Hentikan Salah Guna Institusi Kerajaan Untuk Menutup Suara Membantah

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merujuk kepada tuduhan yang dibuat oleh YB Syed Saddiq dan Parti MUDA pada 21 Julai bahawa pendakwaan jenayah pecah amanah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana menyeleweng dana terhadap YB Syed Saddiq adalah untuk mendesak supaya beliau menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kami melahirkan keprihatinan serius terhadap tuduhan itu kerana, jikalau tuduhan itu benar, ianya bermaksud ada penyalahgunaan institusi penguatkuasaan dan peraturan kerajaan secara besar-besaran untuk mengugut dan mendakwa ahli politik pembangkang serta suara-suara bantahan kepada kerajaan pemerintah. Ini juga menunjukkan bahawa salah satu faktor utama untuk melompat parti adalah ugutan pendakwaan, terutama jika seseorang itu berhenti menyebelahi kerajaan yang memerintah.

Penyalahgunaan institusi kerajaan seperti SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak boleh ditolak ansur kerana ianya mengenepikan demokrasi multiparti, padang permainan yang sama rata dan kedaulatan undang-undang.

Kerajaan mempunyai pengaruh sedemikian rupa terhadap institusi-institusi tersebut serta menggunakan mereka sebagai senjata politik adalah kerana kuasa memilih dan memecat ketua institusi ini adalah tertakluk kepada Eksekutif, terutamanya Perdana Menteri. Penyalahgunaan sedemikian berlaku ketika kerajaan Barisan Nasional dengan pemecatan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada 2015 oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika kemuncak skandal 1MDB serta banyak lagi kes-kes yang serupa berlaku.

BERSIH 2.0 mengecam salahguna institusi kerajaan untuk mendakwa suara kritikal terhadap kerajaan dan menggesa reformasi institusi ini supaya mereka bebas daripada pengaruh Eksekutif.

Proses pelantikan dan pemecatan pegawai utama kerajaan perlu bebas, telus, berakauntabiliti, terbuka kepada penelitian awam serta berdasarkan merit. Pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Ketua Polis Negara tidak wajar sama sekali diletakkan di bawah Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri tetapi perlu diletakkan di bawah pengawasan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bebas. Justeru, Rang Undang-Undang Pelantikan dan Pemecatan Pegawai Awam perlu digubal bagi memandatkan peraturan dan pengawasan pelantikan semua pegawai utama institusi-institusi kerajaan. SPRM tidak perlu melaporkan kepada PM sebaliknya terus bertanggungjawab kepada Parlimen.

Jabatan Peguam Negara perlu direformasi untuk menjadikan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan tanpa kuasa menentukan pendakwaan kes. Jabatan Pendakwa Raya yang bebas dan terpisah perlu ditubuhkan. Pelantikan Peguam Negara dan Ketua Pendakwa Raya perlu dibuat atas dasar merit dan integriti serta perlu melalui proses pelantikan yang terbuka, telus dan berakauntabiliti.

LHDN juga perlu adil, profesional dan berakauntabiliti, untuk mengelakkan kesalahan berkaitan cukai digunakan secara tidak adil terhadap ahli politik, aktivis dan syarikat yang tidak mesra kerajaan.  

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0