempen Kod Hitam dan Isnin Gelap ini hanyalah satu kempen solidariti para doktor terhadap rakan doktor mereka yang masih berstatus kontrak dan tidak ada jaminan pekerjaan serta kebajikan. Maka mereka melancarkan kempen ini di media sosial tanpa mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap pesakit.

Adakah menjadi satu kesalahan para doktor kontrak dan rakan doktor mereka menuntut kerajaan untuk memenuhi keperluan mereka serta memberikan jaminan kebajikan yang lebih baik? Kerajaan terutamanya PDRM perlu lebih rasional dan matang dalam menguruskan tuntutan rakyat malah apa yang dilakukan oleh para doktor tersebut tidak langsung bercanggahan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak rakyat untuk bersuara dan menuntut.

Kami mengulangi semula kenyataan kami pada 2 Julai yang lepas bahawa tindakan terhadap rakyat yang hanya mengamalkan hak perlembagaan untuk menyatakan pandangan dan situasi mereka adalah satu simptom kegagalan demokrasi. Kaedah mengugut rakyat dengan cara membuat siasatan kepada mereka adalah kaedah lapuk yang tidak menyelesaikan apa-apa masalah dan hanya menafikan permasalahan yang ada. Kerajaan perlu bersifat demokratik dan lebih bijak terutamanya dalam pengurusan krisis semasa tempoh pandemik ini.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0