Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, berpendapat 5 hari Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 26 Julai ini sangatlah tidak mencukupi untuk membahaskan pelbagai isu rakyat terutama melibatkan wabak COVID-19 yang tertangguh selama 7 bulan sejak persidangannya terakhir tahun lepas.
- Kami menggesa supaya semua Jawatankuasa Tetap dan Jawatankuasa Pilihan Khas di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dibenarkan berjalan sepenuhnya seperti sedia kala dalam menjalankan fungsi semak dan imbangnya yang lebih intensif terhadap segala dasar-dasar Eksekutif.
- Bagi mengoptimumkan perjalanan mesyuarat Jawatankuasa-jawatankuasa dengan kehadiran penuh ahli dan urus setianya, peruntukan Peraturan Mesyuarat Parlimen mestilah dipinda dan ditafsir bagi membolehkan prosiding diadakan secara dalam talian. Kaedah ini bukan sahaja demi menjamin keselamatan dan kesihatan daripada ancaman COVID-19, malah mengelakkan kesukaran untuk ahli Jawatankuasa kalangan Ahli Parlimen dari Malaysia Timur yang mungkin terpaksa melalui kuarantin wajib setelah pulang dari mesyuarat Jawatankuasa di Kuala Lumpur. Ia juga akan mengurangkan kesulitan untuk pegawai dan kakitangan kementerian serta agensi kerajaan dalam meluangkan masa untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa di Parlimen.
- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) harus segera menyemak dan menyiasat semua perbelanjaan oleh kerajaan sepanjang tempoh Darurat 2021 berkuatkuasa sejak awal tahun ini. Lebih-lebih lagi apabila Ordinan Darurat 2021 yang telah diwartakan membenarkan Perdana Menteri membelanjakan Kumpulan Wang Disatukan dan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tanpa melalui kelulusan Parlimen.
- Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains Dan Inovasi hendaklah mengadakan mesyuarat segera bagi meneliti pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan langkah-langkah berkenaan pengurusan krisis kesihatan awam COVID-19. Jawatankuasa juga mestilah bertindak proaktif mengadakan sesi libat urus dan konsultasi bersama semua pemegang taruh berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik melawan pandemik.
- Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita Dan Kanak-Kanak Dan Pembangunan Sosial turut perlu menilai keperluan kewangan, nutrisi dan psikologi bagi isi rumah ketika PKP. Juga mesti diteliti keberkesanan usaha yang dijalankan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta agensi berkaitan dalam membantu memenuhi keperluan golongan-golongan yang rentan dan terkesan ini.
- Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan Dan Ekonomi juga patut segera menilai kesan wabak COVID-19 terhadap ekonomi rakyat dan negara. Hal ini termasuklah impak terhadap golongan rentan B40 dan M40 yang kehilangan pendapatan dan pekerjaan. Tidak terkecuali pelaburan langsung domestik (DDI) dan asing (FDI). Sebuah pendengaran terbuka mesti dijalankan bersama semua pemegang taruh kalangan pemain industri dan rakyat bagi memulihkan ekonomi rakyat dan negara.
- Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan pula harus meneliti dan menilai segala dasar pendidikan yang telah dilaksanakan kerajaan ke atas institusi pendidikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemilihan Negara (PPN) dilaksanakan. Dasar seperti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang melalui beberapa fasa pelaksanaan, termasuk keputusan terbaru pembukaan sekolah awal September ini mesti dikaji semasak-masaknya.
Maka, ingin diingatkan bahawa Jawatankuasa Parlimen selaku komponen teras bagi sesebuah badan legislatif dalam negara demokrasi tidak boleh tidak diberi kebebasan dan berperanan aktif dalam menambahbaik dasar dan perundangan negara terutama ketika wabak COVID-19.
Kenyataan ini adalah inisiatif *Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional*, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.
Ditandatangani oleh:
- Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
- ENGAGE
- Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)
- Bait Al-Amanah
- Persatuan Pengundi Muda (UNDI18)
- Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)