Pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat Perlu Penjelasan Segera Daripada Kerajaan

Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, memerhati dengan dekat perkembangan persidangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang bermula semalam. Kami mengambil maklum jawapan lisan yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Proklamasi Darurat 2021 akan terus berkuatkuasa sehingga Ogos 1 tetapi semua Ordinan Darurat 2021 telah dibatalkan oleh kerajaan.

  1. Kami menyambut baik pengumuman luar jangka bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat dan keputusan itu berkuatkuasa pada 21 Julai 2021. Namun, pengumuman ini telah menimbulkan pelbagai persoalan.
  2. Pertama, mengapa keputusan pembatalan semua Ordinan Darurat hanya diumumkan di Parlimen semalam dan tidak secara rasmi kepada awam pada 21 Julai yang lepas memandangkan keputusan ini amat penting dan mempengaruhi semua rakyat.
  3. Kedua, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada Perdana Menteri telah memberi nasihat secara rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membatalkan semua Ordinan Darurat tersebut. Jikalau nasihat tersebut telah diberikan oleh Perdana Menteri kepada YDPA dan YDPA telah memperkenankan nasihat tersebut, kenapa tidak terdapat kenyataan umum daripada pihak Istana Negara?
  4. Ketiga, sehingga hari ini, didapati keputusan kerajaan ini tidak dijumpai dalam Warta Kerajaan. Kerajaan Perikatan Nasional perlu memberikan penjelasan mengapa keputusan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat belum lagi diwartakan jika penguatkuasaan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat telah bermula sejak 21 Julai lepas.
  5. Keempat, kerajaan juga perlu memberikan penjelasan kepada rakyat apakah yang akan terjadi kepada segala tindakan, termasuk denda-denda dan kompaun yang telah dikenakan oleh pihak berkuasa dalam tempoh 21 Julai sehingga 27 Julai 2021 yang berdasarkan ordinan-ordinan tersebut kerana Ordinan-Ordinan Darurat lagi tidak berkuatkuasa.

Kami meminta Perdana Menteri untuk segera menjawab pertanyaan-pertanyaan yang bersangkutan bagi mengelakkan krisis perlembagaan yang lain. Kelewatan memberikan penjelasan umum pada sidang Parlimen Isnin depan adalah tidak dapat diterima.

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Ditandatangani oleh:

  1. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
  2. ENGAGE
  3. Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)
  4. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
  5. Persatuan Pengundi Muda (UNDI18)
  6. Bait Al-Amanah