Bahasa Tidak Sopan dan Yang Bersifat Cauvinis Tiada Tempat di Dewan Rakyat

Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, melihat dengan bimbang layanan dialami sebilangan Ahli Parlimen wanita kalangan Pembangkang oleh Yang di-Pertua (YDP) Dewan Rakyat, YB Datuk Azhar Harun ketika pengakhiran sidang khas Dewan Rakyat semalam.

  1. Ahli Parlimen berkenaan ialah YB Hannah Yeoh, YB Kasthuri Patto dan YB Teo Nie Ching. Pertelingkahan berlaku ketika Ahli Parlimen wanita tersebut mendesak untuk meyakinkan YDP supaya menjemput pihak Kerajaan memanjangkan tempoh persidangan agar Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Khairy Jamaluddin dapat meneruskan maklum balasnya terhadap pelbagai persoalan penting yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Parlimen daripada kedua-duanya belah pihak mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

  2. Permintaan Ahli Parlimen wanita tersebutnya tiada beza dengan permintaan sama oleh Ahli Parlimen lain pada keadaan yang biasa dilakukan di mana-mana sistem Parlimen sekalipun. Ianya juga adalah kebiasaan bagi Speaker-speaker dalam sebuah badan perundangan untuk mempertimbangkan permintaan tersebut jika mereka memiliki kuasa untuk melakukannya, dan jika mereka tidak memiliki kuasa untuk melanjutkan waktu, maka mereka menjemput pihak Kerajaan untuk mengemukakan sebuah usul melanjutkan persidangan bagi tempoh yang tertentu sekiranya mereka berkeinginan untuk melakukannya.

  3. Namun semalam, YDP Dewan Rakyat – atas alasan hanya dirinya lebih tahu – menolak untuk mempertimbang permintaan Ahli-ahli Parlimen wanita tersebut, yang mana bukanlah supaya YDP sendiri melanjutkan tempoh persidangan tersebut, akan tetapi supaya beliau menjemput pihak Kerajaan bagi melakukannya. Namun, beliau berulang kali merespon Ahli-ahli Parlimen wanita tersebut dengan “Tolong diam boleh tak” dan “Tolong diam sekejap”, diikuti dengan berulang-ulang kali mematikan mikrofon. Bagi ramai orang yang memerhatikan siaran langsung prosiding tersebut, bahasa dan nadanya bukan sahaja tidak sesuai dan tidak sepenuhnya seimbang, malah memberikan gambaran jelas perlakuan yang bersifat cauvinis dan bentuk diskriminasi berasaskan gender. Walaupun Ahli-ahli Parlimen lain bangun mencelah memberikan sokongan mereka ke atas permintaan Ahli-ahli Parlimen wanita ini, namun Ahli-ahli Parlimen wanita inilah yang berada di barisan hadapan. Selanjutnya, terdapat banyak keadaan semasa prosiding di dalam Dewan Rakyat selama tiga hari lepas yang mana Ahli Parlimen lelaki daripada kedua-dua belah pihak yang telah menggunakan bahasa kasar dan tidak sesuai antara satu sama lain, dan kadang-kadang juga terhadap Pegawai Pemutus Dewan Rakyat sendiri. Walaubagaimanapun, tidak ada seorang pun kalangan Ahli-ahli Parlimen lelaki tersebut yang mana YDP menggunakan perkataan dan nada sama seperti dilakukannya terhadap Ahli-ahli Parlimen wanita pada petang semalam.
  4. Kami berharap apa yang diperhatikan daripada kaca TV di seluruh negara akan tingkah laku YDP terhadap Ahli-ahli Parlimen wanita petang semalam, mungkin diperbesarkan kerana jarak. Sekiranya tidak, kami menawarkan nasihat seperti berikut terus kepada semua Ahli Parlimen, terutamanya YB Yeoh, YB Patto dan YB Teo:
  1. Sentiasa ingat bahawa di bawah Perkara 57(1A)(b) Perlembagaan Persekutuan, YDP dianggap sebagai salah seorang anggota Dewan berdasarkan jawatannya (kecuali untuk tujuan tertentu yang tidak terpakai di sini).
  2. Oleh itu, adalah sepenuhnya menjadi hak mereka sebagai Anggota Dewan untuk memastikan bahawa YDP patuh kepada peraturan dan etika yang sama dipakai ke atas mana-mana Ahli Parlimen lain.
  3. Atas dasar tersebut, para Ahli Parlimen boleh mengemukakan usul terhadap YDP yang melanggar etika Dewan Rakyat, misalnya Peraturan Mesyuarat 36(4), meminta supaya beliau menarik balik dan meminta maaf atas komen-komennya serta menjadikan komen-komen tersebut dipadam di dalam Dewan Rakyat.
  4. Sekiranya situasi serupa terjadi pada masa depan, Ahli Parlimen boleh terus membawa Perkara 57(1A)(b) dan Peraturan Mesyuarat 36(4) untuk perhatian YDP ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat, agar beliau dapat merubah tingkah lakunya dengan sewajarnya.
  1. Diskriminasi berasaskan gender wujud dan ianya adalah endemik. Adalah menjadi kewajiban moral bersama kita untuk membetulkannya ketikamana ianya terjadi, menyokong mereka yang menjadi target dan mendesak segala tindakan terhadapnya, sama ada ia berlaku di sekolah, pejabat atau dewan-dewan Parlimen.

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Ditandatangani oleh:

  1. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
  2. ENGAGE
  3. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
  4. Bait Al-Amanah
  5. Persatuan Pengundi Muda (UNDI18)